Monday, May 27, 2013

Terharu dapat pingat lagi

Zulkiflee memakaikan pingat kepada Husin di Kompleks Pekembar Pagoh, kelmarin.

MUAR - Seorang veteran tentera dari Kampung Melayu, Panchor di sini, terharu apabila dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) meskipun sudah 25 tahun bersara sebagai anggota keselamatan negara.

Husin Sudin, 66, salah seorang daripada 30 pesara terpilih menerima anugerah itu yang disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEVATM), Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan di Kompleks Pekembar Pagoh, dekat sini, kelmarin.

Husin berkata, penganugerahan pingat buat kali ketiga itu amat bermakna kepadanya kerana jasa dan pengorbananya dihargai.

“Ketika berkhidmat, saya menerima dua pingat iaitu Pingat Perkhidmatan Awam (1967) dan Pingat Perkhidmatan Setia (1980).

“Saya puas kerana dapat menyumbangkan bakti kepada negara dalam tempoh 21 tahun berkhidmat sebagai tentera,” katanya kepada Sinar Harian.

Husin yang bersara pada 1986 dengan jawatan terakhir sebagai Sarjan di Kem Tentera Kota Kinabalu, Sabah, pernah cedera akibat terjatuh ketika menjalani latihan halangan pada 1982.

Menurutnya, kesan cedera pada lutut kanannya itu ditanggung hingga kini, dia menggunakan tongkat untuk berjalan sejak lima tahun lalu.

“Tetapi saya tidak pernah menyesal, sebaliknya bersyukur kerana berpeluang berbakti kepada negara,” katanya.

Bapa 10 cahaya mata itu menganggap peluang menjadi anggota tentera adalah paling manis dalam hidup kerana sejak kecil diri mengimpikan untuk menjawat profesion berkenaan.

Menurutnya, dia juga tidak terlepas dugaan getir peristiwa 13 Mei kerana ketika itu sedang berkhidmat di Sarawak, manakala isteri dan anak berada di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, walaupun tiada anak yang mengikut jejak langkahnya, beliau menaruh harapan agar ada di antara cucunya yang akan menjadi tentera.

Sinar Harian
27 Mei 2013

0 comments:

Post a Comment