Maimunah tidak jemu melayan karenah Shafikah dan Nur Amalina.
MUAR - Kasih ibu membawa ke syurga, begitulah gambaran ketabahan Maimunah Chik, 52, di atas pengorbanannya membesarkan dua anak yang dikategorikan orang kurang upaya (OKU).
Maimunah berkata, anak sulungnya, Shafikah, 21 dan anak bongsunya, Nur Amalina, 15, disahkan mengidap Cerebral Palsy sejak dilahirkan.
Bagaimanapun, peranannya membesarkan dua anak itu teruji apabila suaminya, Mohd Saidin Ismail, meninggal dunia kerana barah kira-kira tiga tahun lalu.
“Sebelum ini tugas menjaga Shafikah dan Nur Amalina dilakukan bersama arwah suami. Namun kini, saya mengambil tugas tersebut sendirian dan pada masa yang sama menjadi ketua keluarga.
“Kudrat saya semakin terbatas untuk menguruskan mereka berdua terutama untuk mengangkat ke tandas, kadang kala perlu meminta bantuan keluarga yang tinggal berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, bebannya sedikit berkurangan apabila anak kedua, Nur Arina, 19, yang baru tamat belajar dari sebuah kolej kemahiran berada di rumah dan membantu menguruskan kakak serta adiknya.
Maimunah berkata, penyakit berkenaan menyebabkan Shafikah dan Nur Amalina tidak membesar seperti kanak-kanak lain kerana sistem otak mereka lumpuh.
“Shafikah sebelum ini pernah mengalami sawan dan penyakit itu boleh menyerang pada bila-bila masa,” katanya yang menetap di Lorang Wan Chik, Jalan Salleh di sini.
“Saya bersyukur dalam kesusahan menjaga dua anak OKU, banyak pihak prihatin apabila mereka mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600. Saya pula mendapat bantuan ibu tunggal, RM350 sebulan daripada Baitulmal,” katanya.
Dalam pada itu, Maimunah tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan apabila ada pihak dengan sinis mempertikaikan bantuan yang diterimanya.
Menurutnya, sedangkan jauh di sudut hati jika diberi pilihan, dia lebih rela hidup tanpa bantuan kerana mahu dua anaknya itu sihat seperti insan lain.
Sinar Harian
19 Mei 2013
Ibu tunggal 2 anak OKU disindir
MUAR 23 Mei - Ibu tunggal dari Jalan Wan Chik di sini, yang tidak bekerja kerana menguruskan dua anak orang kurang upaya (OKU), kesal kerana kerap disindir hanya bergantung dengan sumbangan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal untuk terus hidup.
Maimunah Chik, 52, sedih kerana pihak terbabit tidak memahami penderitaan keluarganya dan memperlekeh bantuan yang diterima dua anaknya, Shafikah Mohd. Saidin, 21, dan Nur Amalina, 15, sebanyak RM950 sebulan.
Menurutnya, dia terpaksa berjimat cermat dengan bantuan itu kerana bukan sahaja digunakan untuk menyara kehidupan seharian malah bagi menampung kos perubatan kedua-dua anaknya tersebut.
"Sedihnya ada pihak menyindir kononnya bertuahlah mendapat bantuan bulanan itu sedangkan jika diberi pilihan, saya rela tidak menerimanya kerana mahu Shafikah dan Nur Amalina sihat seperti insan lain," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Sejak suaminya, Mohd. Saidin Ismail meninggal dunia kerana penyakit barah kira-kira tiga tahun lalu, Maimunah terpaksa bersendirian menguruskan tiga anak termasuk Shafikah dan Nur Amalina yang disahkan menghidap cerebral palsy sejak lahir menyebabkan mereka tidak membesar seperti kanak-kanak lain.
Walau bagaimanapun, Maimunah bersyukur kerana anak kedua, Nur Arina, 19, baru menamatkan pengajian dari sebuah kolej kemahiran dan kini berada di rumah untuk turut membantu menguruskan kakak serta adiknya.
"Kudrat saya seorang memang tidak mampu menguruskan mereka berdua terutama untuk mengangkat ke tandas dan ada ketikanya perlu meminta bantuan keluarga yang tinggal berdekatan. Shafikah pernah mengalami sawan dan boleh menyerang kembali bila-bila masa menyebabkan saya tidak dapat bekerja mencari nafkah," katanya.
Sementara itu, Nur Arina berkata, dia tidak terbeban kerana perlu bergilir-gilir dengan ibunya menjaga kakak serta adiknya dan berhasrat mencari pekerjaan di sekitar bandar Muar supaya dapat meringankan kesusahan mereka sekeluarga.
Utusan
24 Mei 2013
0 comments:
Post a Comment