Thursday, May 23, 2013

Ibu bersama anak perempuan maut dalam kemalangan


MUAR - Seorang ibu dan anak perempuannya berusia empat tahun maut apabila kereta yang mereka naiki melanggar belakang sebuah treler di KM 134.9 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Pagoh, Muar semalam.

Ruzymah Sharin, 39, mati di tempat kejadian manakala anak perempuannya, Nurul Filzah Amirul, 4, mati di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar pada 10 pagi ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintenden Shahadan Jaafar berkata, kemalangan pada pukul 9.35 malam itu turut menyebabkan suami mangsa, Amirul Rashid, 40, dan bayi perempuan mereka berusia lapan bulan cedera ringan.

"Kereta yang pandu Amirul itu datang dari Kota Tinggi menuju ke utara dan melanggar bahagian belakang sebuah lori trelar yang berada di hadapan mereka menyebabkan bahagian depan kereta itu remuk teruk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata suami mangsa yang merupakan pesara tentera dan bayi mereka diberi rawatan pesakit luar di hospital yang sama.

Shahadan berkata pemandu treler itu juga cedera ringan dan telah membuat laporan polis hari ini. - Bernama

23 Mei 2013

0 comments:

Post a Comment