Mahadi menunjukkan pokok pisang unik yang mengeluarkan buah pada batang di rumahnya, semalam.
MUAR – Seorang pesara terkejut apabila mendapati salah satu daripada pokok pisang miliknya yang ditanam di kawasan rumahnya di rumahnya di Kampung Parit Lanjut, Sungai Terap di sini, mengeluarkan buah di batang.
Mahadi Johan, 71, berkata, dia hanya menyedari keganjilan itu kira-kira seminggu lalu ketika mahu membersihkan kawasan rumahnya.
“Pokok pisang bakar ini tumbuh daripada anak pokok selepas pokok asal yang ditanam oleh ibu mertua kira-kira tiga tahun lalu di bahagian tepi rumah ditebang.
“Pokok berusia setahun dengan ketinggian hampir 2.5 meter ini mempunyai enam sisir pisang. Ia dijangka boleh dipetik dalam tempoh dua bulan lagi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, pisang itu sesuai dijadikan sebagai sayuran dan lebih enak jika dimasak lemak berbanding pisang-pisang yang lain kerana teksturnya yang lembut.
Menurut Mahadi, selepas bersara 15 tahun lalu, dia banyak meluangkan masa bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah sebagai hobi.
“Selain pisang, saya ada tanam beberapa tumbuhan lain seperti pokok lada, keladi dan pelbagai jenis buah-buahan.
“Tapi saya tidak sangka kali ini berpeluang melihat sendiri kelainan pada pokok pisang setelah hampir 10 tahun terlibat dengan aktiviti bercucuk tanam,” katanya.
Katanya, buat masa ini, hanya keluarga terdekat yang mengetahui keunikan pisang berkenaan.
“Saya tidak pasti pisang ini ada maksud tersendiri ataupun sebaliknya, namun saya akan jaga buahnya dengan teliti supaya matang mengikut tempohnya.
“Saya juga tidak bercadang untuk menjualnya dan mungkin akan dimakan oleh sesi keluarga,” katanya.
Sinar Harian
31 Mei 2013
0 comments:
Post a Comment