REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Saturday, February 25, 2012

Selam 5 meter cari tiram

MUAR: Menyelam ke dasar sungai sedalam lima meter lebih 50 kali dalam masa dua jam antara kepakaran dimiliki Nasir Kasim, 43, bagi mencari tiram di dasar Sungai Muar, di sini, sejak 16 tahun lalu.

Nasir berkata, dia terpaksa menyelam berulang kali dalam tempoh singkat berikutan terpaksa menunggu air pasang bagi mengelakkan arus kuat sekiranya aktiviti itu dilakukan ketika air surut.

Bukan saja menyelam pada waktu siang, dia juga pakar mengesan tiram pada waktu malam melalui kaedah meraba kedudukan makanan laut itu di dasar sungai.

“Memang kerja ini bahaya berikutan terdedah kepada risiko kemalangan seperti serangan hidupan atau ikan berbisa selain kayu yang hanyut di dasar sungai terutamanya jika menyelam pada waktu malam.

“Kerana ingin mencari rezeki, semua itu ditempuh. Dengan membaca al-Fatihah saya dengan tenang akan turun ke dalam air selepas mengenal pasti beting pasir yang menjadi lubuk tiram membiak,” katanya.

Menurut Nasir, dia mewarisi pekerjaan itu daripada ayahnya dan diturunkan kepada empat generasi bermula daripada arwah moyangnya.

Untuk menyelam, katanya, dia mengamalkan petua tidak mengambil minuman berais serta tidur yang cukup bagi mengekalkan kecergasan serta mengawal kadar oksigen dalam badan.

“Bukan senang menyelam kerana badan perlu cergas kerana kami tidak menggunakan sebarang alat bantuan pernafasan dan semuanya bergantung pada tulang empat kerat.

“Selain perlu mempunyai ketahanan menahan nafas dalam tempoh dua hingga tiga minit, penyelam juga perlu cergas kerana mesti melawan arus sungai bergantung kepada keadaan pasang surut,” katanya.

Sebagai penyelam tiram dan juga nelayan berpengalaman, Nasir pakar mencari lubuk tiram di beberapa beting pasir yang dikenal pasti.

Bagi memastikan beting berkenaan mempunyai tiram, dia menggunakan batang kayu bakau untuk merasa keadaan di dasar dan daripada itu Nasir dapat mengetahui jumlah tiram yang ada.

“Tiram berkenaan menjadi buruan penyelam berikutan permintaannya yang tinggi selain harga lumayan mencecah RM30 sekilogram.

“Bagaimanapun, jumlah tiram di sini semakin berkurangan akibat pencemaran serta banjir yang kerap melanda menyebabkan kualiti air terjejas,” katanya.

Menurut Nasir, kerana sudah biasa, mereka tetap menyelam dan kebiasaannya, musim mencari tiram adalah pada Julai dan Ogos.

“Tiram juga amat digemari masyarakat Cina kerana ia berkhasiat untuk tenaga kaum lelaki serta wanita mengandung,” katanya.

myMetro
25 Feb 2012

Friday, February 24, 2012

18 tahun tinggal dalam pondok usang


MUAR – Meskipun mendiami pondok usang yang berlantaikan tanah dan tidak bertemankan cahaya lampu elektrik juga pelita, namun ia ibarat syurga buat seorang warga emas yang menduduki rumah itu sejak 18 tahun lalu.

Daud Idris, 72, kini tinggal sendirian di pondok tersebut yang dibina di atas tanah rizab laut meng­­gunakan papan jeti terpakai di Lorong 3 Parit Perupuk Laut, Jalan Junid di sini.

Menurutnya, sejak kematian ibu lebih 10 tahun lalu, kehidupannya melarat dan tidak mempunyai tempat tinggal.

“Saya tidak tahu hendak tinggal di mana dan merayau-rayau di kawasan ini akhirnya terjumpa papan jeti terpakai lalu membina pondok di sini.

“Asalnya tempat ini adalah bekas tapak kedai makan kepada nelayan bagi jeti Jalan Junid,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Anak kelahiran Segamat itu berkata, dia tidak pernah mendirikan rumah tangga dan lebih selesa untuk hidup sendiri.

“Saya tak mahu susahkan adik-beradik yang lain kerana mereka mempunyai komitmen terhadap keluarga masing-masing.

“Biarlah saya habiskan sisa usia emas di sini,” katanya.
Daud berkata, dia selalu mengisi masa lapang dengan memancing ikan di pinggir pantai berhampiran bagi menghilangkan kesunyiannya.

“Jika dapat hasil tangkapan ikan yang banyak, saya akan jualnya dan sedikit lebihan ini untuk kegunaan sendiri.

“Hasil tangkapan ikan ini juga jadi mata pencarian saya selain ber­­gantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan yang diterima lebih tiga tahun lalu,” katanya.

Katanya lagi, selain elektrik, pondok ini juga tiada kemudahan air paip dan dia terpaksa menum­pang mandi dan mencuci pakaian di surau berhampiran.

“Mujur penduduk di sini memahami keadaan saya dan izinkan untuk guna kemudahan tersebut.

“Sering juga terdetik di hati untuk memiliki rumah yang selesa apabila setiap kali melihat rumah jiran yang cantik-cantik,” katanya.

Tetapi katanya, hasrat itu terpaksa dilupakan kerana dia tidak mempunyai wang untuk membina rumah baru.

“Saya bercadang untuk memo­hon bantuan Projek Pe­ru­ma­han Rakyat Termiskin (PPRT) tetapi tidak tahu caranya,” katanya.

Sementara itu, ketua kampung tersebut, Mohamad Husin ketika dihubungi berkata, beliau te­lah menghantar permohonan ban­­tuan rumah PPRT untuk Daud.

Namun Mohamad berkata, beliau dimaklumkan Daud tidak layak kerana dia (Daud) tidak mempunyai tanah dan pondok yang diduduki itu dibina atas tanah rizab milik Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS).

“Walau bagaimanapun saya telah panjangkan masalah tersebut kepada Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Justeru, kepada orang ramai yang berminat untuk menghulurkan sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Daud bernombor (01156-41-00001981-2).

