Sunday, April 7, 2013

RM1,000 buat setiap balu veteran ATM


SHAMSUDIN Rais menunjukkan borang SVTB1M untuk balu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen di Muar, Johor, semalam.

MUAR 6 April - Sebanyak 150 balu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen di daerah ini bakal menerima Sumbangan Veteran ATM Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) sebanyak RM1,000 seorang tidak lama lagi.

Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar, Shamsudin Rais berkata, borang permohonan telah dikeluarkan mulai 1 April lalu dan meminta semua balu veteran ATM tidak berpencen datang ke pejabat PBTM atau ke kem tentera berhampiran untuk mendapatkannya.

Menurutnya, borang yang lengkap perlu dihantar bersama dokumen salinan kad pengenalan balu, salinan buku pengakuan perkhidmatan ATM dan salinan buku bank balu.

"Mereka juga perlu menghantar salinan sijil kematian suami dan surat akuan nikah atau sijil kelahiran salah seorang anak kandung balu bersama bekas tentera yang telah disahkan oleh Pegawai Bertauliah ATM, Pegawai Kerajaan Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau Ketua Kampung.

"Borang permohonan perlu dihantar segera sebelum 1 Mei ini di mana-mana pejabat PBTM cawangan berhampiran," katanya ketika ditemui di pejabat PBTM Cawangan Muar di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan kerajaan sedia menimbang pemberian SVTB1M kepada balu tentera sebagai menghargai sumbangan suami mereka yang telah meninggal dunia.

Pengumuman tersebut dibuat dalam Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Pesara Tentera Tidak Berpencen Negeri Johor di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bakri dekat sini pada Februari lalu.

Bantuan itu diharap membela nasib keluarga bekas tentera tidak berpencen terbabit, selain meringankan beban golongan berkenaan.

Utusan 7 Apr 2013


0 comments:

Post a Comment