MUAR – Polis menahan dua remaja lelaki dipercayai terlibat melakukan perbuatan berunsur provokasi dengan memecahkan cermin sebuah van milik DAP yang diletakkan di hadapan bilik gerakan parti itu di Jalan Sakeh, Bakri di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Senior Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, remaja berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan kira-kira 45 minit selepas melakukan perbuatan tersebut disaksikan tujuh petugas Barisan Nasional (BN) ketika memasang bendera, pada jarak 100 meter dari tempat kejadian.
Menurutnya, dua suspek itu diberkas selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki.
“Pengadu memberitahu pada jam 4 pagi, dia melihat dua remaja menaiki motosikal menghampiri van sebelum bertindak memecahkan cermin van itu dan kemudiannya meninggalkan tempat kejadian apabila perbuatannya disedari petugas terbabit.
“Unit kereta peronda dan motosikal membuat rondaan di sekitar kawasan kejadian, lalu terserempak dengan suspek menunggang motosikal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.
Katanya, hasil pemeriksaan mengenal pasti motosikal dinaiki suspek.
Mohamad Nasir berkata, kedua-dua suspek dari Bakri itu ditahan sementara untuk membantu siasatan.
“Soal siasat ke atas mereka mengaku melakukan perbuatan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti dalang kejadian,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 kanun sama.
Sinar Harian
24 Apr 2013
0 comments:
Post a Comment