Tuesday, April 2, 2013

Kenal pasti kawasan baharu tanaman padi

SAIPOLBAHARI Suib (dua dari kanan) menyampaikan replika cek bantuan baik pulih stor baja padi kepada wakil Pertubuhan Peladang Kawasan Tangkak di Kompleks Bimbingan Usahawan Tani dekat Pagoh, Muar, kelmarin.

PAGOH 27 Mac - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan mengenal pasti kawasan-kawasan baharu di Johor untuk penanaman padi bagi meningkatkan hasil beras yang kini pengeluarannya tidak sampai 10 peratus untuk keperluan negeri dan negara.

Pengerusinya, Datuk Saipolbahari Shuib berkata, setakat ini kawasan sawah padi di seluruh negeri hanya berkeluasan 1,531 hektar yang melibatkan seramai 758 pesawah meliputi kawasan Ledang, Mersing, Muar dan Kluang.

"Paling luas kawasan penanaman padi adalah di Ledang dengan 650 hektar iaitu di Kesang Tasek melibatkan 67 hektar, Kesang Gates (32 hektar), Teluk Rimba (164 hektar), Pulau Penarik (50 hektar), Sawah Ring (267 hektar) dan Sagil (70 hektar).

"Kedua terbesar adalah di Mersing dengan 496 hektar iaitu di Endau (420 hektar) dan Air Papan (76 hektar) sementara di Muar melibatkan 301 hektar iaitu di Sungai Balang (62 hektar) dan Parit Yusof (239 hektar) manakala yang akhir di Kahang, Kluang dengan keluasan 84 hektar sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Anugerah Peladang dan Seminar Pemindahan Teknologi Skim Insentif Pengeluaran Padi Kerajaan Persekutuan Peringkat Johor di Kompleks Bimbingan Usahawan Tani Pagoh di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Nafas menyampaikan bantuan RM140,000 kepada tujuh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negeri dengan setiap satu menerima RM20,000.

Saipolbahri turut menyampaikan anugerah untuk Peladang Jaya Peringkat Negeri Johor, Unit Peladang Jaya dan Pertubuhan Peladang Jaya selain Bantuan Kumpulan Wang Pendidikan Nafas kepada anak-anak ahli pertubuhan itu.

Mengenai seminar disertai 262 orang majoritinya ahli-ahli dari tujuh PPK Johor tersebut, katanya, usaha itu bertujuan memberi pendedahan penggunaan teknologi terkini kepada pesawah.

Utusan
28 Mac 2013

0 comments:

Post a Comment