Thursday, July 11, 2013

Bekalan isi durian mencukupi

Faridulatrash (tiga, kiri) turut mencuba penyediaan makanan berasaskan durian yang diketuai oleh Chef Razak (empat, kiri) ketika Kursus Makanan Berasaskan Produk Durian anjuran Fama Daerah Muar di Pusat Bimbingan Usahawan Tani, Pagoh dekat sini, kelmarin.

MUAR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mempunyai bekalan isi durian mencukupi bagi menampung permintaan yang tinggi terhadap buah itu selepas  mengalami proses evolusi pada pertengahan 2006.

Pengarah Fama negeri, Faridulatrash Md Mokri berkata, setakat ini agensi itu mempunyai 18 tan metrik isi durian yang disimpan di pusat penyimpanan sejuk beku di Tangkak, Johor dan Kuantan, Pahang.

“Sebagai contoh di Kuantan, kita mempunyai 10 tan metrik isi durian kerana negeri itu yang sememangnya terkenal dengan masakan ikan patin masak tempoyak telah menggunakan isi durian sebagai bahan utamanya.

“Kini isi durian telah dikomersialkan dalam pelbagai penyediaan makanan seperti kek lapis durian, crepe durian, kek kukus durian, cendol durian, aiskrim durian dan donut durian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Makanan Berasaskan Produk Durian anjuran Pejabat Fama Daerah Muar di Pusat Bimbingan Usahawan Tani, Pagoh dekat sini, kelmarin.

Beliau berkata, produk makanan berasaskan durian keluaran tempatan semakin mendapat tempat dan telah berjaya menembusi pasaran luar negara seperti China, Taiwan dan Bangladesh.

“Ini sekaligus dapat menyelesaikan masalah lambakan durian yang pernah berlaku dalam negara sekitar tahun 2005 hingga 2008 yang turut menyebabkan harga raja buah itu jatuh merudum.

“Kita menggalakkan masyarakat luar bandar khususnya supaya mengambil peluang ini untuk meningkatkan ekonomi kerana ramai di antara mereka mempunyai tanaman durian,” katanya.

Mengenai program, tersebut, Faridulatrash berkata, lebih 40 usahawan dari daerah ini, Ledang dan Johor Bahru menyertai kursus tersebut bagi mempelbagaikan produk berasaskan durian.

“Peserta terdiri daripada pengusaha kedai kek, suri rumah dan graduan lepasan universiti yang berhasrat menjadi usahawan muda.

“Mereka diajar bermula daripada pembuatan sehingga kaedah pembungkusan dengan kos yang sangat minima”, katanya.

Seorang peserta, Murni Asyikin Normaen, 21 berkata, penyertaannya dalam kursus ini adalah dimanfaatkan untuk menimba ilmu dalam pembuatan kek dan aiskrim durian yang makin digemari ramai.

Sinar Harian
11 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment