MUAR: Polis merampas selaras senapang angin dan empat lagi komponen senjata buatan sendiri itu hasil penahanan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta di Sungai Kelat, Sungai Balang di sini Selasa lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Supt Shahadan Jaafar berkata dalam serbuan yang dilakukan oleh cawangan narkotik kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, polis turut merampas 300 butir bebola besi dan 14 biji logam timah dipercayai untuk dijadikan peluru.
"Berikutan itu polis menahan pengusaha bengkel berkenaan yang berusia 35 tahun untuk membantu siastan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara," katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di sini Selasa.
Polis sebelum itu, katanya menyerbu ke premis berkenaan setelah menerima aduan daripada orang ramai berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah, namun setelah pemeriksaan dilakukan polis gagal menemui dadah sebaliknya menjumpai senjata berkenaan.
Katanya, siasatan awal polis mendapati lelaki tersebut menjualkan senjata buatan sendiri itu dengan harga RM1,000 selaras kepada pelanggan yang menempahnya.
Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis ganja dan mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan memiliki ganja. -BERNAMA
21 Mei 2013
0 comments:
Post a Comment