Thursday, April 4, 2013

Pasangan kekasih ditahan lagi


Mohamad Nasir memeriksa kereta yang ditemui selepas menahan sepasang kekasih di sebuah rumah di Sungai Abong, Ahad lalu.

MUAR – Sepasang kekasih yang memiliki lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah ditahan lagi selepas didapati menyimpan pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah rumah perumahan di Jalan Bakri, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, serbuan jam 6 petang itu menjumpai heroin seberat 15.82 gram (gm) dan 40 biji pil eramin 5 yang disembunyikan di rumah tersebut.

Menurutnya, dadah bernilai RM1,800 dipercayai boleh menampung keperluan kepada 500 penagih di daerah ini.

“Wanita berusia 33 tahun itu memiliki tiga rekod lampau di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 bersangkutan laporan Balai Polis Muar pada 2004, Seksyen 29B akta sama juga laporan di Balai Polis Muar 2005.

“Dia juga mempunyai rekod di bawah Seksyen 39B akta sama yang bersangkutan laporan Balai Polis Bakri pada 2013,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Mohamad Nasir berkata, manakala teman lelakinya yang berusia 31 tahun itu memiliki rekod di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2011 dan Seksyen 39 a (1) akta sama bersangkutan laporan Balai Polis Muar pada tahun lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya turut menjumpai sebuah kereta Suzuki Swift di rumah berkenaan yang dilaporkan hilang di Melaka pada 2012.

“Kita tidak menolak kereta itu turut digunakan suspek untuk menjalankan aktiviti menjual dadah kepada pelanggannya.

“Nilai rampasan termasuk kereta tersebut dianggarkan berjumlah RM90,000 dan kereta itu akan diserahkan ke Balai Polis Bukit Baru, Melaka,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, melalui ujian air kencing, pasangan kekasih itu didapati positif dadah jenis syabu.

“Penagih tegar itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai pekerjaan utamanya sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Katanya, mereka ditahan reman sehingga 5 April ini untuk siasatan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 1(a) dan Seksyen 39 a akta sama.

Sinar Harian
4 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment