Tuesday, April 2, 2013

Pasar Awam Maharani Muar jijik


LONGGOKAN sampah yang tinggi 'membukit' mencacatkan pemandangan di Pasar Awam Maharani, Muar, Johor, semalam.

MUAR 1 April - Aspek kebersihan adalah perkara penting yang dititikberatkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa mengisytiharkan bandar Muar sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja dua tahun lalu.

Bagaimanapun, titah baginda itu seakan-akan tidak diambil serius apabila masalah kebersihan terutamanya sampah-sarap masih 'membelenggu' bandar ini walaupun telah berstatus Bandar Diraja.

Terbaharu, masalah longgokan sampah yang tinggi 'membukit' di Pasar Awam Maharani, Jalan Salleh di sini bukan sahaja menjijikkan, malah menimbulkan bau busuk yang menjejaskan imej bandar ini sebagai Bandar Diraja.

Difahamkan pasar awam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan itu berkeadaan demikian sejak sebulan lalu apabila sisa buangan sayur, ikan, daging dan bahan basah lain dibiarkan sehingga longgokannya boleh dilihat dari jalan utama.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) DUN Bentayan, Chriss Lee Ching Yong berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada peniaga dan orang ramai tentang masalah pengangkutan sampah yang tidak sistematik serta tidak mengikut jadual.

"Timbunan sampah dibuang oleh peniaga di pasar berkenaan pada kebiasaannya diambil setiap hari, namun difahamkan pihak kontraktor tidak melakukannya mengikut rutin menyebabkan sampah itu mula reput dan mengeluarkan bau busuk.

"Sampah ini sudah tiga hingga empat hari tidak dikutip oleh pihak bertanggungjawab sehingga boleh menjejaskan imej Bandar Diraja, selain menyebabkan peniaga dan pembekal sukar keluar masuk untuk memunggah barangan mereka," katanya selepas melakukan tinjauan ke pasar tersebut hari ini.

Beliau yang juga Pegawai Khas Menteri Besar di DUN Bentayan berkata, jika dibiarkan, masalah tersebut boleh mendatangkan kesan lebih buruk, apatah lagi kepada pelancong luar yang sentiasa berkunjung ke daerah ini memandangkan pasar berkenaan berada di tengah bandar.

Menurutnya, jika pihak yang bertanggungjawab berdepan masalah untuk melakukan kerja-kerja memungut sampah itu, satu langkah yang wajar perlu diambil supaya dapat diselesaikan, seterusnya memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Saya akan membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) supaya masalah ini dapat diselesaikan hari ini juga bagi membolehkan sampah segera dibuang.

"Jika kontraktor terbabit ada masalah, perkara ini tidak sepatutnya membebankan pihak lain kerana itu sememangnya tanggungjawab yang sudah diberikan kepada mereka dan dibayar oleh rakyat," katanya sambil memberitahu kawasan pembuangan sampah itu sempit dan jika segera diangkut akan menyukarkan kenderaan keluar masuk.

Utusan
2 Apr 2013



Pekerja mogok punca sampah tidak diangkut

MUAR 2 April - Masalah sampah tidak diangkut di Pasar Awam Maharani di sini, sehingga dibiarkan 'membukit' selama berhari-hari adalah disebabkan oleh pekerja di bawah kontraktor bertanggungjawab mengangkutnya melancarkan mogok kerana tidak dibayar gaji.

Bagaimanapun, masalah itu difahamkan sudah selesai selepas kontraktor terbabit menjelaskan gaji yang dikatakan tertunggak dan kerja-kerja mengangkut sampah sudah berjalan seperti biasa.

Difahamkan tugas mengangkut sampah di pasar awam tersebut adalah di bawah tanggungjawab dua pihak iaitu kontraktor yang dilantik Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan juga SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM).

Pegawai Komunikasi Korporat SWM Environment Sdn. Bhd., Choo Chiau Seng berkata, pihaknya hanya menyediakan dua tong besar di bahagian dalam dan satu lagi di bahagian luar pasar itu bagi menampung kapasiti sampah setiap hari.

Katanya, disebabkan longgokan sampah berbau hanyir dan meloyakan itu sudah menutup jalan dan kawasan di sekeliling tong SWM, pihaknya tidak dapat mengangkut sampah dari tong berkenaan.

"Kita sediakan satu tong di luar pasar untuk sisa sayur dan satu tong dalam pasar untuk sisa perut ikan, lembu dan sebagainya. Disebabkan masalah 'dalaman' kontraktor terbabit, kita tidak dapat mengangkut sampah mengikut jadual," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam masalah sampah di pasar awam itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) DUN Bentayan, Chriss Lee Ching Yong selepas pihaknya menerima rungutan peniaga dan orang ramai yang tidak tahan dengan keadaan itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar awam itu hari ini mendapati, kerja-kerja pembersihan melibatkan kontraktor terbabit dengan kerjasama SWM, MPM dan sebuah lagi kontraktor dilakukan selama lebih satu jam bermula pukul 9.30 pagi.

Chiau Seng berkata, sepatutnya sampah di kawasan itu yang merupakan tempat tumpuan awam dikutip setiap hari pada tengah hari atau petang dan merupakan rutin harian namun pihaknya menggunakan jentera penolak (JCB) untuk membersihkan keseluruhan 'bukit' sisa buangan itu selain membersihkan bahagian dalam pasar termasuk longkang.

Utusan
3 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment