SEBUAH ambulans Hospital Tangkak terlibat kemalangan dengan tiga kereta di Jalan Salleh, Muar, semalam.
MUAR 1 Julai - Sebuah ambulans dari Hospital Tangkak yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar pesakit ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini terbabit dalam kemalangan di Jalan Salleh awal pagi ini.
Bagaimanapun, pemandu dan dua jururawat di dalam ambulans itu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu turut melibatkan tiga buah kereta lain yang dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Proton Saga dari arah Muar cuba memotong ambulans berkenaan.
Malangnya, kereta terbabit bertembung dengan sebuah lagi kereta Proton Saga yang datang dari arah Bukit Pasir sehingga mengakibatkan kereta itu berpusing lalu melanggar bahagian belakang kanan ambulans.
Akibat rempuhan itu, kereta terbabit terbabas ke kanan jalan dan dilanggar sebuah lagi kereta lain yang juga dari arah Bukit Pasir menghala ke Muar.
Penumpang kereta Proton Saga cedera parah dan dihantar ke HPSF di sini untuk rawatan, manakala yang lain hanya cedera ringan.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian dan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kejadian ambulans terbalik itu merupakan kali ketiga dalam masa sebulan dengan yang pertama berlaku apabila sebuah ambulans dari Hospital Pakar Putra Batu Pahat terlibat kemalangan di jalan pintas pukul 9.45 pagi, 8 Jun lalu.
Kejadian kedua pula berlaku apabila sebuah ambulans dari Klinik Kesihatan Grisek yang membawa mangsa kemalangan terlibat nahas jalan raya di Parit Turun, Bukit Gambir, Ledang, kira-kira pukul 7.30 malam, 15 Jun lalu.
Kedua-dua kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Utusan
2 Jul 2013
0 comments:
Post a Comment