Sinar Harian
24 Feb 2012

Thursday, February 23, 2012

Penduduk tertekan berjiran tapak parkir treler

MUAR – “Kami tertekan kerana tidur malam sering terganggu oleh bunyi kuat enjin dan hon treler,” demikian rintihan 50 penduduk di Bakri, dekat sini, yang berjiran dengan tapak parkir treler.

Penduduk mendakwa masalah tersebut sudah berlarutan sejak 11 tahun lalu dan hingga kini tidak menunjukkan sebarang petanda ianya akan selesai.

Salah seorang penduduk, Sura Othman, 41, berkata, kawasan itu adalah milik persendirian yang disewa untuk dijadikan tapak parkir treler.

“Kedudukannya yang terlalu hampir dengan rumah penduduk, iaitu kira-kira lima meter telah mengundang masalah kepada kami.

“Setiap hari dianggarkan 40 treler yang bersilih ganti akan memasuki kawasan ini bermula pada jam 6 petang hingga 9 malam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kemuncaknya ialah pada jam 3 hingga 5 pagi kerana pada waktu itu, pemandu treler hendak keluar bekerja.

“Sudahlah bunyi enjin treler ini kuat, saya juga kesal kerana pada waktu beginilah mereka akan menekan-nekan hon sehingga menyebabkan kami terjaga daripada tidur.

“Anak-anak kecil yang sedang tidur juga sering menangis kerana terkejut apabila mendengar bunyi hon treler yang terlalu kuat,” katanya.

Katanya lagi, lebih ketara sejak kewujudan parkir treler itu, banyak rumah di sini mengalami kerosakan termasuk retak pada bahagian dinding.

“Ini kerana rumah akan bergegar setiap kali treler lalu dan secara tidak langsung menjejaskan struktur rumah penduduk.

“Saya bimbang jika keadaan ini berlarutan, rumah penduduk yang sudah sedia rosak akan bertambah teruk dan tidak mustahil boleh runtuh,” katanya.

Jelasnya, berikutan masalah itu dia terpaksa menanggung banyak kerugian kerana perlu mengeluarkan modal membaiki rumah yang retak setiap tahun.

Sura berkata, dia telah mengadu masalah tersebut kepada pihak berkaitan tetapi tidak membuahkan hasil.

“Sebaliknya, pihak terbabit menuduh kononnya saya membina rumah tidak mengikut spesifikasi yang betul berikutan kesan retak yang terdapat di rumah.

“Saya sangat kesal dengan tuduhan itu kerana pihak terbabit sepatutnya membantu menyelesaikan masalah bukannya menambah masalah,” katanya.

Sinar Harian
23 Feb 2012

Wednesday, February 22, 2012

Mayat lelaki Nepal dijumpai tergantung pada pokok

MUAR - Seorang peniaga ayam terkejut apabila menjumpai mayat seorang lelaki tergantung pada sebatang pokok berhampiran jalan utama di Kawasan Perindustrian Parit Jamil, dekat sini, semalam.

Man Bahadur Tamang, 33, ditemui mati kira-kira jam 7.45 pagi oleh orang awam yang melalui jalan berkenaan.

Saksi kejadian, Raihan Ramzan, 37, berkata, pada mulanya dia menyangka objek yang dilihat hanyalah sebuah patung yang tergantung pada pokok tersebut.

Menurutnya, setelah diamati ia adalah mayat lelaki warga Nepal yang juga pekerja kilang perabot di kawasan perindustrian berkenaan.

“Saya sering kali menggunakan jalan ini untuk menghantar ayam proses kepada pelanggan di kedai berhampiran.

“Tetapi pada pagi kejadian, saya tergerak hati untuk memberhentikan kenderaan berhampiran pokok berkenaan selepas melihat objek tergantung pada pokok ini,” katanya.

Raihan berkata, kebetulan sebaik sahaja dia memberhentikan kenderaan di tempat kejadian, seorang polis bantuan melalui kawasan itu.

“Dia (polis bantuan) yang menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan ini,” katanya.

Penyelia kilang tersebut yang hanya dikenali sebagai Stella ketika dihubungi berkata, Man Bahadur sudah lima tahun bekerja di kilang berkenaan.

“Sepanjang mengenalinya, Man Bahadur adalah pekerja yang rajin, tidak banyak karenah dan seorang yang pendiam. Beberapa hari sebelum ditemui mati, Man Bahadur tidak datang bekerja dan dia dipercayai ada masalah keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

“Ketika ditemui, mayat lelaki Nepal ini lengkap berpakaian, namun kami tidak dapat mengenal pasti punca kejadian kerana masih dalam siasatan.

“Hasil siasatan awal, tidak menemui sebarang bukti yang mengaitkan kejadian ini dengan unsur jenayah,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat daripada Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Sinar Harian
22 Feb 2012

Tinggal dalam pondok usang



MUAR - Lapan beranak di Kampung Parit Abdul Aziz, Sungai Balang Darat dekat sini, terpaksa tinggal di pondok usang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran pada Jun tahun lalu.

Norhawa Arip, 37, berkata, pondok tersebut dibina atas tanah milik ibu mertuanya hasil gotong-royong penduduk kampung kerana mereka sekeluarga tidak mempunyai tempat untuk berteduh.

Menurutnya, pondok berukuran 20x15 kaki ini didiami bersama suami, Ariffin Md Amin, 39, dan enam anak mereka berusia 15 hingga tiga tahun, sejak lapan bulan lalu.

“Pendapatan suami sebagai pemandu lori tidak menentu kerana bergantung kepada perjalanan lori telah menyukarkan kami untuk membina rumah baru.

“Ia sekadar mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga termasuk perlu menanggung lima daripada enam anak yang masih bersekolah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Norhawa berkata, keadaan pondok itu juga sudah tidak kukuh, selain tidak mempunyai ciri keselamatan kerana hanya berdindingkan zink dan kanvas serta tidak berpintu.

“Jika hujan lebat, tidur malam kami sekeluarga sering terganggu kerana terkena tempias air hujan berikutan kanvas ini tidak mampu menahan tiupan angin yang kuat.

“Ketika inilah anak-anak terpaksa berhimpit-himpit mencari tempat berteduh bagi mengelak diri daripada terkena tempias air hujan,” katanya.

Menurutnya, hatinya begitu sayu bila melihat anak-anak membesar dalam keadaan kediaman yang kurang sempurna.

“Pondok ini tidak mempunyai bilik dan di ruang yang sempit inilah menjadi tempat tidur, tempat berehat, tempat makan dan tempat anak-anak membuat kerja sekolah.

“Pondok ini juga tidak mempunyai bekalan elektrik dan saya terpaksa mendapatkan bekalan elektrik dengan menyambung wayar menerusi rumah jiran bersebelahan rumah,” katanya.

Norhawa berkata, setiap malam pondok ini hanya bertemankan cahaya malap menggunakan satu mentol lampu sahaja.

“Pada siang hari pula, kami sekeluarga terpaksa menahan panas zink kerana bumbung pondok ini terlalu rendah.

“Atas ihsan daripada rakan suami yang telah memberikan kanvas dan kami jadikannya sebagai pengganti siling, Alhamdulillah dapat kurangkan sedikit panas dalam pondok ini,” katanya.

Menurutnya, kadang-kadang anak-anaknya merungut kerana tidak berasa selesa tinggal dalam pondok yang mereka duduki ketika ini.

“Saya hanya mampu memujuk mereka dengan mengatakan akan segera bina rumah apabila wang simpanan mencukupi.

“Apa yang menggusarkan hati saya apabila memikirkan keselamatan anak perempuan berusia 15 tahun kerana dia sering tinggal sendirian dengan keadaan rumah yang tidak berpintu,” katanya.

Norhawa berkata, selepas tragedi tersebut dia ada membuat permohonan rumah baru daripada Baitulmal menerusi ketua kampung tetapi masih tidak mendapat sebarang maklum balas positif.

Sementara itu, Ketua Kampung berkenaan, Abdullah Basiron berkata, pihaknya akan membantu untuk mengemukakan semula permohonan tersebut.

Sinar Harian
22 Feb 2012

Saturday, February 18, 2012

Maahad Tahfiz Al Quran Al Muhammadi Muar Perlu Bantuan

Maahad Tahfiz Al Quran Al Muhammadi (MTQM), Parit Medan, Muar, Johor perlukan bantuan daripada orang ramai bagi membina sebuah sebuah Asrama, kata Pengerusi Maahad, Dato’ Dr Mahfodz bin Mohamed.

Maahad bercadang membina sebuah asrama dua tingkat yang boleh menempatkan seramai 120 pelajar yang menelan belanja RM450 ribu.

Maahad Tahfiz ini diuruskan secara sukarela dan profesional untuk memartabatkan Al Quran sebagai Pusat Pengajian dan penghafalan Al Quran seterusnya melahirkan huffaz dan ulama yang berwibawa, bertaqwa dan berakhlaq mulia di negeri Johor.

Maahad Tahfiz ini mula beroperasi pada awal tahun 2004 dengan 12 orang pelajar dan kini meningkat kepada 50 orang. Dalam masa lima tahun Maahad tersebut telah berjaya melahirkan lebih 10 orang pelajar yang berjaya menghafal 30 juzuk.

Maahad tersebut yang mula dibina pada September 2003 mengandungi sebuah bilik Pejabat, sebuah bilik guru, 8 bilik kelas dan masing sebuah dewan, surau, kantin dan kedai koperasi.

Sempena Ramadhan, tuan-tuan diseru untuk berderma, kerana Firman Allah dalam surah Al baqarah ayat 261 bermaksud:

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan Ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnianya, lagi meliputi ilmu pengetahuannya”.

Oleh itu sebarang sumbangan derma tuan-tuan boleh dibuat secara tunai, cek atau Bank in kepada ke dalam akaun BIMB No. 0102 3010 0377 82 atas nama Maahad Tahfiz Al Quran Al Muhammadi di alamat No. 19, Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, 84710 Muar, Johor Darul Takzim. Sebarang pertanyaan sila hubungi 06 9727360/ 019 3531430.

2 Sep 2009

Dipetik dari laman

Perencah Mi Bandung giat cari pasaran baru


Perencah mi bandung Muar keluaran Koperasi Pengusaha Makanan Melayu Muar Bhd optimis meraih perolehan RM26,400 dengan jumlah pengeluaran 4,400 bungkus produk sebulan.

Setiausahanya, Mohd Fuad Saman berkata, bantuan yang disalurkan kerajaan adalah pendorong utama membolehkan mereka memanfaatkannya sebaik mungkin.

Menurutnya, setakat ini syarikat telah melabur RM30,000 dalam proses pembungkusan dan RM70,000 untuk pembelian mesin sekali gus berjaya menghasilkan 200 bungkus pengeluaran sehari.

“Dengan meng­gunakan lapan jenis mesin berbeza, tiga adunan dapat diproses dalam masa sehari. Setiap adunan bersamaan 70 bungkus. Perencah ini dibungkus seberat 300 gram dan dijual pada harga RM8 sebungkus.

“Mekanisme pemasaran yang dilaksanakan adalah dengan memasarkan di kios dan kedai sekitar Johor serta Klang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, penyertaan dalam ekspo dan karnival anjuran beberapa agensi dan badan korporat secara tidak langsung membantu meningkatkan perolehan bulanan mereka.

“Kami turut terlibat lebih daripada lima ekspo atau karnival dalam tempoh setahun,” katanya.

Menurutnya, antara negeri yang pernah dijelajah menerusi ekspo dan karnival termasuk di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Lembah Klang.

“Bagaimanapun, kami sedang dalam proses mencari ejen di negeri lain supaya pemasaran produk dapat dilebarkan ke setiap negeri dan urusan pemasaran lebih mudah.

“Pengeluaran dua jenis produk baru seperti mi rebus dan soto dilihat menjadi fokus utama tahun ini. Resipinya telah diperoleh, tetapi masih dalam proses penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

Sinar Harian
18 Feb 2012

Friday, February 17, 2012

Otak berkecai atas jalan

MUAR - Seorang penoreh getah menemui ajal dalam keadaan mengerikan dengan otaknya berkecai apabila terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Mor, Parit Jawa dekat sini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.50 pagi, mangsa, Kiman Sabar, 86, dari Parit Jawa menunggang basikal seorang diri menghala ke Jalan Parit Yusof.

