Tuesday, May 21, 2013

Lelaki mati ditikam 7 kali oleh sekumpulan lelaki

MUAR 21 Mei - Seorang lelaki mati selepas ditikam di leher, dada dan pinggang oleh sekumpulan lelaki tidak jauh dari rumahnya di Jalan Lama di sini semalam, dipercayai berkaitan dadah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Koh Ser Sup, 47, yang mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah, baru sahaja keluar rumah untuk pergi membeli makanan sebelum diserang di satu persimpangan jalan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Sahadan Jaafar berkata, selepas diserang mangsa bangun dan berjalan kira-kira 20 meter sebelum rebah di hadapan sebuah kedai yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

"Mangsa berjalan dalam keadaan berlumuran darah. Dia kemudian dibantu orang awam dan bapanya, Koh Swee Pheng, 60-an, sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini pukul 6.45 petang.

"Bagaimanapun, apabila sampai di bilik kecemasan hospital tersebut kira-kira pukul 7 malam, mangsa disahkan meninggal dunia," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Muar di sini, hari ini.

Menurut beliau, mangsa dipercayai ditikam dengan dua senjata tajam di bahagian kiri dan kanan serta pinggang.

"Punca utama kematian adalah tikaman di lehernya sehingga menyebabkan mangsa lemas dan sukar untuk bernafas," katanya yang tidak menemui sebarang senjata atau objek tajam di tempat kejadian.

Beliau seterusnya tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan itu berkaitan dadah dan akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut bagi membantu siasatan.

"Mangsa adalah penagih dadah dan membantu keluarganya menjual otak-otak di Medan Selera Bentayan selain mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah dan satu kes jenayah antara 1988 hingga 2001.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sehingga kini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat," ujarnya.

Sahadan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya menghubungi pegawai penyiasat kes berkenaan, Asisten Supritendan Jalal Abdul Rashid menerusi 013-4574777 untuk membantu siasatan.

Utusan
22 Mei 2013

0 comments:

Post a Comment