Monday, April 15, 2013

Jadikan bidang sukan kerjaya jangka panjang - Razali


RAZALI Ibrahim (di belakang) bersama murid-murid sekolah yang menyertai Karnival Multilateral Institut Sukan Negara Sukan di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, Johor, semalam.

MUAR 14 April - Kesedaran ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka menceburi bidang sukan sebagai kerjaya pada masa depan, masih berada di tahap yang rendah kerana ramai yang lebih mengutamakan akademik.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, persepsi sukan tidak menjamin masa hadapan perlu diubah kerana bidang itu boleh menjadi satu profesion jangka panjang seperti bidang lain.

"Ibu bapa harus memberi sokongan kepada anak-anak untuk terlibat dalam bidang sukan kerana mereka boleh menjadi jurulatih bertauliah, atlet atau ahli sukan.

"Ini bukan sahaja untuk mempraktikkan gaya hidup sihat tetapi membantu menambah baik prestasi sukan negara pada masa depan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Multilateral Institut Sukan Negara (ISN) - Tarik Minat Kanak-Kanak Dalam Sukan di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Seramai 350 orang kanak-kanak daripada 10 buah sekolah sekitar Parlimen Muar mengambil bahagian dalam program anjuran ISN itu yang bertujuan menanam minat bersukan di samping melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Kanak-kanak tersebut diperkenalkan dengan lima sukan popular iaitu bola sepak, hoki, bola jaring, memanah dan ragbi selain turut terdapat aktiviti asas latihan fizikal dan elemen kemahiran multilateral.

Razali berkata, pada masa ini golongan ibu bapa terlalu menumpukan bidang pelajaran supaya anak-anak dapat memegang jawatan tinggi dalam kerajaan atau menjadi ahli profesional contohnya doktor, guru dan jurutera.

"Usaha melahirkan atlet atau ahli sukan sejajar hasrat Kementerian Pelajaran yang mahukan keseimbangan antara akademik dan sukan, bertujuan menambah baik prestasi sukan negara dalam penghasilan atlet bertaraf dunia," ujarnya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Mohd. Zahid Azmi, 11, menyifatkan program tersebut amat bermanfaat untuk generasi muda sepertinya memupuk minat dalam bidang sukan terutama kanak-kanak yang mempunyai bakat dalam bidang tersebut.

"Melalui program ini, saya dapat mengetahui undang-undang dalam beberapa jenis sukan, berkenalan dengan rakan baru dan melakukan aktiviti sukan kegemaran saya," ujarnya.

Utusan 15 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment