Wednesday, April 24, 2013

BN lancar manifesto Parlimen Bakri


CHRIS Lee Ching Yong (dua dari kanan) bersama para penyokong BN melihat Manifesto Pembaharuan ke Arah Transformasi bagi Parlimen Bakri di Bangunan UMNO Bahagian Bakri di Muar, Johor, semalam.

MUAR 22 April - Barisan Nasional (BN) Bakri hari ini melancarkan manifestonya sendiri dalam usaha merampas kerusi Parlimen berkenaan daripada DAP selain membawa harapan baharu kepada 67,329 pengundi di kawasan tersebut.

Manifesto bertemakan 'Pembaharuan Ke Arah Transformasi' dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris itu dilancarkan oleh calon BN Parlimen Bakri, Chris Lee Ching Yong di Bangunan UMNO Bahagian Bakri, di sini.

Ching Yong yang juga Naib Ketua Pemuda MCA negeri berkata, manifesto itu dirangka untuk menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada penduduk Bakri selain penyelesaian kepada isu-isu di kawasan itu yang gagal ditangani DAP.

Ketua Pemuda MCA Bahagian Bakri itu berkata, selepas lima tahun DAP menang kerusi berkenaan, wakilnya tidak membawa sebarang perubahan atau pembangunan, malah penduduk sudah bosan dengan pembangkang yang tidak berbuat apa-apa untuk kesejahteraan hidup mereka.

"Kita mempunyai lima perkara utama dalam Manifesto Bakri, pertamanya membawa agenda transformasi nasional di kawasan Bakri. Perkara kedua ialah meningkatkan suasana bersatu padu, sejahtera, selamat dan bersih.

"Perkara ini penting kerana DAP di Bakri hanya membawa perpecahan dalam kalangan masyarakat selain mewujudkan jurang perkauman yang luas. Begitu juga kita mahu aspek kebersihan di bandar Muar sebagai bandar diraja ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata, penjagaan aspek kebersihan dilakukan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyediakan tong sampah baharu selain menutup tapak pelupusan sampah di Bukit Bakri secara berperingkat-peringkat hingga tahun depan.

Utusan
23 Apr 2013


0 comments:

Post a Comment