REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Saturday, August 28, 2010

Puteri UMNO gesa kerajaan bertindak tegas terhadap Namewee

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Puteri UMNO mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap seorang pemuda dari Muar Johor, Wee Meng Cheng atau dikenali sebagai Namewee kerana mengulangi perbuatan yang dianggap biadab, kali ini dengan menerbitkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, klip video terbaru Namewee yang disifatkan berbaur perkauman dengan merujuk kepada kes seorang guru yang dikatakan membuat kenyataan berbaur perkauman.

Dalam satu kenyataan hari ini Rosnah berkata, dalam klip video itu, Namewee antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar.

Beliau berkata, selain itu, Namewee dalam klip video yang disiarkan dalam laman web YouTube, berulang kali menunjuk isyarat lucah serta baris perkataan tidak senonoh.

Puteri UMNO mendesak kerajaan bertindak tegas kerana anak muda itu ternyata tidak mempunyai rasa hormat jauh sekali mempunyai tanggungjawab terhadap tanah air sendiri, katanya. – Bernama

27 Ogos 2010

Thursday, August 26, 2010

Lelaki OKU rogol gadis 15 tahun

MUAR – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran berusia 29 tahun telah ditahan pihak polis ketika sedang menaiki motosikal di Jalan Daud di sini, pada 20 Ogos lalu.

Suspek dipercayai terlibat dalam kejadian merogol seorang remaja berusia 15 tahun.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan tinggal seorang diri di rumahnya di Jalan Daud di sini dalam kejadian 16 Ogos lalu kira-kira jam 4.15 petang.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, sebelum tangkapan, suspek dipercayai cuba melarikan diri dan akhirnya berjaya ditahan oleh pihak polis.

Menurutnya, ketika menahan suspek, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Nitro, topi keledar dan telefon bimbit.

“Hasil siasatan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau iaitu mencabul kehormatan yang disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Sinar Harian
25 Ogos 2010

Monday, August 23, 2010

Daftar segera kad jualan getah

KAMPUNG BARU BEKOH – Lembaga Getah Malaysia Wilayah Selatan Segamat giat mengadakan pendaftaran kad jualan getah pekebun kecil kepada pemilik tanah dan pengusaha getah di Balai Raya Kampung Cina, di sini semalam.

Penolong Pegawai Penguatkuasa Lembaga Getah Wilayah Selatan Segamat, Mohd Saiful Mazwan Zahrin berkata, kad jualan getah dilakukan kepada pekebun kecil yang terdapat di daerah Tangkak.

“Kad jualan getah ini adalah syarat baru yang perlu ada pada individu yang ingin menjual getah seperti pemilik tanah dan penoreh getah kerana pihaknya ingin membanteras kes kecurian getah daripada berleluasa.

“Dengan adanya kad ini, proses penjualan getah dengan individu tidak berkenaan dalam pengusaha getah tidak dapat dilakukan terutama pencuri getah yang ingin menjual hasil getah curi kerana tidak mempunyai rekod pengenalan diri sebagai pemilik tanah ataupun penoreh getah,” katanya.

Beliau berkata, sistem ini akan dilaksanakan pada seluruh negara dan pada masa ini, Lembaga Getah Malaysia membuat pendaftaran kepada pekebun kecil yang ada dalam negara dan berkemungkinan sistem kad ini akan dikuatkuasakan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

“Matlamat pelaksanaan kad ini adalah untuk mengurangkan kadar kes kecurian getah yang dialami pekebun getah yang menyebabkan kerugian dan kad ini juga bertujuan untuk mengumpulkan data pekebun kecil yang ada di Malaysia.

“Selain itu, sistem kad jualan getah ini juga dapat membantu pekebun kecil berkenaan kerana Lembaga Getah Malaysia dengan mudahnya dapat menyalurkan bantuan kerajaan kepada pengusaha getah secara terancam bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan agihan bantuan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, untuk negeri Johor hampir 5500 kad jualan getah pekebun kecil didaftarkan dan syarat untuk mendapatkan kad ini adalah pemohon perlu kemukakan salinan geran tanah dan kad pengenalan seterusnya dalam masa 10 minit kad jualan getah siap untuk dimiliki mereka.

“Kad jualan getah ini boleh dibuat salinan berwarna terutama bagi pemilik tanah yang memiliki beberapa penoreh getah dan ia boleh dipindah kuasa tetapi dihadkan hanya kepada penoreh getah di kawasan tanahnya sahaja.

“Sistem ini juga satu usaha Lembaga Getah Malaysia bagi membantu dan menjaga kebajikan pekebun kecil daripada mengalami kerugian dan penyelarasan sistem jualan getah dengan lebih sistematik dan berkesan,” katanya.

