Thursday, April 11, 2013

39 pengedar, penagih dadah ditahan


MUAR 10 April - Empat pengedar dan 35 penagih dadah ditahan dalam operasi selama 10 hari di sekitar daerah ini yang berakhir hari ini melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Sahadan Jaafar berkata, kesemua dadah berkenaan terdiri daripada 253 gram (g) heroin, syabu (14.97 g), 160 biji pil Eramin 5 dan 20 biji pil ekstasi yang boleh dibekalkan kepada 3,000 penagih.

“Kita tangkap suspek pertama berusia 51 tahun bersama heroin di Taman Bintang, Parit Jawa kira-kira pukul 11 pagi pada 6 April lalu. Suspek yang masih bujang dan tinggal di rumah keluarga, mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Dua hari selepas itu kira-kira pukul 6 petang, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Indah, Sungai Abong dan menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dan merampas heroin, syabu, pil ekstasi, pil Eramin 5 dan ketamin," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini hari ini.

Dalam serbuan ketiga semalam, Sahadan berkata, dua sahabat berusia 46 dan 48 tahun ditahan di sebuah rumah di Jalan Haji Yunus kira-kira pukul 5.30 petang bersama sejumlah heroin yang dianggarkan bernilai lebih RM10,000.

Beliau berkata, keempat-empat pengedar dadah yang ditangkap dalam tiga operasi berasingan itu positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 15 1(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39B akta yang sama.

Utusan 11 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment