Friday, July 5, 2013

Harga ayam tidak seragam

Ismail yang menjual ayam di kedainya di Pasar Awam Maharani.

Rosnah terpaksa menjual ayam RM8.70 selepas pembekal menaikkan harga sejak tiga hari lalu.

MUAR - Harga ayam tidak seragam yang dijual di beberapa kedai dan pasar di daerah ini mencetuskan kekeliruan serta rungutan dalam kalangan pembeli.

Tinjauan ke Pasar Awam Maharani mendapati, ayam proses bersih dijual pada harga RM8.20 sekilogram, manakala peniaga di kawasan kampung pula menjual dengan harga yang lebih mahal iaitu RM8.70 sekilogram

Suri rumah, Fatimah Abdullah, 51, terkejut apabila mengetahui berlaku  perbezaan harga ayam yang ketara dijual peniaga mengikut lokasi.

“Saya selalu beli ayam di pasar di bandar dan tahu perkara ini (perbezaan harga ayam) daripada rakan yang membelinya di tempat lain.

“Perbezaan harga kali ini agak ketara berbanding sebelumnya yang hanya beza 10 sen atau 20 sen sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu memantau perkara itu supaya peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga selain membuat penetapan supaya ayam dijual pada harga yang seragam.

Peniaga, Ismail Aziz mengakui menaikkan harga ayam daripada RM7.80 sekilogram kepada RM8.20 sekilogram empat hari lalu, apabila menerima bekalan ayam daripada pembekal pada harga yang agak tinggi.

Jelasnya, dia tidak dapat memastikan berapa lama harga baru itu akan dapat  bertahan memandangkan harga ayam ketika ini agak tidak konsisten.

“Lazimnya, setiap kali Ramadan harga ayam akan turun tetapi ia tidak dapat dijangkakan pada tahun ini yang bakal disambut minggu depan.

“Pembeli tidak perlu risau, kerana pada Aidilfitri nanti, ayam akan menjadi barangan kawalan dan harganya akan turun kepada RM7.50 sekilogram,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Rosnah Hassan, bimbang jika harga ayam akan terus meningkat sehingga menjelang Aidilfitri, selepas kenaikan yang berlaku pada musim cuti persekolahan Jun, lalu.

Menurutnya, dia menjual ayam proses bersih pada harga RM8.70 sekilogram sejak tiga hari lalu, dengan tiga kali kenaikan bermula cuti sekolah lalu, apabila terpaksa membayar ayam RM6 sekilogram daripada pembekal berbanding RM5.70 sebelum ini.

“Kenaikan harga tanpa kawalan ini boleh menjejaskan peniaga daging ayam siap diproses di kawasan kampung,” katanya.
Rosnah berkata, kenaikan harga ayam kali ini antara yang paling tinggi dihadapinya sejak terlibat dalam perniagaan tersebut 25 tahun lalu.

Selain itu, katanya ayam kampung juga turut mengalami kenaikan harga menjadi RM13 sekilogram berbanding RM12.50 sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Muar, Mohd Basha Abidin Ali berkata, pihaknya akan menyiasat lebih lanjut perkara tersebut.

Sinar Harian
5 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment