Zainab menunjukkan gambar Nur Sufiyana.
MUAR - Seorang ibu tunggal merayu pemuda yang membawa lari anak bongsunya sejak hampir dua bulan lalu, supaya segera mengembalikan anak perempuannya itu ke pangkuan keluarga.
Zainab Othman, 51, dari Jalan Mahmod, Bukit Mor Parit Jawa di sini, berkata, anaknya meninggalkan rumah pada 8 April lalu, dan sehingga kini masih tidak dapat dijejaki selepas seminggu mengenali teman lelakinya itu melalui internet.
Menurutnya, anaknya hilang apabila pemuda berkenaan yang dikenali Haris Iskandar, 24, menggunakan alasan mahu membeli cincin pertunangan dan ingin memperkenalkan Nur Sufiyana Tuginah, 19, kepada kakaknya di Alor Gajah Melaka.
“Seminggu selepas berkenalan, Sufi keluar menemui Haris di bandar ini kemudian membawanya pulang ke rumah dan bermalam semalam tiga hari.
“Sepanjang berada di sini, tingkah lakunya (Haris) amat baik dan tidak menunjukkan sebarang perbuatan mencurigakan,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di sini, semalam.
Zainab berkata, dia terasa seperti dipukau kerana segala kemahuan Haris dituruti termasuk membenarkannya membawa Sufi keluar ke Melaka.
Jelasnya, selepas pemuda itu hilang daripada pandangan mata, barulah dia tersedar dan rasa bersalah serta bimbang keselamatan anaknya yang keluar mengikut lelaki baru dikenalinya itu.
“Sehari selepas hilang, Sufi ada menghubungi saya dan memberitahu tidak akan dapat menghubungi saya lagi kerana bateri telefon bimbit hampir habis dan turut memberitahu dia berada di rumah kakak Haris di Melaka,” katanya.
Zainab berkata, dia ada cuba menghubungi anaknya semula, tetapi tidak berjaya.
Menurutnya, pemuda berkenaan pula yang kerap menghubunginya tetapi apabila dia ingin bercakap dengan anaknya, pemuda itu berdalih menyatakan anaknya tiada di rumah kerana bekerja.
“Saya bimbang memikirkan keselamatan Sufi dan sudah membuat dua laporan polis berkaitan kehilangannya di Balai Polis Parit Jawa pada 15 April dan 15 Mei lalu,” katanya.
Zainab turut meminta orang ramai yang mengenali Haris dan ada maklumat anaknya supaya menghubunginya di talian 013-6902246.
Sinar Harian
18 Mei 2013
0 comments:
Post a Comment