Gan Jackson menyampaikan bantuan kepada Rahmah pada program U Care, semalam.
MUAR - “Saya tinggal sendirian bukan kerana dipinggirkan anak, ia pilihan sendiri kerana tak mahu susahkan mereka,” demikian pengakuan Rahmah Yacob, 91.
Rahmah yang tinggal di 131A, Jalan Sungai Abong di sini, menerima bantuan wang tunai RM500 menerusi program U Care dari- pada Kedai Kasut You Sdn Bhd dengan kerjasama Sinar Harian, semalam.
Warga emas itu berkata, meskipun tinggal bersendirian selepas kematian suami lima tahun lalu, anaknya kerap menziarahi dan menghantar makanan.
“Saya ada lima anak tetapi dua daripadanya sudah meninggal dunia. Anak sulung berusia 60 tahun tinggal di Parit Tiram, anak kedua di Sungai Abong, yang bongsu pula menetap di Batu Pahat.
“Jika mereka tidak dapat datang ziarah, mereka akan telefon saya untuk bertanya khabar,” katanya.
Dia menghuni rumah itu lebih 60 tahun lalu yang juga milik anak saudaranya dengan sewaan sebanyak RM120 setahun.
Jelasnya, dia yang tidak memiliki tanah sendiri untuk membina rumah, tinggal di kediaman tersebut atas ihsan anak saudaranya tanpa menaikkan kadar sewa sejak dahulu lagi.
“Sebahagian bumbung rumah ini bocor dan apabila hujan saya akan susun baldi untuk tadah air hujan elak lantai rumah basah,” katanya.
Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan lebih 10 tahun lalu itu berkata, kudratnya untuk berjalan kian berkurangan ditambah pula masalah lutut dihidapinya memaksanya bergantung dengan tongkat untuk bergerak.
Menurutnya, sesekali anaknya akan membawanya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan kesihatan.
“Saya bersyukur tidak menghidap apa-apa penyakit yang serius hanya sakit lutut sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Rahmah menyifatkan bantuan diterimanya itu sebagai rezeki tidak dijangka yang akan digunakan untuk membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kedai Kasut You Sdn Bhd, Gan Jackson berkata, syarikatnya memperuntukkan sebanyak RM22,000 bagi program berkenaan yang dilaksanakan di negeri ini dan Terengganu sempena Ramadan.
Menurutnya, ia adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat syarikat dan ia pertama kali diadakan di negeri ini.
“Kita akan menjadikan ia (bantuan) sebagai acara tahunan juga bakal menyusul dengan program Back to School di negeri ini tidak lama lagi,” katanya.
Sinar Harian
19 Jul 2013
0 comments:
Post a Comment