Difahamkan, Kiman yang juga bapa kepada Penghulu Parit Jawa, Nasir Kiman dalam perjalanan dari rumahnya untuk menoreh getah di kebunnya yang terletak di Parit Jamil.

Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, basikal yang ditunggangi mangsa dipercayai digesel sebuah kereta Proton Waja yang melalui jalan berkenaan.

Akibat pergeselan itu menyebabkan basikal ditunggangi Kiman hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan mangsa tercampak ke tengah jalan.

Namun, malang bagi Kiman kerana ketika itu sebuah lagi kereta yang kebetulan melalui jalan berkenaan tidak sempat mengelak lalu menggilis kepala mangsa sebelum melarikan diri.

Kiman meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian anggota badan.

Manakala, pemandu kereta Proton Waja itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudiannya membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

“Kami masih belum dapat mengenal pasti pemilik kereta dan identiti suspek yang terbabit dengan insiden langgar lari ini kerana dia masih belum membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis meminta kerjasama orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mursyidah Abd Malik di talian, 017-3535386,” katanya.

Sinar Harian
16 Feb 2012

Inisiatif cipta baja sendiri

MUAR - Bagi menghasilkan buah kelapa sawit yang berkualiti dan tanaman yang subur, seorang pengusaha kebun kelapa sawit menggunakan kepakaran mencipta baja buatan sendiri daripada biji atau isi sawit.

Bajuri Tahir, 62, dari Parit Pechah, Parit Jawa berkata, idea menghasilkan baja itu tercetus selepas mendapati tanaman sawitnya kurang berkualiti.

Menurutnya, baja itu dinamakan baja kahwin pokok sawit yang berpotensi digunakan secara meluas di kebun atau ladang kelapa sawit.

“Baja ini juga menggunakan campuran bunga sawit jantan, tepung kelapa sawit kasar dan sedikit baja campuran diproses bersama menjadi serbuk.

“Baja dalam bentuk serbuk ini digunakan dengan membancuh bersama air sebelum disemburkan ke bahagian akar pokok yang muda dan juga di bahagian buah sakit,” katanya kepada Sinar Harian.

Bajuri berkata, hasilnya pokok menjadi lebih subur dan buah sawit kelihatan lebih besar dengan berat boleh mencecah sehingga 50 kilogram berbanding sebelum ini hanya seberat 10 kilogram.

Jelasnya, sebaik mencipta baja tersebut, dia mencuba menggunakan baja pada tanaman sawitnya di kawasan kebun seluas empat hektar dan terbukti berkesan.

“Keberkesanan baja ini turut diakui oleh pejabat pertanian daerah yang kini sedang bekerjasama dengan pihak saya termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam usaha mengkomersialkannya.

“Baja ini sangat menjimatkan dan hanya perlu disemburkan dua kali sebulan pada tanaman,” katanya.

Tambahnya, dia berhasrat untuk mengkomersialkan baja itu dan bercadang untuk menjualnya secara satu paket kecil berharga RM20 yang boleh disemburkan untuk 50 pokok dan buah sawit.

“Selama ini buah sawit yang terdiri daripada lapisan luar bermula dari bahagian kulit buah berwarna kemerahan dan licin, sabut buah dan pelindung intinya diproses untuk menjadi minyak dan sebagainya.

“Tetapi kini, inti sawit selain diproses menjadi makanan haiwan, berjaya dijadikan bahan makanan dan baja untuk pokok sawit serta terbukti berkesan,” katanya.

Oleh yang demikian, Bajuri mempelawa petani yang berminat untuk mencuba dan mendapatkan baju tersebut datang sendiri ke makmal Bajuri di Taman Molek, Parit Pechah, Parit Jawa.

Sinar Harian
17 Feb 2012

Tuesday, February 14, 2012

Jangan benci penjawat awam

MUAR - Rakyat diminta supaya tidak membenci kakitangan awam jika disaman atau ditahan penguat kuasa ketika dalam operasi sekatan jalan raya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, saman yang dikeluarkan pihak penguat kuasa adalah sebagai hukuman kepada mereka yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

Menurutnya, penguat kuasa hanya menjalankan tanggungjawab dan rakyat seharusnya menghormati serta memberikan kerjasama kepada mereka.

“Lazimnya rakyat yang tidak memiliki lesen memandu yang sah akan cuba melarikan diri apabila ternampak pihak penguat kuasa.

“Bagi menghilangkan sikap sedemikian, kerajaan me­lalui program transformasinya mengadakan program 1Komuniti 1Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meramaikan lagi bilangan rakyat memiliki lesen memandu,” katanya pada ucapan ketika merasmikan program 1Komuniti 1JPJ Parlimen Muar di Sekolah Kebangsaan Parit No 5, Parit Yusof dekat sini, kelmarin.

Beliau berkata, bagi rakyat yang sudah mempunyai lesen, perlu mempertingkatkan kemahiran pemanduan yang betul.

“Paling penting mereka tidak lupa untuk memperbaharui lesen yang mati setiap tahun bagi mengelakkan disaman penguat kuasa.

“Budaya menghormati di antara pemandu juga perlu diterapkan supaya dapat mengurangkan bilangan kemalangan di jalan raya,” katanya.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, untuk meletakkan sasaran negara maju berpendapatan tinggi bukan diukur dari segi ekonomi semata-mata, sebaliknya, turut mengambil kira pelbagai faktor.

“Kita tidak boleh menjadi negara maju dengan memiliki rakyat yang berfikiran seperti rakyat di negara membangun atau negara mundur.

“Kita mahukan rakyat yang seiring dengan kemajuan dan bagi mereka yang melanggar undang-undang perlu dikenakan penguatkuasaan,” katanya.

Menurutnya, membiarkan rakyat menggunakan kenderaan tanpa lesan sah, umpama kerajaan membenarkan rakyat melanggar undang-undang.

“Penglibatan agensi JPJ turun padang bertemu rakyat membawa mesej yang mendalam iaitu menggalakkan rakyat berfikiran seperti rakyat di negara maju,” katanya.

Difahamkan, seramai 178 golongan berusia 40 tahun dan ke atas menerima lesen motosikal pada program berkenaan yang disampaikan Razali.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali dan Pegawai Daerah Muar, Amran Abd Rahman.

Sinar Harian
14 Feb 2012

Friday, February 10, 2012

‘Ambok, pulanglah ke pangkuan keluarga’

MUAR: “Sejak Ambok hilang tujuh tahun lalu, tidak pernah walau sehari pun kami sekeluarga berputus asa untuk mencarinya.

“Kehilangannya amat dirasai dan kami hanya mampu berdoa supaya satu hari nanti, Ambok akan kembali ke pangkuan keluarga,” kata Yulang Abdul Samah, 55, di sini semalam.

Menurut Yulang, dia dan suaminya, Bachok Satar, 63, sudah melakukan pelbagai ikhtiar untuk mengesan anak kedua daripada enam beradik itu, namun hampa.

Sejak kehilangan Ambok atau nama sebenarnya Mohd Shah, hanya gambar yang menjadi pengubat rindu bagi pasangan suami isteri berasal dari Parit Keroma itu.

“Harapan kami untuk bertemu semula dengan Ambok tidak pernah padam kerana kami yakin dia masih hidup.

“Ambok hilang di laut bersama pembantunya yang dikenali sebagai Daud selepas bot dinaiki rosak ketika menangkap ikan, kira-kira 12 batu nautika dari perairan Muar, pada jam 5 pagi, 8 Januari 2005,” katanya.

Menurut Yulang, kehilangan Ambok dan Daud penuh misteri serta menjadi tanda tanya kerana jasad kedua-duanya selain bangkai atau serpihan bot tidak ditemui sehingga kini.

Yulang berkata, pada hari kejadian, Ambok ada memaklumkan kepada keluarga berkaitan kerosakan botnya sebelum anaknya itu gagal dihubungi.

“Kami bimbang sekiranya kehilangan Ambok ada kaitan dengan kegiatan lanun di kawasan perairan berkenaan, kami juga tidak menolak kemungkinan Ambok dilarikan ke negara jiran.

“Bukan kami sekeluarga tidak reda dengan ketentuan Ilahi cuma hingga kini jasadnya tidak ditemui sebagai bukti dia sudah pergi selamanya,” katanya.

Yulang membuat laporan berkaitan kehilangan Ambok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar tidak lama selepas lelaki berkenaan gagal dihubungi.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan Ambok diharap dapat menghubungi di talian 017-610 4070 atau 013-6957764.

myMetro
10 Feb 2012

Wednesday, February 8, 2012

Guna alasan tunggu bas

MUAR – “Saya mahu tunggu bas untuk pulang ke rumah ibu di Merlimau, Melaka,” demikian alasan seorang kutu rayau yang cuba mengelakkan diri daripada diberkas oleh ang­­gota Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM) dalam Operasi Pengemis dan Kutu Rayau di sekitar bandar tersebut, pagi semalam.

Abu (bukan nama sebenar) antara lima kutu rayau yang diberkas dalam operasi tersebut yang berakhir pada jam 4 pagi semalam.

Pegawai JKM, Mohd Naz­ri Husin berkata, pada mulanya Abu ditemui berkeliaran di Perhentian Bas Pagoh pada jam 11.30 malam.

Menurutnya, ketika sepasukan anggota JKM menghampirinya, dia cuba melarikan diri dengan memberi ala­­san menunggu bas untuk pulang ke Merlimau.

“Apabila anggota kami melakukan rondaan di Perhentian Bas Maharani, mereka menemui semula Abu yang ketika itu sedang tidur di perhentian berkenaan.

“Akhirnya dia diberkas pada jam 3.30 pagi, iaitu jarak kira-kira satu kilometer dari tempat pertama dia dijumpai,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Nazri berkata, Abu mendakwa dia baru tiba dari Singapura pada jam 8 malam dan kerana sudah tiada bas dia mengambil keputusan untuk tidur di situ.

“Dia yang terkejut dengan kedatangan kami, enggan untuk dihantar ke Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheng, Melaka.

“Abu tetap berkeras untuk berada di perhentian bas itu dan akhirnya bersetuju untuk dihantar ke RSK setelah hampir setengah jam dipujuk oleh anggota JKM,” katanya.

Katanya lagi, selain Abu, seorang kutu rayau lelaki berusia 60 tahun turut dihantar ke RSK Cheng, Melaka.

Manakala, dua lagi kutu rayau dihantar pulang ke rumah mereka di Bukit Gambir, Ledang dan Merlimau.

Selain itu, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang diberkas di sebuah taman rekreasi di Taman Aman, Parit Jawa dekat sini diberikan amaran dan dihantar pulang ke rumah keluarganya di Parit Perupuk, Jalan Temenggung Ahmad.

Katanya lagi, operasi bulanan yang melibatkan 10 anggota JKM itu bertujuan mengurangkan bilangan pengemis dan kutu rayau di sekitar bandar ini.

Sinar Harian
8 Feb 2012

Jururawat dapat kembar empat

NORBAZILAH dan Mohd. Sazalee memangku empat bayi kembar mereka di Taman Sri Mas, Muar semalam.

MUAR - Penantian sepasang suami isteri untuk menimbang cahaya mata sejak tiga tahun lalu berbaloi apabila mereka tanpa dijangka dikurniakan bayi kembar empat.

Norbazilah Amin, 27, dan suami, Mohd. Sazalee Mohd. Hilal, 35, mendapat kembar empat tidak seiras itu yang dilahirkan pada 14 Oktober tahun lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Bayi kembar empat itu terdiri daripada tiga perempuan iaitu Sherlea, Seliesha, Shazrica dan seorang lelaki Shazrick, yang semuanya dilahirkan tidak cukup bulan.

Menceritakan pengalaman mengandung dan melahirkan keempat-empat bayinya, Norbazilah yang bekerja sebagai jururawat di PPUM berkata, dia terpaksa mengambil cuti setahun sepanjang tempoh itu.

"Ia berikutan keadaan kesihatan saya yang tidak menentu dan dalam tempoh itu saya terpaksa berulang-alik ke PPUM serta mendapat pengawasan rapi daripada doktor.

"Saya juga tidak boleh makan dan hanya boleh minum untuk mengalas perut yang lapar, akhirnya saya bersalin menerusi pembedahan pada usia kandungan mencecah tujuh bulan empat hari," katanya ketika ditemui pada majlis cukur jambul bayi kembar itu di rumah ibu bapanya di Taman Sri Mas di sini semalam.

Norbazilah yang tinggal di Petaling Jaya berkata, kesukaran itu bermula pada minggu ke-10 kehamilan sehingga saat untuk bersalin dan selepas itu melalui pula pengalaman baru menguruskan empat bayi sekali gus.

"Pada mulanya saya agak kelam kabut kerana anak-anak saya akan terjaga bergilir-gilir selang 10 minit setiap seorang untuk minum susu," katanya.

Mereka memperoleh bayi kembar empat itu selepas menjalani rawatan permanian berhadas (IUI) di PPUM selepas tiga tahun tidak dikurniakan cahaya mata.

Katanya, doktor sebelum itu memberitahu potensi untuk hamil melalui IUI hanya 10 peratus tetapi amat terkejut apabila dia dimaklumkan mengandung bayi kembar empat.

Kosmo
8 Feb 2012


Dapat kembar empat selepas tiga tahun menanti

MUAR 7 Feb. - Penantian sepasang suami isteri, Norbazilah Amin, 27, dan Mohd. Sazalee Mohd. Hilal, 35, untuk memiliki cahaya mata sejak tiga tahun lalu berbaloi apabila dikurniakan kembar empat pada 14 Oktober lalu.

Kembar empat tidak seiras itu, terdiri daripada tiga perempuan iaitu Sherlea, Seliesha, Shazrica dan seorang lelaki Shazrick dilahirkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Menceritakan pengalaman mengandung dan melahirkan keempat-empat mereka, Norbazilah, yang bekerja sebagai jururawat di PPUM terpaksa mengambil cuti setahun sepanjang tempoh itu.

"Ini kerana kesihatan yang tidak menentu dan dalam tempoh itu saya sering berulang-alik ke PPUM untuk mendapat pengawasan rapi daripada doktor.

"Saya tidak boleh makan dan hanya minum untuk mengalas perut yang lapar. Akhirnya saya bersalin menerusi pembedahan pada usia kandungan mencecah tujuh bulan empat hari," katanya ketika ditemui pada majlis cukur jambul bayi kembar empat itu di rumah ibu bapanya di Taman Sri Mas, di sini semalam.

Menurutnya, kesukaran bermula pada minggu ke-10 kehamilan sehingga saat untuk bersalin dan selepas itu melalui pula pengalaman baru menguruskan semua anaknya.

"Meskipun pada mulanya agak kelam-kabut kerana anak-anak saya akan terjaga selang 10 minit setiap seorang untuk minum susu, tetapi sekarang sudah biasa ditambah pula suami banyak membantu," katanya.

Mereka memperoleh empat bayi sekali gus selepas menjalani rawatan permanian beradas (IUI) di PPUM selepas tiga tahun tidak dikurniakan cahaya mata.

Bagaimanapun, doktor memberitahu bahawa potensi untuk hamil dengan cara itu hanya 10 peratus tetapi dia amat terkejut selepas usia kandungan mencecah lapan minggu apabila dimaklumkan mengandung bayi kembar empat.

Pasangan berkenaan bersyukur dikurniakan empat cahaya mata yang mempunyai karakter berbeza dan kini menjadi penyeri rumah tangga mereka.

Norbazilah dan suami yang menetap di Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya, Selangor terpaksa membawa empat bayi tersebut ke kediaman bapanya, Amin Zainal Abidin, 62, dan ibu, Rohana Sintal, 55, untuk dijaga oleh mereka.

"Saya tidak punya pembantu rumah dan terpaksa membawa semua bayi saya ke kampung supaya ibu bapa saya dapat membantu menjaganya," katanya.

Utusan
8 Feb 2012

Sunday, February 5, 2012

Empat mesin pengisar buah palsu dirampas

MUAR - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Muar merampas empat mesin pengisar buah-buahan palsu menggunakan jenama terkenal dari sebuah kedai barangan elektrik di Sungai Abong, di sini.

Pegawai Penguatkuasa, Haidzir Shah Khairuddin berkata, peralatan palsu itu dijual pada harga RM239 yang dibeli seorang pelanggan dari Johor Bahru pada Disember lalu.

Menurutnya, tetapi peralatan itu didapati rosak selepas beberapa hari digunakan, lalu pelanggan itu menghubungi kedai berkenaan.

“Malangnya kedai ini menyuruhnya menghantar sendiri peralatan yang rosak ke pusat perkhidmatan jenama berkenaan di Johor Bahru.

“Pusat perkhidmatan merujuk peralatan ini ke syarikat berkenaan di Singapura yang merupakan tempat pemeriksaan barangan itu di Jepun, Itali dan United States,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan mendapati tidak pernah mengeluarkan produk itu dan menghantar wakil dari Singapura ke Muar.

Haidzir Shah berkata, wakil itu turut membeli satu set peralatan berkenaan untuk tujuan semakan terperinci di Singapura sebelum mengemukakan satu laporan.

“Saya bersama pengurus jualan jenama berkenaan dari Singapura, Mohammad Jilon menyerbu kedai itu kira-kira jam 11.30 pagi, Rabu lalu dan merampas empat set peralatan ini.

“Siasatan mendapati hanya dua pengedar dibenarkan memasarkan barangan jenama itu di Muar dan satu lagi kedai alat elektrik dalam bandar Muar,” katanya.

Menurutnya, pembeli itu tidak mengetahui, set mesin pengisar buah-buahan itu palsu.

“Kes disiasat di bawah Akta Pengguna 2011 dan kami turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Muar,” katanya.

Sinar Harian
5 Feb 2012

Muka broker dibaling bata

MUAR – Cubaan seorang broker tanah memeras ugut untuk mendapatkan wang daripada operator kilang mengundang padah apabila mukanya cedera akibat dibaling bata dalam kejadian di Sungai Abong, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mo­ha­mad Nasir Ramli berkata, operator kilang berusia 30 tahun itu menerima panggilan telefon daripada broker terbabit ketika dia berada di sebuah restoran.

Menurutnya, dalam pang­gilan telefon tersebut, suspek mengugut akan mencederakan isteri dan anak-anak mangsa jika dia tidak pulang ke rumah dan memberinya wang RM5,000.

“Oleh kerana bimbang dengan keselamatan keluarga di rumah, mangsa menghubungi abangnya dan meminta untuk selamatkan isteri dan anak-anaknya.

“Setibanya di rumah, mangsa lihat abangnya sedang bergaduh dengan suspek yang bersenjatakan parang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, mangsa segera membantu untuk menyelamatkan abangnya dengan merampas parang pada tangan suspek.

Bagaimanapun katanya, mangsa yang mahu menyelamatkan abangnya daripada suspek yang semakin agresif dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak membaling sebiji bata ke arah muka suspek.

“Suspek yang cedera di muka dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), kira-kira jam 6.40 petang pada hari kejadian.

“Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan keadaannya kini dilaporkan stabil,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, siasatan lanjut ke atas suspek sedang dijalankan untuk mengenal pasti motif suspek memeras ugut wang daripada mangsa.

“Kami juga tidak pasti hubungan di antara suspek dengan mangsa.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Sinar Harian
5 Feb 2012


Langgar suspek


TAJAM... Mohamad Nasir menunjukkan parang yang dirampas daripada suspek.

MUAR: Risau dirinya ditetak, seorang lelaki melanggar penjenayah bersenjata parang dengan keretanya dalam usaha menyelamatkan diri selepas gagal menenangkan suspek yang tiba-tiba mengamuk di depan rumah adiknya di Jalan Sungai Abong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 6.40 petang, mangsa berusia 30-an dikatakan pergi ke rumah itu untuk melihat keadaan anak saudara dan adik iparnya selepas adiknya menelefon untuk memaklumkan ada individu mengugut mencederakan anak dan isterinya.

Mangsa yang tiba di lokasi keluar dari keretanya dan menuju ke arah lelaki berkenaan untuk berbincang sebelum dihambat dengan parang, menyebabkan lelaki terbabit terpaksa berlindung di dalam kereta.

Bagaimanapun, suspek terus bertindak agresif, menyebabkan mangsa terpaksa melanggar lelaki yang cuba menyerangnya dalam usaha menyelamatkan diri.

Telahan mangsa bahawa suspek berusia 38 tahun itu cedera akibat dilanggar meleset, apabila dia hampir ditetak ketika keluar untuk melihat keadaannya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, adik mangsa berusia 30-an tiba di lokasi tidak lama kemudian dan turut diserang, menyebabkan dia terpaksa mempertahankan diri dengan membaling batu-bata hingga terkena kepala suspek.

Beliau berkata, keadaan kelam kabut itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek yang kemudian berjaya ditahan sepasukan polis manakala parang dirampas.

“Siasatan awal mendapati, adik mangsa menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali itu yang mengugut akan mencederakan anak dan isterinya serta mengarahkannya segera pulang ke rumah.

“Risau keselamatan keluarganya, dia menghubungi abangnya yang tinggal berhampiran untuk melihat keadaan di rumahnya sebelum mendapati seorang lelaki berparang menunggu di depan pintu pagar,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, akibat kejadian itu, adik mangsa cedera di jari manakala abangnya tidak cedera.

Semakan rekod mendapati suspek sebelum ini mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah, ugut dan penipuan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati, ketika kejadian, suspek di bawah pengaruh dadah dan kami turut merampas parang digunakannya.

“Suspek yang cedera di kepala dan rusuk kini dirawat di hospital dan kita mendapat perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes,” katanya.

myMetro
5 Feb 2012

Sultan Johor Isytihar Bandar Maharani Sebagai Bandar Diraja

MUAR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Ahad mengisytiharkan Bandar Maharani di sini sebagai Bandar Diraja Johor.

Sultan Johor membuat pengisytiharan tersebut pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Jamek Sultan Ibrahim.

Baginda meminta penduduk di bandar ini sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan sekitar dan tidak semata-mata menyerahkan tugas itu kepada pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Muar (MPM).

"Allah amat sukakan kebersihan dan mengasihi orang yang sentiasa mengutamakan kebersihan," titah baginda yang sebelum itu mengetuai perarakan maulidur rasul.

Turut serta Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

Menurut baginda, walaupun setengah orang menggelar bandar Muar sebagai bandar "pencen' (bandar untuk menikmati persaraan), ia sebenarnya sesuai bagi mereka yang inginkan ketenangan.

Baginda turut mengingatkan rakyat di negeri ini supaya tidak mempercayai bulat-bulat maklumat yang disebarkan melalui internet kerana ia belum tentu benar.

Sultan Johor berpesan agar masyarakat Islam sentiasa mengamalkan hidup berlandaskan Islam dan sentiasa menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh dan mengamalkan suruhannya supaya mereka menjadi insan yang baik dan sentiasa mendapat hidayah daripada Allah.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata kerajaan negeri akan merancang pembangunan di bandar diraja itu sesuai dengan statusnya sekarang.

"Ke bawah Duli Tuanku sering berangkat mencemar duli ke bandar ini kerana keindahannya yang terletak di muara Sungai Muar dan mempunyai bangunan-bangunan lama yang dibina sekitar tahun 1920-an," katanya.

