Saturday, May 11, 2013

Sahadan terima tugas pemangku Ketua Polis Muar


Mohd Mokhtar (tengah) menyaksikan serah terima tugas di antara Mohamad Nasir dengan Sahadan di Dataran Tanjung Emas, semalam.

MUAR - Ketua Polis Daerah Muar, Senior Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli dinaikkan pangkat sebagai Ketua Staff, Polis Gerakan Khas (PGK) Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) secara rasminya 13 Mei ini.

Jawatan sedia ada yang disandang Mohamad Nasir sejak Julai 2007 akan dipangku Timbalannya, Superintendan Sahadan Jaafar berkuatkuasa semalam.

Majlis serah terima tugas diadakan di Dataran Tanjung Emas, di sini, semalam. Hadir menyaksikan majlis itu adalah Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Mohamad Nasir berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar sejak lima tahun lalu hingga menjuarai kadar pendakwaan kes tertinggi pada 2012.

Beliau yakin Sahadan dapat melaksanakan tugas dengan baik seterusnya mengekalkan rekod pencapaian daerah sekaligus menjadikan IPD lebih baik pada masa akan datang.

“Nasihat saya kepada semua anggota IPD Muar adalah terus menanam rasa cinta dan perpaduan kepada negara serta PDRM di samping memegang kukuh slogan Perdana Menteri, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Ini kerana masyarakat adalah penentu sama ada imej PDRM tinggi atau sebaliknya dan usaha penguatkuasaan membanteras jenayah tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak,” katanya berucap di sini, semalam.

Sementara itu, Sahadan yang mula berkhidmat di IPD Muar sejak Mac tahun  lalu menganggap tugas  berkenaan sebagai tanggungjawab besar perlu dipikul bagi  memimpin pegawai dan  anggota hingga ketibaan  ketua baru.

Sinar Harian
11 Mei 2013

0 comments:

Post a Comment