MUAR 20 Mei - Masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa perkampungan di Air Hitam Batu 18, dekat sini bakal diatasi menerusi pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Kawasan Air Hitam tidak lama lagi.
Penghulu mukim berkenaan, Ariffpudin Abd. Latif berkata, projek dengan kos RM7 juta itu dijangka mengambil masa selama dua tahun untuk siap sepenuhnya yang dijadual dimulakan bulan depan.
Menurutnya, projek tersebut akan menaik taraf sistem perparitan melibatkan kawasan sejauh dua kilometer bermula dari Kompleks Penghulu sehingga ke sempadan Batu Pahat.
"Peruntukan awal sebanyak RM2.5 juta bagi fasa pertama sudah diluluskan yang membabitkan kerja-kerja menggantikan pembetung sedia ada di bahagian kiri dan kanan jalan.
"Peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika lawatan kerjanya di Bakri, baru-baru ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, penggantian sebanyak 134 pembetung dipercayai mampu mempercepatkan aliran air semasa hujan, sekali gus mengelakkan air parit melimpah ke halaman rumah penduduk.
Ariffpudin berkata, baki peruntukan berjumlah RM4.5 juta pula akan diluluskan tahun depan yang melibatkan kerja-kerja menggantikan parit konkrit berbentuk U.
Beliau berkata, masalah banjir kilat yang sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu itu telah menyebabkan 200 rumah dinaiki air yang mengambil masa hampir seminggu untuk pulih.
"Kebanyakan rumah yang terletak berdekatan dengan Parit Sulung, Batu Pahat dikenal pasti paling teruk dinaiki air banjir yang disifatkan sebagai banjir 'termenung'.
"Kejadian banjir besar pada 2006 masih lagi menghantui penduduk yang membuatkan mereka sentiasa berhati-hati setiap kali musim hujan memandangkan faktor cuaca yang sering tidak menentu sejak akhir-akhir ini," katanya.
Katanya, kejayaan mendapatkan peruntukan itu adalah hasil usaha bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali.
Utusan
21 Mei 2013
0 comments:
Post a Comment