Razali yang juga anggota Parlimen Muar berkata beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin setempat bagi mengkaji bentuk pambangunan yang akan dilaksanakan di bandar ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jorak, Datuk Dr Sharuddin Mat Salleh berharap kerajaan negeri memastikan tanah kerajaan di bandar ini dijadikan rizab tertentu bagi diseimbangkan dengan pembangunannya. - BERNAMA

5 Feb 2012

Thursday, February 2, 2012

Lelaki buang air berpaut tong 17 jam

MUAR: “Saya berada dalam tandas di bahagian belakang bot sebelum terjatuh ke dalam laut,” kata Beni Kassim, 25, nelayan Indonesia yang terpaksa berpaut pada tong air hampir 17 jam selepas terjatuh dalam laut apabila bot dinaikinya dilanda ombak besar di perairan antarabangsa kira-kira 12 batu nautika dari Sungai Sarang Buaya, Parit Jawa di sini, Isnin lalu.

Beni diselamatkan nelayan tempatan yang melalui kawasan berkenaan pada jam 3 pagi kelmarin, sebelum dibawa ke jeti nelayan Sungai Sarang Buaya.

Menurut Beni yang ditemui di jeti berkenaan, dalam kejadian jam 10 pagi itu, dia menjerit meminta tolong selepas terjatuh dalam laut, tetapi tidak didengari empat rakan di atas bot.

Beni yang berasal dari Kampung Baru, Tanjung Balai, keluar bersama empat rakan untuk menangkap ikan berhampiran perairan berkenaan pada jam 5 petang, Ahad lalu.

“Ketika berada di perairan berkenaan keesokan harinya, saya terasa hendak ke tandas dan membawa bersama tong air ke bahagian belakang bot.

“Ketika dalam tandas, ombak melanda dan saya terjatuh ke dalam laut bersama tong air lalu berpaut pada tong berkenaan dan menjerit namun ia tidak didengari,” katanya.

Menurut Beni, dia berpaut pada tong berkenaan semalaman dan dalam kesejukan, berharap ada nelayan menemuinya.

“Syukur doa saya dimakbulkan dan jeritan saya didengari nelayan yang melalui perairan itu,” katanya.

Nelayan yang menyelamatkan Beni, Marhasan Maion, 60, berkata dia dan seorang lagi rakan keluar menangkap ikan Isnin lalu dan dalam perjalanan pulang apabila terdengar jeritan Beni.

“Kami memasang lampu dan mendapati seorang lelaki terapung berpaut pada tong. Keadaannya sangat lemah dan dia hanya berseluar dalam.

“Kami membawanya ke atas bot serta memberinya makan sebelum membawa Beni ke jeti dan membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan mangsa dihantar menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) sebelum menunggu urusan seterusnya dengan Kedutaan Indonesia.

myMetro
2 Feb 2012

Wednesday, February 1, 2012

Pekerja restoran dibunuh

MUAR 31 Jan. – Seorang pekerja wanita sebuah restoran ditemui mati berlumuran darah di tepi jalan di Kilometer 1.6, Jalan Bakri di sini malam tadi.

Puteri Setiana Subari (gambar), 23, warga Indonesia yang bekerja di sebuah restoran di Jalan Joned di sini, ditemui masih bernyawa kira-kira pukul 11.50 malam sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas dibawa ke hospital.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat kejadian namun punca pembunuhannya belum dikenal pasti.

“Polis tidak menemui apa-apa senjata di tempat kejadian. Kes ini masih disiasat dan kita sedang menunggu laporan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, rakan mangsa, Nurhidayah Rai, 25, mendakwa, dia dan mangsa berjalan kaki dari tempat kerja untuk pulang ke rumah di Jalan Sakeh.

Namun, sebaik sahaja melalui Jalan Arab, seorang lagi rakan yang menaiki motosikal mempelawa untuk menghantar dia ke rumah menyebabkan Puteri Setiana terpaksa berjalan sendirian.

“Sebelum menaiki motosikal, saya sempat berpesan kepada dia untuk berjumpa di Jalan Parit Tiram tetapi hampir satu jam menunggu, dia tidak muncul. Saya cuba hubungi telefon bimbitnya, namun tiada jawapan dan sejam selepas itu dimaklumkan mengenai kematiannya,” katanya.

Utusan
1 Feb 2012


Mati pulang kerja

MUAR: “Saya terkejut apabila dimaklumkan Puteri ditemui meninggal dunia dengan kesan tikaman pada tubuhnya di tepi jalan,” kata Nurhidayah Rai, 25, rakan seorang wanita warga Indonesia yang dijumpai mati di tepi Jalan Bakri Batu 1, malam kelmarin.

Puteri Setiana Subari, 23, pekerja sebuah restoran di Jalan Junid di sini, dipercayai ditikam ketika pulang dari tempat kerja dan mayatnya ditemui pada jam 11.20 malam.

Menurut Nurhidayah, dia dan Puteri berjalan kaki bersama selepas habis kerja pada jam 10 malam, pulang ke rumah sewa mereka di Jalan Sakeh dan apabila tiba di Jalan Arab, seorang kenalan yang menunggang motosikal mempelawa untuk menghantar mereka pulang.

“Saya menumpangnya terlebih dulu dan berpesan kepada Puteri supaya menunggu di Jalan Parit Tiram kerana ia hampir dengan rumah,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Bagaimanapun, menurut Nurhidayah, selepas menunggu hampir sejam, Puteri masih tidak muncul dan dia serta rakan berusaha mengesannya di sekitar bandar Muar, tetapi gagal.

Katanya, dia turut menghubungi telefon bimbit Puteri berkali-kali, namun tidak berjawab dan terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan memberitahu Puteri ditemui mati di tepi jalan.

“Saya amat terperanjat kerana kami bersama sejam sebelum itu. Kehilangan Puteri sangat dirasai kerana dia antara rakan rapat sepanjang tiga tahun bekerja di negara ini,” katanya.

Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hartono, 30, berkata, dia mengetahui kematian adiknya pada jam 12 tengah malam selepas dimaklumkan Nurhidayah lalu bergegas ke tempat kejadian.

“Kali terakhir kami berbual dua hari lalu dan Puteri tidak menunjukkan sebarang perubahan. Jenazahnya akan dihantar pulang ke Jawa Barat selepas semua urusan di sini selesai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli yang mengesahkan kejadian ketika dihubungi menolak ragut kemungkinan punca kematian mangsa.

“Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat. Punca kematian dan motif kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

myMetro
2 Feb 2012