Thursday, July 11, 2013

Laman sesawang HPSF digodam

Laman sesawang HPSF yang digodam oleh pihak tertentu.

MUAR - Laman sesawang Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, dipercayai digodam pihak tertentu menyebabkan ia tidak dapat diakses oleh orang ramai sejak beberapa hari lalu.

Laman sesawang http://hpsf.moh.gov.my tidak dapat dibuka selain memaparkan kenyataan ‘Controlled by Dr. Death’ selain mesej berbentuk isu pembunuhan di Myanmar.

Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Saifullah, 27, berkata beliau terkejut apabila mendapati laman sesawang itu hanya memaparkan skrin hitam dan tulisan tertentu selain tidak dapat berfungsi seperti biasa  kira-kira jam 11 pagi.

Katanya, pihak tidak bertanggungjawab tidak seharusnya menggodam laman sesawang penting seperti hospital kerana ia boleh menyusahkan pengguna lain yang mungkin mahu mendapatkan maklumat penting atau nombor telefon jika berlaku kecemasan.

“Saya berharap masalah ini dapat segera diperbaiki kerana ia jelas menyukarkan pelawat seperti saya yang mahu mendapatkan maklumat mengenai hospital berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HPSF, Dr Salehudden Abd Aziz berkata,  kejadian disedari pihaknya pada kira-kira jam 7.30 pagi dan dipercayai bermula selepas jam 5.30 petang kelmarin iaitu kali terakhir pihak hospital boleh mengakses laman sesawang itu.

“Kita sudah memaklumkan hal ini kepada pihak bertanggungjawab dan akan ditutup segera untuk menjalankan siasatan, ini kali pertama ia terjadi dan mungkin dilakukan bukan secara khusus untuk laman sesawang HPSF saja,” katanya, semalam.

Beliau berkata, masalah berkenaan akan cuba diselesaikan secepat mungkin dalam tempoh 24 jam dan sebagai langkah berjaga-jaga, pihak hospital akan menaik taraf perisian lebih baik bagi mengelakkan ia kembali digodam.

"Pihak hospital juga sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan lanjut.

Sinar Harian
11 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment