REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Friday, May 31, 2013

Berbuah di batang pokok

Mahadi menunjukkan pokok pisang unik yang mengeluarkan buah pada batang di rumahnya, semalam.

MUAR – Seorang pesara terkejut apabila mendapati salah satu daripada pokok pisang miliknya yang ditanam di kawasan rumahnya di rumahnya di Kampung Parit Lanjut, Sungai Terap di sini, mengeluarkan buah di batang.

Mahadi Johan, 71, berkata, dia hanya menyedari keganjilan itu kira-kira seminggu lalu ketika mahu membersihkan kawasan rumahnya.

“Pokok pisang bakar ini tumbuh daripada anak pokok selepas pokok asal yang ditanam oleh ibu mertua kira-kira tiga tahun lalu di bahagian tepi rumah ditebang.

“Pokok berusia setahun dengan ketinggian hampir 2.5 meter ini mempunyai enam sisir pisang. Ia dijangka boleh dipetik dalam tempoh dua bulan lagi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, pisang itu sesuai dijadikan sebagai sayuran dan lebih enak jika dimasak lemak berbanding pisang-pisang yang lain kerana teksturnya yang lembut.

Menurut Mahadi, selepas bersara 15 tahun lalu, dia banyak meluangkan masa bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah sebagai hobi.

“Selain pisang, saya ada tanam beberapa tumbuhan lain seperti pokok lada, keladi dan pelbagai jenis buah-buahan.

“Tapi saya tidak sangka kali ini berpeluang melihat sendiri kelainan pada pokok pisang setelah hampir 10 tahun terlibat dengan aktiviti bercucuk tanam,” katanya.

Katanya, buat masa ini, hanya keluarga terdekat yang mengetahui keunikan pisang berkenaan.

“Saya tidak pasti pisang ini ada maksud tersendiri ataupun sebaliknya, namun saya akan jaga buahnya dengan teliti supaya matang mengikut tempohnya.

“Saya juga tidak bercadang untuk menjualnya dan mungkin akan dimakan oleh sesi keluarga,” katanya.

Sinar Harian
31 Mei 2013

Wednesday, May 29, 2013

Maut kepala dilanggar lori

Orang ramai melihat mayat mangsa di Kilometer 11 Jalan Bukit Pasir-Muar, semalam.

MUAR - Hasrat seorang wanita untuk menghadiri temuduga di bandar ini tidak kesampaian apabila terbunuh selepas terlibat dalam nahas membabitkan dua lori dengan sebuah motosikal di Kilometer 11 Jalan Bukit Pasir-Muar di sini, semalam.

Mangsa ialah pembonceng motosikal dikenali Lili Zurainah Bahari, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa menaiki motosikal yang ditunggangi adiknya, Mohamad Khairuddin Bahari, 19, dalam perjalanan ke tempat temuduga kerja dari rumah mereka di Felda Lenga.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila motosikal mereka merempuh belakang sebuah lori yang sedang membrek dari arah sama iaitu dari Bukit Pasir menghala Muar.

Akibat rempuhan kuat itu, motosikal dinaiki hilang kawalan menyebabkan mereka terjatuh ke kanan jalan raya.

Malangnya, datang sebuah lagi lori dari arah Muar menghala Bukit Pasir tidak sempat mengelak lalu terlanggar kepala Lili Zurainah.

Kedua-dua pemandu lori terbabit selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala Mohamad Khairuddin yang cedera pada anggota badan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintendan Sahadan Jaafar mengesahkan menerima laporan kejadian dan mayat mangsa dibawa ke rumah mayat HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kita meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
29 Mei 2013

Monday, May 27, 2013

Terharu dapat pingat lagi

Zulkiflee memakaikan pingat kepada Husin di Kompleks Pekembar Pagoh, kelmarin.

MUAR - Seorang veteran tentera dari Kampung Melayu, Panchor di sini, terharu apabila dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) meskipun sudah 25 tahun bersara sebagai anggota keselamatan negara.

Husin Sudin, 66, salah seorang daripada 30 pesara terpilih menerima anugerah itu yang disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEVATM), Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan di Kompleks Pekembar Pagoh, dekat sini, kelmarin.

Husin berkata, penganugerahan pingat buat kali ketiga itu amat bermakna kepadanya kerana jasa dan pengorbananya dihargai.

“Ketika berkhidmat, saya menerima dua pingat iaitu Pingat Perkhidmatan Awam (1967) dan Pingat Perkhidmatan Setia (1980).

“Saya puas kerana dapat menyumbangkan bakti kepada negara dalam tempoh 21 tahun berkhidmat sebagai tentera,” katanya kepada Sinar Harian.

Husin yang bersara pada 1986 dengan jawatan terakhir sebagai Sarjan di Kem Tentera Kota Kinabalu, Sabah, pernah cedera akibat terjatuh ketika menjalani latihan halangan pada 1982.

Menurutnya, kesan cedera pada lutut kanannya itu ditanggung hingga kini, dia menggunakan tongkat untuk berjalan sejak lima tahun lalu.

“Tetapi saya tidak pernah menyesal, sebaliknya bersyukur kerana berpeluang berbakti kepada negara,” katanya.

Bapa 10 cahaya mata itu menganggap peluang menjadi anggota tentera adalah paling manis dalam hidup kerana sejak kecil diri mengimpikan untuk menjawat profesion berkenaan.

Menurutnya, dia juga tidak terlepas dugaan getir peristiwa 13 Mei kerana ketika itu sedang berkhidmat di Sarawak, manakala isteri dan anak berada di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, walaupun tiada anak yang mengikut jejak langkahnya, beliau menaruh harapan agar ada di antara cucunya yang akan menjadi tentera.

Sinar Harian
27 Mei 2013

Thursday, May 23, 2013

Ibu bersama anak perempuan maut dalam kemalangan


MUAR - Seorang ibu dan anak perempuannya berusia empat tahun maut apabila kereta yang mereka naiki melanggar belakang sebuah treler di KM 134.9 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Pagoh, Muar semalam.

Ruzymah Sharin, 39, mati di tempat kejadian manakala anak perempuannya, Nurul Filzah Amirul, 4, mati di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar pada 10 pagi ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintenden Shahadan Jaafar berkata, kemalangan pada pukul 9.35 malam itu turut menyebabkan suami mangsa, Amirul Rashid, 40, dan bayi perempuan mereka berusia lapan bulan cedera ringan.

"Kereta yang pandu Amirul itu datang dari Kota Tinggi menuju ke utara dan melanggar bahagian belakang sebuah lori trelar yang berada di hadapan mereka menyebabkan bahagian depan kereta itu remuk teruk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata suami mangsa yang merupakan pesara tentera dan bayi mereka diberi rawatan pesakit luar di hospital yang sama.

Shahadan berkata pemandu treler itu juga cedera ringan dan telah membuat laporan polis hari ini. - Bernama

23 Mei 2013

Wednesday, May 22, 2013

Nenek 7 cucu ditahan dipercayai edar dadah


MUAR - Seorang nenek yang mempunyi tujuh orang cucu ditahan di rumahnya di Bakri di sini Ahad lepas kerana dipercayai mengedar 266 gram heroin.
 
Wanita berumur 60 tahun itu dipercayai terbabit dengan kegiatan berkenaan sejak lima bulan lalu.
 
Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Supt Shahadan Jaafar berkata turut ditahan ialah anak perempuan wanita terbabit yang berumur 26 tahun dan menantunya yang berumur 27 bagi membantu siasatan.
 
Bagaimanapun ketiga-tiga mereka negatif dadah.
 
Sementara itu dalam kes lain, beliau berkata dua lelaki yang dipercayai cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Sri Maharani pada Ahad lepas ditahan .- Bernama

22 Mei 2013


Nenek disyaki miliki dadah


MUAR - Seorang nenek berusia 60  tahun ditahan dipercayai mengedar dadah jenis  heroin seberat 266 gram (g) di rumahnya di Bakri, 19 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintenden Sahadan Jaafar  berkata, warga emas berkenaan dpercayai mula aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu, yang turut difahamkan meneruskan kegiatan haram itu seperti yang pernah dilakukan suaminya, yang telah meninggal dunia, lima tahun lalu.

“Semasa hayatnya, suami wanita itu pernah beberapa kali ditahan berkaitan kes dadah.

“Nenek tujuh cucu itu dipercayai baru terjebak dalam aktiviti itu yang dilakukannya bersendirian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, kelmarin.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan anggotanya turut menahan anak wanita berkenaan berusia 26 tahun dan menantunya, 27, yang tinggal bersamanya.

Jelas beliau, menerusi ujian air kencing suspek, anak dan menantunya, mereka didapati bebas pengaruh dadah.

“Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain menerusi operasi bersepadu Jabatan Narkotik IPD Muar selama seminggu yang berakhir Ahad lalu, turut menahan 31 suspek yang dipercayai terbabit dalam pelbagai kesalahan membabitkan dadah.

Sahadan berkata, semua suspek termasuk dua wanita berusia antara 26 hingga 60 tahun ditahan di sekitar daerah ini dalam beberapa serbuan berasingan.

“Turut berjaya merampas ialah pelbagai jenis dadah iaitu syabu seberat 4.24g, ganja (4g) dan 26 pil ectasy.

“Semua rampasan bernilai hampir RM10,000 dan ia digunakan oleh lebih 1,000 penagih,” katanya.

Sinar Harian
23 Mei 2013

Tuesday, May 21, 2013

Lelaki mati ditikam 7 kali oleh sekumpulan lelaki

MUAR 21 Mei - Seorang lelaki mati selepas ditikam di leher, dada dan pinggang oleh sekumpulan lelaki tidak jauh dari rumahnya di Jalan Lama di sini semalam, dipercayai berkaitan dadah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Koh Ser Sup, 47, yang mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah, baru sahaja keluar rumah untuk pergi membeli makanan sebelum diserang di satu persimpangan jalan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Sahadan Jaafar berkata, selepas diserang mangsa bangun dan berjalan kira-kira 20 meter sebelum rebah di hadapan sebuah kedai yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

"Mangsa berjalan dalam keadaan berlumuran darah. Dia kemudian dibantu orang awam dan bapanya, Koh Swee Pheng, 60-an, sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini pukul 6.45 petang.

"Bagaimanapun, apabila sampai di bilik kecemasan hospital tersebut kira-kira pukul 7 malam, mangsa disahkan meninggal dunia," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Muar di sini, hari ini.

Menurut beliau, mangsa dipercayai ditikam dengan dua senjata tajam di bahagian kiri dan kanan serta pinggang.

"Punca utama kematian adalah tikaman di lehernya sehingga menyebabkan mangsa lemas dan sukar untuk bernafas," katanya yang tidak menemui sebarang senjata atau objek tajam di tempat kejadian.

Beliau seterusnya tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan itu berkaitan dadah dan akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut bagi membantu siasatan.

"Mangsa adalah penagih dadah dan membantu keluarganya menjual otak-otak di Medan Selera Bentayan selain mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah dan satu kes jenayah antara 1988 hingga 2001.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sehingga kini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat," ujarnya.

Sahadan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya menghubungi pegawai penyiasat kes berkenaan, Asisten Supritendan Jalal Abdul Rashid menerusi 013-4574777 untuk membantu siasatan.

Utusan
22 Mei 2013

Polis Rampas Senapang Buatan Sendiri Daripada Pengusaha Bengkel


MUAR: Polis merampas selaras senapang angin dan empat lagi komponen senjata buatan sendiri itu hasil penahanan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta di Sungai Kelat, Sungai Balang di sini Selasa lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Supt Shahadan Jaafar berkata dalam serbuan yang dilakukan oleh cawangan narkotik kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, polis turut merampas 300 butir bebola besi dan 14 biji logam timah dipercayai untuk dijadikan peluru.

"Berikutan itu polis menahan pengusaha bengkel berkenaan yang berusia 35 tahun untuk membantu siastan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara," katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di sini Selasa.

