Ali@Krisnan (kiri) bersama anaknya, Bibah di rumah sewa mereka di Jalan Sungai Abong di sini.
Suhaila memerhatikan penduduk kampung membaiki kerosakan pada rumah pusaka dihuninya di Parit Amat, Jalan Abd Rahman.
MUAR – Hasrat seorang warga emas untuk memiliki rumah idaman terhalang berikutan tidak mempunyai tanah sendiri meskipun kediaman sudah diperoleh melalui permohonan bantuan kerajaan.
Ali@Krishnan Abdullah, 72, berkata, perkara itu diketahui daripada rakan-rakan yang pernah membuat permohonan rumah sebelum ini di mana memiliki tanah sendiri menjadi syarat wajib untuk membuat permohonan kediaman terbabit.
“Dengan syarat itu, saya tidak jadi untuk mohon rumah kerana sudah tahu jawapannya (tidak layak).
“Saya tidak ada tanah dan sebab itu juga sehingga kini masih menyewa rumah di Jalan Sungai Abong bersama anak dan cucu,” katanya.
Ali berkata, dia berasa runsing setiap kali memikirkan masa depan anak yang merupakan ibu tunggal serta cucunya kerana masih tidak memiliki rumah sendiri untuk berteduh.
“Saya sudah tua dan tidak sihat, saya juga tidak pasti sampai bila mampu bayar sewa rumah sebanyak RM300 yang diperoleh daripada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Sementara itu, bagi Suhaila A Hamid, 41, berkata, sebelum ini, dia terpaksa menunggu hampir dua tahun permohonan bantuan rumah daripada Baitulmal bagi menggantikan rumah pusaka yang dihuninya itu sudah uzur.
Bagaimanapun, katanya, penantiannya berakhir apabila pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Cawangan Muar memaklumkan permohonannya itu sudah sudah diluluskan membabitkan rumah berharga RM36,600.
Sinar Harian
29 Jul 2013
Dua kali lalui hidup perit
Kakitangan Kedai Kasut You Sdn Bhd menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 kepada Bibah pada program U Care di rumahnya di No 131 A, Jalan Sungai Abong.
MUAR - Seorang ibu tunggal terpaksa melalui kehidupan memeritkan buat kali kedua apabila bapa yang menjadi tempatnya bergantung jatuh sakit.
Bibah Ali@Krisnan, 36, sebelum ini diceraikan suami kira-kira empat tahun lalu.
Bapanya Ali@Krisnan Abd Manan, 71, kini menghidap penyakit kaki dan lutut memaksanya berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat pada tahun lalu.
“Selepas bercerai, bapa yang tanggung saya dan empat anak berusia antara sembilan hingga 18 tahun termasuk bayar sewa rumah RM200 sebulan.
“Apabila ayah berhenti kerja, kami mengalami masalah kewangan yang agak teruk. Saya terpaksa bekerja sambilan sebagai pembantu kedai pada waktu malam,” katanya.
Bibah berkata, pendapatan diterimanya sebanyak RM500 sebulan masih tidak cukup menjadikan kehidupan yang dilalui serba kekurangan dan menghuni rumah sewa dengan tidak sempurna.
“Makan minum kami tak sempurna. Jika tiada wang, kami makan sekali sehari. Itu pun makanan yang dibawa sepupu daripada lebihan kedai makan tempatnya bekerja.
“Mujur bapa ada terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. Kadang-kadang wang ini digunakan sebagai pusingan sementara menunggu saya dapat gaji,” katanya.
Keadaan rumah sewa yang dihuninya sejak empat tahun lalu tidak sempurna dan bumbung juga bocor.
Bibah terharu apabila ada pihak yang prihatin menghulurkan sumbangan ketika menjelang Aidilfitri.
“Wang ini akan digunakan untuk membeli kelengkapan hari raya anak-anak yang sudah lama ditidak beli.
“Terima kasih Kedai Kasut You Sdn Bhd atas sumbangan ini,” katanya.
Sinar Harian
28 Jul 2013
0 comments:
Post a Comment