Polis sebelum itu, katanya menyerbu ke premis berkenaan setelah menerima aduan daripada orang ramai berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah, namun setelah pemeriksaan dilakukan polis gagal menemui dadah sebaliknya menjumpai senjata berkenaan.

Katanya, siasatan awal polis mendapati lelaki tersebut menjualkan senjata buatan sendiri itu dengan harga RM1,000 selaras kepada pelanggan yang menempahnya.

Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis ganja dan mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan memiliki ganja. -BERNAMA

21 Mei 2013

Projek tebatan atasi banjir di Air Hitam

MUAR 20 Mei - Masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa perkampungan di Air Hitam Batu 18, dekat sini bakal diatasi menerusi pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Kawasan Air Hitam tidak lama lagi.

Penghulu mukim berkenaan, Ariffpudin Abd. Latif berkata, projek dengan kos RM7 juta itu dijangka mengambil masa selama dua tahun untuk siap sepenuhnya yang dijadual dimulakan bulan depan.

Menurutnya, projek tersebut akan menaik taraf sistem perparitan melibatkan kawasan sejauh dua kilometer bermula dari Kompleks Penghulu sehingga ke sempadan Batu Pahat.

"Peruntukan awal sebanyak RM2.5 juta bagi fasa pertama sudah diluluskan yang membabitkan kerja-kerja menggantikan pembetung sedia ada di bahagian kiri dan kanan jalan.

"Peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika lawatan kerjanya di Bakri, baru-baru ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, penggantian sebanyak 134 pembetung dipercayai mampu mempercepatkan aliran air semasa hujan, sekali gus mengelakkan air parit melimpah ke halaman rumah penduduk.

Ariffpudin berkata, baki peruntukan berjumlah RM4.5 juta pula akan diluluskan tahun depan yang melibatkan kerja-kerja menggantikan parit konkrit berbentuk U.

Beliau berkata, masalah banjir kilat yang sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu itu telah menyebabkan 200 rumah dinaiki air yang mengambil masa hampir seminggu untuk pulih.

"Kebanyakan rumah yang terletak berdekatan dengan Parit Sulung, Batu Pahat dikenal pasti paling teruk dinaiki air banjir yang disifatkan sebagai banjir 'termenung'.

"Kejadian banjir besar pada 2006 masih lagi menghantui penduduk yang membuatkan mereka sentiasa berhati-hati setiap kali musim hujan memandangkan faktor cuaca yang sering tidak menentu sejak akhir-akhir ini," katanya.

Katanya, kejayaan mendapatkan peruntukan itu adalah hasil usaha bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali.

Utusan
21 Mei 2013

Sunday, May 19, 2013

Ibu tunggal tabah jaga 2 anak OKU

Maimunah tidak jemu melayan karenah Shafikah dan Nur Amalina.

MUAR - Kasih ibu membawa ke syurga, begitulah gambaran ketabahan Maimunah Chik, 52, di atas pengorbanannya membesarkan dua anak yang dikategorikan orang kurang upaya (OKU).

Maimunah berkata, anak sulungnya, Shafikah, 21 dan anak bongsunya, Nur Amalina, 15, disahkan mengidap Cerebral Palsy sejak dilahirkan.

Bagaimanapun, peranannya membesarkan dua anak itu teruji apabila suaminya, Mohd Saidin Ismail, meninggal dunia kerana barah kira-kira tiga tahun lalu.

“Sebelum ini tugas menjaga Shafikah dan Nur Amalina dilakukan bersama arwah suami.  Namun kini, saya mengambil tugas tersebut sendirian dan pada masa yang sama menjadi ketua keluarga.

“Kudrat saya semakin terbatas untuk menguruskan mereka berdua terutama untuk mengangkat ke tandas, kadang kala perlu meminta bantuan keluarga yang tinggal berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, bebannya sedikit berkurangan apabila anak kedua, Nur Arina, 19, yang baru tamat belajar dari sebuah kolej kemahiran berada di rumah dan membantu menguruskan kakak serta adiknya.

Maimunah berkata, penyakit berkenaan menyebabkan Shafikah dan Nur Amalina tidak membesar seperti kanak-kanak lain kerana sistem otak mereka lumpuh.

“Shafikah  sebelum ini pernah mengalami sawan dan penyakit itu boleh menyerang pada bila-bila masa,” katanya yang menetap di Lorang Wan Chik, Jalan Salleh di sini.

“Saya bersyukur dalam kesusahan menjaga dua anak OKU, banyak pihak prihatin apabila mereka mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600. Saya pula mendapat bantuan ibu tunggal, RM350 sebulan daripada Baitulmal,” katanya.

Dalam pada itu, Maimunah tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan apabila ada pihak dengan sinis mempertikaikan bantuan yang diterimanya.

Menurutnya, sedangkan jauh di sudut hati jika diberi pilihan, dia lebih rela hidup tanpa bantuan kerana mahu dua anaknya itu sihat seperti insan lain.

Sinar Harian
19 Mei 2013


Ibu tunggal 2 anak OKU disindir

MUAR 23 Mei - Ibu tunggal dari Jalan Wan Chik di sini, yang tidak bekerja kerana menguruskan dua anak orang kurang upaya (OKU), kesal kerana kerap disindir hanya bergantung dengan sumbangan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal untuk terus hidup.

Maimunah Chik, 52, sedih kerana pihak terbabit tidak memahami penderitaan keluarganya dan memperlekeh bantuan yang diterima dua anaknya, Shafikah Mohd. Saidin, 21, dan Nur Amalina, 15, sebanyak RM950 sebulan.

Menurutnya, dia terpaksa berjimat cermat dengan bantuan itu kerana bukan sahaja digunakan untuk menyara kehidupan seharian malah bagi menampung kos perubatan kedua-dua anaknya tersebut.

"Sedihnya ada pihak menyindir kononnya bertuahlah mendapat bantuan bulanan itu sedangkan jika diberi pilihan, saya rela tidak menerimanya kerana mahu Shafikah dan Nur Amalina sihat seperti insan lain," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Sejak suaminya, Mohd. Saidin Ismail meninggal dunia kerana penyakit barah kira-kira tiga tahun lalu, Maimunah terpaksa bersendirian menguruskan tiga anak termasuk Shafikah dan Nur Amalina yang disahkan menghidap cerebral palsy sejak lahir menyebabkan mereka tidak membesar seperti kanak-kanak lain.

Walau bagaimanapun, Maimunah bersyukur kerana anak kedua, Nur Arina, 19, baru menamatkan pengajian dari sebuah kolej kemahiran dan kini berada di rumah untuk turut membantu menguruskan kakak serta adiknya.

"Kudrat saya seorang memang tidak mampu menguruskan mereka berdua terutama untuk mengangkat ke tandas dan ada ketikanya perlu meminta bantuan keluarga yang tinggal berdekatan. Shafikah pernah mengalami sawan dan boleh menyerang kembali bila-bila masa menyebabkan saya tidak dapat bekerja mencari nafkah," katanya.

Sementara itu, Nur Arina berkata, dia tidak terbeban kerana perlu bergilir-gilir dengan ibunya menjaga kakak serta adiknya dan berhasrat mencari pekerjaan di sekitar bandar Muar supaya dapat meringankan kesusahan mereka sekeluarga.

Utusan
24 Mei 2013

Saturday, May 18, 2013

Remaja nyaris dirogol sepupu


MUAR - Seorang pelajar sebuah sekolah di Pagoh, nyaris menjadi mangsa rogol sepupunya dalam sebuah tandas di Kompleks Penghulu Pagoh dekat sini, kelmarin.

Pelajar berusia 15 tahun itu berjaya diselamatkan polis sebaik kejadian berkenaan disedari orang awam yang terdengar jeritan mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, susulan itu, polis membuat pemeriksaan dan mendapati salah satu tandas di kompleks itu dikunci dari dalam.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu beberapa kali dan dibuka, polis menemui mangsa dalam keadaan tidak terurus sedang menangis ketakutan.

“Suspek yang turut berada dalam tandas itu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan.

“Suspek yang sudah tidak bersekolah adalah sepupu mangsa yang telah disuruh ibu remaja perempuan berkenaan untuk mengambilnya pulang dari sekolah dengan menaiki motosikal,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sahadan berkata, suspek mengajak mangsa singgah ke kompleks itu dengan alasan kononnya ingin menyambut hari lahir remaja berkenaan.

Jelasnya, apabila tiba di tempat kejadian, suspek bertindak menarik mangsa  masuk ke dalam tandas.

“Suspek menarik tudung dan kain mangsa, tetapi tidak sempat merogolnya,” katanya.

Sahadan berkata, berdasarkan ujian air kencing suspek didapati bebas dadah, tetapi mempunyai rekod dalam perintah pengawasan polis selama dua tahun yang akan berakhir pada 2015.

Menurutnya, rekod tersebut bersangkutan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan niat.

Sinar Harian
18 Mei 2013

Ibu tunggal rayu pemuda pulangkan anak gadis


Zainab menunjukkan gambar Nur Sufiyana.

MUAR - Seorang ibu tunggal merayu pemuda yang membawa lari anak bongsunya sejak hampir dua bulan lalu, supaya segera mengembalikan anak perempuannya itu ke pangkuan keluarga.

Zainab Othman, 51, dari Jalan Mahmod, Bukit Mor Parit Jawa di sini, berkata, anaknya meninggalkan rumah pada 8 April lalu, dan sehingga kini masih tidak dapat dijejaki selepas seminggu mengenali teman lelakinya itu melalui internet.

Menurutnya, anaknya hilang apabila pemuda berkenaan yang dikenali Haris Iskandar, 24, menggunakan alasan mahu membeli cincin pertunangan dan ingin memperkenalkan Nur Sufiyana Tuginah, 19, kepada kakaknya di Alor Gajah Melaka.

“Seminggu selepas berkenalan, Sufi keluar menemui Haris di bandar ini kemudian membawanya pulang ke rumah dan bermalam semalam tiga hari.

“Sepanjang berada di sini, tingkah lakunya (Haris) amat baik dan tidak menunjukkan sebarang perbuatan mencurigakan,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di sini, semalam.

Zainab berkata, dia terasa seperti dipukau kerana segala kemahuan Haris dituruti termasuk membenarkannya membawa Sufi keluar ke Melaka.

Jelasnya, selepas pemuda itu hilang daripada pandangan mata, barulah dia tersedar dan rasa bersalah serta bimbang keselamatan anaknya yang keluar mengikut lelaki baru dikenalinya itu.

“Sehari selepas hilang, Sufi ada menghubungi saya dan memberitahu tidak akan dapat menghubungi saya lagi kerana bateri telefon bimbit hampir habis dan turut memberitahu dia berada di rumah kakak Haris di Melaka,” katanya.

Zainab berkata, dia ada cuba menghubungi anaknya semula, tetapi tidak berjaya.

Menurutnya, pemuda berkenaan pula yang kerap menghubunginya tetapi apabila dia ingin bercakap dengan anaknya, pemuda itu berdalih menyatakan anaknya tiada di rumah kerana bekerja.

“Saya bimbang memikirkan keselamatan Sufi dan sudah membuat dua laporan polis berkaitan kehilangannya di Balai Polis Parit Jawa pada 15 April dan 15 Mei lalu,” katanya.

Zainab turut meminta orang ramai yang mengenali Haris dan ada maklumat anaknya supaya menghubunginya di talian 013-6902246.

Sinar Harian
18 Mei 2013

Monday, May 13, 2013

Ibu bayi perempuan dicari


Mohd Zaflen dan Asmah bersama Nur Nabiela Syahrinie.

MUAR - Sepasang suami isteri dari Jalan Lama, Parit Tiram di sini, meminta kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan wanita dipercayai ibu kepada seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di rumahnya, kira-kira 20 bulan lalu.

Asmah Aliasak, 30, berkata, wanita tersebut menghilangkan diri sebaik menyerahkan seorang bayi perempuan yang baru lahir kepada ibu mertuanya.

Menurutnya, sejak itu, dia bersama suami, Mohd Zaflen Mokhtar, 35, memelihara bayi berkenaan yang diberi nama Nor Nabiela Syahrinie.

“Kami ingin menjadikannya anak angkat tetapi perlu mendapatkan dokumen kelahiran Nor Nabiela Syahrinie supaya dia dapat dijaga seperti kanak-kanak lain mengikut undang-undang,” katanya.

Justeru, orang ramai yang mengenali waris bayi terbabit dapat menghubungi Asmah di talian 014-2761487 atau 014-2603249.

Sinar Harian
13 Mei 2013

Saturday, May 11, 2013

Sahadan terima tugas pemangku Ketua Polis Muar


Mohd Mokhtar (tengah) menyaksikan serah terima tugas di antara Mohamad Nasir dengan Sahadan di Dataran Tanjung Emas, semalam.

MUAR - Ketua Polis Daerah Muar, Senior Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli dinaikkan pangkat sebagai Ketua Staff, Polis Gerakan Khas (PGK) Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) secara rasminya 13 Mei ini.

Jawatan sedia ada yang disandang Mohamad Nasir sejak Julai 2007 akan dipangku Timbalannya, Superintendan Sahadan Jaafar berkuatkuasa semalam.

Majlis serah terima tugas diadakan di Dataran Tanjung Emas, di sini, semalam. Hadir menyaksikan majlis itu adalah Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Mohamad Nasir berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar sejak lima tahun lalu hingga menjuarai kadar pendakwaan kes tertinggi pada 2012.

Beliau yakin Sahadan dapat melaksanakan tugas dengan baik seterusnya mengekalkan rekod pencapaian daerah sekaligus menjadikan IPD lebih baik pada masa akan datang.

“Nasihat saya kepada semua anggota IPD Muar adalah terus menanam rasa cinta dan perpaduan kepada negara serta PDRM di samping memegang kukuh slogan Perdana Menteri, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Ini kerana masyarakat adalah penentu sama ada imej PDRM tinggi atau sebaliknya dan usaha penguatkuasaan membanteras jenayah tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak,” katanya berucap di sini, semalam.

Sementara itu, Sahadan yang mula berkhidmat di IPD Muar sejak Mac tahun  lalu menganggap tugas  berkenaan sebagai tanggungjawab besar perlu dipikul bagi  memimpin pegawai dan  anggota hingga ketibaan  ketua baru.

Sinar Harian
11 Mei 2013

Wednesday, May 8, 2013

Tuah Kak Ton Kemas


Zaiton Ismail

MUAR - Gelaran Kak Ton Kemas membawa tuah kepada Adun baru Sungai Balang apabila dipilih rakyat untuk menerajui kepimpinan di kawasan berkenaan melalui PRU13.

Zaiton Ismail, 56, memperoleh 9,716 undi dengan kemenangan majoriti 1,635 undi menewaskan calon Pas, Malik Mohamad Diah yang mendapat 8,081 undi.

Beliau, 56, yang pernah berkhidmat sebagai Penyelia Kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Muar selama 33 tahun terkejut dengan kemenangan itu dan bertekad mahu membalas jasa rakyat memilihnya dengan memberikan perkhidmatan terbaik.

“Meskipun rata-rata pengundi adalah masyarakat di luar bandar, mereka masih percaya hanya Barisan Nasional (BN) mampu menabur bakti kepada mereka seperti yang banyak dilakukan sebelum ini.

“Saya anggap ini cabaran buat diri saya untuk bekerja lebih kuat bersama barisan akar umbi bagi menyumbang transformasi di Sungai Balang,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kemenangan itu atas sokongan dan kerjasama semua pihak khususnya jentera BN dan pemimpin di peringkat kampung.

“Selepas ini, saya akan bekerjasama dengan semua pihak untuk membincangkan apa patut dilakukan jika ada timbul sebarang masalah di kawasan masing-masing,” katanya.

Sinar Harian
7 Mei 2013