Bagi Pemaju Masyarakat Risda, Hasim Khamis berkata, peranan kad jualan getah ini dapat memudahkan urusan penjualan getah yang dilakukan pihak pekebun kecil dan kebarangkalian penurunan kes kerugian getah mungkin dapat dikurangkan.

“Pekebun kecil seperti kami kini tidak perlu lagi risau kerana pencuri getah tidak dapat menjual getah yang dicuri kepada mana-mana pihak kerana mereka tidak memiliki kad jualan getah yang dapat membenarkan urusan jual beli getah dilakukan.

“Selain itu, kami juga tidak terpinggir dalam untuk menerima bantuan daripada kerajaan seperti Risda atau Lembaga Getah Malaysia kerana penyaluran bantuan mudah disalurkan dengan adanya data pada kad jualan getah yang dimiliki mereka,” katanya.

Sinar Harian
23 Ogos 2010

Saturday, August 21, 2010

Penduduk ‘lemas’

MUAR – Masalah lambakan warga asing di bandar Muar pada hujung minggu dan cuti umum boleh dianggap sebagai satu fenomena yang luar biasa sehingga meresahkan ramai masyarakat di bandar tersebut.

Kebanjiran mereka di sini dipercayai kesan daripada pertumbuhan banyak kilang di sini yang boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Kehadiran mereka yang terlalu ramai yang berkeliaran dan melepak di beberapa lokasi di bandar ini menunjukkan mereka seolah-olah menakluki bandar itu pada hujung minggu.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Muar pada hujung minggu mendapati, warga asing telah menjadikan Laman Maharani dan Menara Jam Padang Nyiru Laman Maharani sebagai lokasi tumpuan mereka melepak beramai-ramai.

Mereka juga menjadikan lokasi itu sebagai tempat berkelah dan membuang sampah. Fenomena seperti itu sangat memalukan dan boleh menjejaskan imej Muar kepada pelancong luar yang sering berkunjung ke bandar berkenaan kerana keistimewaannya yang tersendiri.

Pada masa yang sama, kebanyakan mereka bergerak secara berkumpulan dan inilah yang telah menyesakkan pengangkutan awam di bandar itu, sehingga menyebabkan rakyat tempatan terpaksa berdiri dan berhimpit serta tidak diberi tempat duduk oleh orang asing khususnya wanita hamil dan warga emas.

Pekerja swasta, Juliana Mohamad, 25, berkata, dia berasa lemas dengan lambakan warga asing di bandar ini.

Menurutnya, masalah sudah lama terjadi dan akhir-akhir ini kehadiran mereka dilihat semakin bertambah serta tidak terkawal sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.

“Saya sering ke Muar pada hujung minggu dan melihat segerombolan warga asing berkeliaran di bandar ini.

“Malahan mereka juga didapati sering berkumpul di beberapa pusat pengurusan mata wang asing. Keadaan yang sesak di sini telah menyukarkan orang ramai untuk melintasi di kawasan berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian.

Juliana berkata, kehadiran mereka yang terlalu ramai ini menakutkan orang ramai terutamanya golongan wanita ketika melintasi atau menghampiri kawasan tumpuan warga asing itu.

“Ketakutan ini menjadikan saya merasakan seperti bukan berada di negara sendiri,” katanya.

Pelajar yang dikenali sebagai Aida, 22, berkata, lambakan warga asing akan memberi impak yang besar terhadap persekitaran sosial di daerah ini.

Menurutnya, peningkatan bilangan warga asing secara tidak langsung boleh meningkatkan kadar jenayah di bandar ini.

“Saya beranggapan tidak semua warga asing di sini mempunyai visa perjalanan yang sah dan kadang kala mereka mempunyai agenda sendiri datang ke sini.

“Saya pernah menjadi mangsa seluk saku semasa menggunakan pengangkutan awam yang dipenuhi dengan warga asing,” katanya.

Aida berkata, ini jelas memberi gambaran bahawa keselamatan diri dan harta benda kita tidak selamat apabila berada di kawasan yang ramai warga asing.

“Sejak daripada kejadian itu, saya lebih berhati-hati dan akan cuba mengelak untuk berada dalam kawasan yang ramai dengan pendatang asing.

“Jelas menunjukkan bahawa lambakan warga asing ini telah mengancam keselamatan dan menggugat keamanan masyarakat di sini,” katanya.

Pesara, Raja Ramli Mustafa, 63, berkata, lambakan warga asing itu perlu perhatian segera daripada pihak berwajib.

Menurutnya, tindakan warga asing di sini melepak dan membuat kotor di beberapa lokasi di bandar ini sudah keterlaluan.

“Perbuatan mereka ini seolah-olah tidak menghormati budaya dan peraturan masyarakat di sini dan mereka jadikan negara ini seperti negara asal mereka sendiri.

“Saya juga terkejut apabila melihat Laman Maharani dan Menara Jam Padang Nyiru Laman Maharani dijadikan tempat untuk mereka melepak dan keadaan ini telah mencacatkan keindahan pemandangan sekitar bandar ini,” katanya.

Justeru itu, pihak berwajib perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan permasalahan itu terus terkawal dan dapat meminimumkan masalah sosial di sini.

Sinar Harian
21 Ogos 2010

Tinggal dua peratus

BAKRI - Hanya tinggal dua peratus sahaja golongan fakir miskin yang dikenal pasti di negara ini dan jumlah itu dilihat semakin berkurangan setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Kawasan DUN Sungai Abong, Datuk Dr Haris Salleh berkata, pengurangan ini hasil daripada tindakan yang dilakukan kerajaan dalam usaha membasmi kadar kemiskinan dalam negara.

Menurutnya, kerajaan juga menyalurkan pelbagai bantuan dan sumbangan seperti mewujudkan skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membantu rakyat yang tidak mempunyai rumah.

“Pada masa yang sama, dalam setiap mesyuarat tindakan daerah juga sentiasa mengenal pasti golongan yang kurang berkemampuan menerusi penghulu juga ketua kampung.

“Saya menyarankan supaya lebih banyak badan korporat yang sudi memberikan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Fakir Miskin di Dewan Serbaguna Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 1 (KKTDI 1), di sini.

Dalam majlis itu, seramai 361 golongan kurang berkemampuan gembira apabila diraikan dan menerima sumbangan duit raya dan barangan dapur.

Haris berkata, 361 golongan yang menerima sumbangan terdiri daripada 58 fakir miskin, 58 ibu tunggal, 58 anak yatim, 52 orang kurang upaya (OKU), 120 murid sekolah rendah dan 15 murid Tabika Kemas.

Katanya, dengan pemberian bantuan itu membuktikan JPMM DUN Sungai Abong sentiasa prihatin dan membela nasib penduduk di kawasan DUN Sungai Abong.

“Inisiatif memberi sumbangan ini sebagai bantuan kepada mereka untuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri akan datang.

“Walaupun jumlah sumbangan yang diberikan tidak begitu besar, tetapi ia dapat menunjukkan rasa simpati kepada semua penerima,” katanya yang memaklumkan majlis seperti itu akan diadakan setiap tahun supaya golongan yang kurang berupaya itu tidak merasa dipinggirkan.

Bagi penerima sumbangan, Fatimah Mohd Kemu, 57, yang berasal dari Taman Desa, di sini terharu apabila terpilih untuk menerima sumbangan pada kali ini.

Menurutnya, sejak kematian suaminya kira-kira enam tahun lalu, dia terpaksa bekerja dengan pendapatan yang tidak seberapa untuk menampung perbelanjaan empat anaknya itu.

“Sebelum ini, saya ada mencuba membuat permohonan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi tidak berjaya.

“Dengan sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban dalam membuat persiapan hari raya akan datang,” katanya yang pertama kali menerima sumbangan seperti itu.

Sinar Harian
20 Ogos 2010

Thursday, August 19, 2010

Pelancaran meriah

JALAN BENTAYAN – Pelancaran Program Semarak Merdeka Bulan Kemerdekaan Persatuan Tuan-tuan Punya Teksi/Kereta Sewa Muar-Pagoh telah berlangsung dengan meriah di Dataran Letak Kereta Sewa Kubu Bentayan di sini, baru-baru ini.

Majlis berkenaan telah dirasmikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mazlan Sabari.

Menurutnya, beliau menyarankan kepada semua pemandu supaya berpegang kepada etika pemandu iaitu supaya sentiasa bersopan santun dengan pelanggan kerana ia dapat meningkatkan integriti dan imej perkhidmatan teksi di daerah Muar khususnya kepada pelancong luar.

“Saya begitu optimistik dan kagum dengan semangat yang ditunjukkan persatuan ini dan mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis seperti ini.

“Ia kerana program ini dapat memperkukuhkan jati diri dan semangat patriotik dalam kalangan pemandu teksi di sini,” katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sama ia dapat menyemai lima rukun negara dan menggalakkan masyarakat di sini untuk berpegang kepada lima prinsip ini supaya kemerdekaan negara dapat dikekalkan.

“Bahkan masyarakat akan dapat hidup dalam suasana aman aman tenteram dengan pelbagai kaum yang lain.

“Menerusi prinsip lima rukun negara ini setiap masyarakat dapat menjadikan prinsip ini sebagai garis panduan dalam kehidupan bermasyarakat yang bertunjangkan kepada agama masing-masing serta wajib menghormati dan mengiktiraf agama Islam sebagai gama rasmi negara,” katanya.

Mazlan berkata, dalam pada itu beliau turut memberikan konsep ‘5P’ iaitu Permit, Perubahan, Pendidikan, Perpaduan dan Perniagaan.

“Saya menyarankan kepada semua pemandu teksi di sini supaya mengamalkan konsep ini agar lebih maju dan berdaya saing dalam menempuh sebarang perubahan yang berlaku.

“Persatuan ini juga perlu bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Trafik dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi memantau dan melaporkan mana-mana teksi yang tidak mempunyai permit yang sah kerana ia menjejaskan pendapatan pengusaha teksi sah yang lain,” katanya.

Mazlan berkata, beliau turut menyarankan semua pemandu teksi supaya mempunyai pendidikan khususnya dalam ilmu pengusaha teksi kerana ia sangat penting sebagai panduan untuk menjadi pemandu teksi yang berhemah terutamanya kepada pelancong asing.

Selain itu, beliau turut berbincang bersama wakil daripada JPJ, Saiful Hisham dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Bentayan, Chriss Ching Yong mengenai pendekatan terbaik untuk mengatasi masalah kesesakan di Dataran Letak Kereta Kubu Bentayan.

Difahamkan selepas perasmian, beliau turut melekatkan Jalur Gemilang pada setiap teksi, kereta sewa dan bas ekspres serta kenderaan yang lalu lalang di Jalan Maharani, di sini.

Sinar Harian
18 Ogos 2010

Tuesday, August 17, 2010

Songkok dapat sambutan awal

JALAN ABDULLAH – Biarpun umat Islam baru seminggu berpuasa, namun bahang kehangatan Syawal sudah semakin terasa.

Tinjauan di beberapa lokasi di daerah Muar mendapati, masyarakat di daerah ini sudah mula membuat persiapan bagi menyambut ketibaan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.

Membeli songkok antara persediaan awal yang dilakukan masyarakat di sini kerana ia sama penting dengan keperluan yang lain untuk menjadikan hari raya tahun ini lebih bermakna.

Hal berkenaan turut diakui seorang penjual songkok, Hashim Ali, 56, yang sudah menjual songkok sejak 36 tahun lalu.

Menurutnya, trend membeli songkok tahun ini mula berbeza dengan tahun yang lalu kerana tahun ini mereka sudah mula membeli songkok sejak awal Ramadan lagi.

“Inisiatif ini juga adalah salah satu cara perbelanjaan yang bijak dan dapat mengelakkan mereka tertekan ketika menghampiri Syawal.

“Saya juga menasihati kepada masyarakat supaya membeli songkok lebih awal supaya saiz songkok yang dikehendaki dapat diperoleh dengan mudah,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pengalaman selama 36 tahun sebagai penjual songkok menjadikannya matang dan masak dengan ragam setiap pelanggan yang membeli songkok dengannya.

“Ada kalanya, permintaan pelanggan terlalu tinggi terutamanya melibatkan kualiti dan pengurangan harga.

“Walaupun songkok yang saya jual ini adalah songkok yang berkualiti tinggi dan antara yang terbaik di Muar, tetapi dengan pengalaman yang ada saya berjaya meyakinkan kesemua pelanggan dengan produk yang dijual,” katanya.

Hashim berkata, terdapat tiga jenis songkok yang dijualnya iaitu jenis rata empat inci setengah, rata empat inci dan rata tiga inci.

“Kesemua jenis songkok ini mendapat sambutan hebat daripada pelanggan terutamanya pelanggan tetapnya sejak 30 tahun lalu kerana kualiti songkoknya ini.

“Sentiasa bersikap ramah dan mesra dengan pelanggan menjadi kunci kejayaan sehingga mampu bertahan sehingga kini dan terkenal antara penjual songkok yang paling lama,” katanya.

Bagaimanapun katanya, budaya membeli saat akhir masih berlaku kerana pelanggan beranggapan membeli pada saat akhir adalah lebih seronok dan semangat hari raya lebih terasa.

Sinar Harian
17 Ogos 2010

Monday, August 16, 2010

80 tahun longkang tidak diganti

JALAN KHATIB – Penduduk di kawasan Jalan Khatib, di sini meminta agar longkang yang berusia 80 tahun itu diberikan perhatian yang sewajarnya kerana keadaannya semakin teruk.

Mereka mendakwa, longkang itu tidak pernah diganti, bahkan kerja penyelenggaraan juga jarang dilakukan.

Penduduk, Ahmad Sanin, 60, berkata, longkang itu perlu diganti dan dinaiktarafkan dengan segera kerana mengundang pelbagai masalah kepada penduduk yang tinggal di kawasan itu.

Menurutnya, selain saiznya yang kecil, terowong longkang yang berada di bawah jalan itu menjadikan laluan air tersumbat sekali gus menyebabkan sistem perparitan itu gagal berfungsi.

“Ini menyebabkan air di longkang ini sentiasa bertakung dan akan melimpah ke atas jalan pada waktu hujan.

“Masalah ini menjadi lebih buruk apabila waktu hujan lebat kerana air longkang ini akan memasuki rumah penduduk berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, malah ada antara penduduk di sini yang berpindah ke tempat lain disebabkan tidak tahan dengan situasi sedemikian.

“Walaupun hujan lebat selama dua jam, pasti rumah mereka akan dinaiki air longkang ini.

“Masalah seperti ini sangat menyusahkan kerana terpaksa membersihkan rumah setiap kali selepas hujan lebat,” katanya.

Ahmad berkata, pelbagai usaha dilakukan termasuk membuat aduan kepada pihak berkenaan tetapi sehingga kini masih belum mendapat sebarang perkembangan yang positif.

Seorang lagi penduduk, Abu Bakar Abdullah, 70, berkata, masalah seperti itu sangat menyusahkan lagi memalukan terutamanya kawasan itu berada di tengah bandar Muar.

Menurutnya, semenjaknya kecil dan sehingga ke kini, longkang itu tidak pernah diganti serta mengecewakan penduduk di sini.

“Keadaan air longkang yang sentiasa bertakung pastinya boleh mengundang masalah lain kepada penduduk di sini.

“Saya bimbang, longkang ini akan menjadi salah satu sarang pembiakan nyamuk Aedes dan secara tidak langsung, meningkatkan risiko demam denggi di sini,” katanya.

Katanya, penduduk memohon jasa baik daripada pihak berkenaan supaya mengambil berat dengan permasalahan itu demi kesejahteraan penduduk di sini.

Sinar Harian
16 Ogos 2010

Sunday, August 15, 2010

48 rumah musnah

MUAR – Kira-kira 48 rumah di Kampung Sri Bukit Batu, Bakri dan Kampung Simpang Baba Jalan Salleh, di sini mengalami kerosakan akibat dipukul ribut pada kejadian petang kelmarin .

Kejadian berlaku pada jam 4.40 petang yang disusuli dengan angin kencang dan hujan lebat telah menyebabkan banyak pokok tumbang dan bumbung rumah penduduk tercabut akibat tiupan angin itu.

Difahamkan tiada sebarang kemalangan jiwa yang dilaporkan akibat daripada kejadian tersebut.

Dalam kejadian di Kampung Simpang Baba Jalan Salleh, mangsa Abd Rahman Hussin, 47, berkata, dia berada di rumah ketika kejadian dan sedang sibuk membuat persiapan untuk berbuka puasa.

Menurutnya, sebelum kejadian dia nampak awan gelap di hadapan rumahnya dan tidak menyangka itu adalah petanda ribut yang akan berlaku.

“Tidak lama kemudian ternampak angin berpusing-pusing dari kawasan lapang di hadapan rumahnya dan menghala ke arah rumah.

“Dengan dentuman petir yang kuat, angin kencang dan hujan lebat telah mengakibatkan bumbung di rumahnya terbang dan rosak teruk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Beliau berkata, rentetan daripada kejadian itu, keseluruhan dalam rumahnya telah basah termasuk peralatan elektrik.

“Kini saya menumpang di rumah emak sementara menunggu rumah untuk diperbaiki.

“Saya anggap kejadian ini adalah dugaan pada bulan Ramadan dan bersyukur kerana kesemua anak-anaknya terselamat,” katanya.

Katanya lagi, kejadian itu adalah kali pertama yang berlaku dan menganggapnya sebagai pengalaman yang paling teruk berlaku dalam hidupnya sepanjang tinggal di sini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr Shahruddin Salleh turut melawat tempat kejadian dan mangsa ribut, di sini.

Pada masa yang sama, kejadian ribut turut melanda di Kampung Sri Bukit Batu, Bakri dan difahamkan sebanyak 30 rumah yang rosak rentetan daripada kejadian itu.

Ketua Kampung berkenaan, Mohd Yatim Samadi, berkata, kejadian tersebut antara bencana yang paling buruk berlaku di kampung tersebut.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.40 petang sehingga 8.30 malam disertai dengan angin kencang dan hujan lebat.

“Kebanyakan rumah penduduk rosak akibat tiupan angin kencang dan dihempap pokok.

“Banyak pokok tumbang dan menutupi kebanyakan jalan di kampung ini dan terpaksa mendapat khidmat daripada enam anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Cawangan Muar untuk membersihkan pokok yang tumbang ini,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa ribut akan diberikan bantuan dengan kadar segera.

Mangsa kejadian, Jais Abas, 75, berkata, dia tidak menyedari kejadian kerana sedang tidur di rumahnya.

Menurutnya, bagaimanapun dia mula menyedari kejadian itu apabila merasakan dirinya basah terkena air hujan.

“Saya sangat terkejutnya apabila melihat bumbung rumah sudah tercabut dan terus menyelamatkan diri kerana ketika itu hujan sangat lebat berserta kilat.

“Saya sangat bersyukur kerana terselamat dan tidak menyangka bencana ini berlaku pada bulan Ramadan,” katanya.

Katanya, berharap agar bencana seperti itu tidak akan berlaku lagi dan masih trauma dengan kejadian tersebut.

Turut hadir melawat tempat kejadian Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mazlan Sabari.

Sinar Harian
15 Ogos 2010

Saturday, August 14, 2010

Rumah posmen musnah dipanah petir

MUAR: Rumah seorang posmen musnah dalam kebakaran yang dipercayai akibat petir, dalam kejadian ketika hujan lebat di Batu 18, Air Hitam, dekat Bakri.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika Mohd Zahri Abdul Jelani, 39, yang juga Ketua Umno Cawangan Batu 18, isteri dan tiga anak mereka tiada di rumah.

Berita Harian
13 Ogos 2010


Rumah terbakar, lima beranak tinggal sehelai sepinggang

MUAR – Lima beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Lorong Hj A Kadir Jelani Air Hitam Batu 18, di sini musnah dalam satu kebakaran lewat petang kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika dalam keadaan hujan lebat dan ribut yang melanda di kampung itu.

Ketika kejadian tiada sesiapa yang ada di dalam rumah tersebut dan mangsa, Normaiza Ismail, 37, dan suaminya, Mohd Zahri Abd Kadir, 39, keluar bekerja.

Normaiza berkata, dia redha dengan musibah yang menimpanya sekeluarga terutamanya pada bulan Ramadan ini.

“Saya terima panggilan telefon jam 4.50 petang yang mengatakan rumah terbakar dan berasa terkejut dengan kejadian yang berlalu ini.

“Hanya yang ada dalam fikiran saya ketika ini tentang keselamatan anak-anak yang mana lazimnya pada waktu petang anak sulung saya, Nurul Aziana Mohd Zahri, 15, akan berada di rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya, mujurlah ketika kejadian tiada seorang pun anak-anaknya yang berada di rumah.

“Kesemua barang-barang berharga termasuk kereta dan dua motosikal hangus terbakar.

“Saya sangat terkilan kerana 20 baju Melayu hari raya tempahan pelanggan juga hangus,” katanya.

Saksi kejadian, Roslan Abd Majid, 56, berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas dentuman petir yang kuat dan disusuli dengan hujan yang sangat lebat.

Sinar Harian
15 Ogos 2010

Wednesday, August 11, 2010

Hukuman gantung terhadap tiga lelaki kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap tiga lelaki dalam dua kes bunuh berasingan.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan semakan dan rayuan ketiga-tiga tertuduh dalam satu keputusan sebulat suara.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff, dan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff.

Dalam kes pertama, seorang nelayan, Abdul Razak Dalek, gagal dalam usaha terakhirnya bagi mengelak ke tali gantung apabila korum berkenaan menolak permohonannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 4 Jun lalu yang mengesahkan sabitan serta hukuman mati terhadapnya kerana membunuh isterinya dengan mengelar leher mangsa selepas wanita itu menafikan haknya sebagai seorang suami.

Panel itu menerima bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud, yang berhujah Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan tersebut mengikut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan.

Abdul Razak, 58, telah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Johor Baharu pada 2006 kerana membunuh Rozita Haron, 39, di rumah abangnya di Parit Pecah, Parit Jawa, Muar pada 3 September 2001 dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tahun lalu.

Dalam kes kedua, korum yang sama turut mengesahkan sabitan dan hukuman mati terhadap penganggur Mahadzir Yusof, 27, dan Mohd Anuar Mat Ripin, 26, kerana kesalahan membunuh Azley Abu Bakar, 27, di tepi Jalan Pisang Raja Udang, Desa Harmoni, Kluang, Johor, antara 2 pagi dan 4.30 pagi, 18 Disember 2002.

Hakim Alauddin memutuskan rayuan itu tidak mempunyai merit.

Kedua-dua tertuduh disabitkan kesalahan dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Muar pada 19 Mac 2008, dan Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan mereka pada 24 Ogos tahun lalu.

Pada perbicaraan kes itu, Mohd Anuar memberi keterangan bahawa dia dan Azley pernah melakukan rompakan serta pecah rumah bersama-sama, dan mangsa juga dikatakan sering bertemu Mahadzir.

Mengikut keterangan kes, Mohd Anuar menggunakan kayu besbol untuk memukul kepala mangsa manakala Mahadzir menggunakan parang selepas berlaku pertikaian di antara mereka berhubung wang yang dituntut daripada si mati yang didakwa bahagian mereka hasil penjualan sebuah peti televisyen curi. - BERNAMA

11 Ogos 2010

Penjenayah larikan 10 tong gas memasak

JOHOR BAHRU – Sekumpulan penjenayah pecah rumah bukan sahaja melarikan barang berharga, malah 10 tong gas memasak yang beratnya hampir 25 kilogram turut dilarikan.

Biarpun kes itu dianggap pelik namun, tong gas yang dilarikan beleh mendatangkan keuntungan lumayan.

Bagaimanapun, kumpulan penjenayah yang terdiri daripada empat lelaki, berumur 21 hingga 29 tahun, ditumpaskan setelah polis memberkas kesemua mereka di kawasan ladang di Bukit Gambir, Ledang, 31 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam serbuan jam 11 malam itu, polis menemui barangan yang dilaporkan hilang.

“Suspek dipercayai melakukan kegiatan samun berkawan tanpa senjata, samun ragut, pecah rumah malam hari dan curi di kawasan daerah Ledang.

“Kita percaya, dengan penangkapan suspek, sebanyak 52 kes yang dilaporkan, berjaya diselesaikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Johor, semalam.

Menurutnya, antara barang curi yang ditemui semula adalah 10 tong gas, mesin kaunter wang, beberapa beg pakaian, dua rantai emas dan motosikal.

Beliau berkata, turut dirampas alatan pecah rumah dan senjata samun ragut seperti parang panjang, pisau sayur, pisau lipat, pemutar skru serta playar.

“Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati kesemua mereka positif dadah,” katanya.

Suspek kini direman sehingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 454 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 akta yang sama.

Sinar Harian
11 Ogos 2010

Tanah mendap perlu tindakan segera

JALAN TEMENGGONG AHMAD – Penduduk di Parit Keroma Tengah di sini diancam bahaya berikutan masalah tanah mendap yang berlaku di kawasan tersebut kian menjadi semakin serius.

Tinjauan Sinar Harian ke tempat kejadian mendapati di sepanjang kampung itu telah mempunyai tiga kawasan tanah mendap yang memerlukan pemerhatian dan tindakan segera daripada pihak berwajib.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Dr Mohamad Taslim berkata, beliau menggesa pihak berwajib supaya dapat mengambil tindakan segera supaya masalah itu dapat diatasi dengan segera.

Menurutnya, sebanyak tiga lokasi tanah mendap yang telah dikenalpasti yang mana salah satunya daripadanya berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Parit Keroma, di sini.

“Tanah mendap di kawasan sekolah ini adalah lokasi yang paling teruk di mana ia telah mendap sehingga sedalam tiga kaki.

“Senario ini sangat membimbangkan dan berbahaya kepada warga sekolah ini terutamanya murid-murid di sini,” katanya ketika ditemui semasa melawat tempat kejadian di sini, semalam.

Menurutnya, terdapat sebahagian murid-murid di sekolah tersebut menaiki basikal ke sekolah dengan menggunakan jalan itu.

“Jadi saya bimbang murid-murid ini boleh terbabas ketika menggunakan jalan ini dan seterusnya terjatuh ke dalam parit yang berhampiran,” katanya.

Mohamad berkata, masalah tanah mendap itu dikenalpasti berpunca daripada tanah rizab parit yang terlalu kecil dan hampir dengan bahu jalan.

“Tambahan pula kerja-kerja pembersihan parit ini sedikit sebanyak telah menjadikan struktur tanah ini terhakis dan mudah runtuh setiap kali hujan lebat.

“Bagaimanapun, kejadian ini telah mendapat perhatian daripada pihak Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) dan meminta supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Menurutnya, ini kerana ada bahagian tanah mendap yang sudah berlaku sejak tiga bulan lalu dan sehingga kini masih tiada sebarang tindakan yang dilakukan.

Sementara itu, Jurutera JPS daerah Muar dan Ledang, Mohamad Hayal Atan berkata, pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.

Menurutnya, bagaimanapun masalah tanah mendap itu sukar untuk diselesaikan kerana sebarang tindakan yang dilakukan tidak akan memberi kesan yang optimum disebabkan oleh struktur tanah ini yang lemah.

“Mekanisme terbaik yang boleh dilakukan untuk mengurangkan masalah ini ialah dengan menganjakkan sedikit jalan ini ke belakang daripada jalan yang asal,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, kenderaan berat seperti lori yang turut menggunakan jalan itu juga dikenal pasti menjadi penyebab jalan berkenaan mendap dan rosak.

Sinar Harian
11 Ogos 2010

Rayu cepat pembedahan anak


MUAR: Seorang ibu merayu Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru mempercepatkan prosedur pembedahan usus anaknya yang berada di luar abdomen kerana tidak sanggup melihat penderitaan kanak-kanak berusia empat tahun itu.

Mardiana Abu Bakar, 40, berkata, usus anaknya, Muhammad Khalid Kamarullzaman makin membesar, sedangkan doktor merawatnya pernah menyatakan bahawa pembedahan dilakukan ketika kanak-kanak itu berusia setahun.

“Tetapi pembedahan itu ditangguhkan ketika usianya tiga tahun dan sekali lagi gagal dilakukan ketika dia berusia empat tahun.

“Saya memohon supaya pembedahan Muhammad dipercepatkan kerana saya tidak sampai hati melihat penderitaannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Kepong, semalam.

KASIH IBU...Mardiana memakai bengkung kepada Khalid.

Menurutnya, sejak Muhammad masih bayi sehinggalah bersekolah tahun depan, doktor tidak memberi kepastian bila pembedahan dilakukan.

“Anak saya pasti malu hendak bersekolah tahun depan memandangkan ususnya ketara di luar tubuh dan keadaan itu bakal menjadi perhatian atau bahan ejekan.

Menurut Mardiana, ketika Muhammad bayi, saiz ususnya sebesar telur goreng dan kini membesar sehingga lima kali ganda menyebabkan pergerakannya terbatas.

“Tarikh akhir pemeriksaan rawatan susulan dilakukan pada Disember lalu di HSA dan kedua-dua pihak, HSA serta Hospital Kuala Lumpur (HKL) masih tidak memberi kata putus,” katanya.

myMetro
11 Ogos 2010

Kes mutaah RM5j selesai

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali penyelesaian luar mahkamah kes tuntutan mutaah RM5 juta oleh bekas isteri Datuk Kadar Shah Sulaiman Ninam Shah tertangguh akhirnya Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam diberitahu kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes secara baik.

Peguam syarie, Kamar Aniniah Kamaruzaman yang mewakili plaintif, Datin Fauziah Haron, berkata, dengan persetujuan itu kes tuntutan yang difailkan anak guam saya ditutup.

Kadar Shah dan Fauziah berkahwin pada 20 Januari 1980 di Jakarta Timur, Indonesia. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

berita Harian
10 Ogos 2010

Sultan Johor murka

SULTAN IBRAHIM menandatangani plak perasmian Majlis Daerah Kota Tinggi pada majlis Penutupan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 di Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – “Jangan politikkan saya.”

Demikian titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang melahirkan rasa murka terhadap tindakan sebuah parti politik di negara ini menggunakan gambar baginda pada satu poster di sebuah majlis ceramah di Batu Pahat baru-baru ini.

Sambil menyatakan rasa kesal, baginda bertitah supaya rakyat di negeri ini tidak terpengaruh dan terpedaya dengan pihak yang boleh merosakkan kerukunan hidup bermasyarakat di negeri ini.

“Akhir-akhir ini saya mendapati ada pihak cuba memecahbelahkan perpaduan di kalangan rakyat di negeri ini dan sebagai contoh terbaru, ada pihak cuba mengheret saya ke dalam kancah politik dengan memaparkan gambar saya di sepanduk ketika kempen politik mereka.

“Perbuatan ini adalah satu tindakan yang biadap dan tidak seharusnya berlaku.

“Walaupun saya tahu pihak polis sedang menyiasat perkara ini, namun rakyat di negeri ini jangan menjadi bodoh dan terpedaya dengan hasutan manusia seperti ini,” titah baginda pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 Fasa 2 di Majlis Daerah Kota Tinggi di sini semalam.

Kosmo Online
10 Ogos 2010


Guna gambar Sultan Johor: Polis rekod keterangan 39 individu

JOHOR BAHRU: Polis sudah merekodkan keterangan daripada 39 individu termasuk ahli politik bagi membantu siasatan berhubung tindakan sebuah parti politik yang menggunakan poster gambar Sultan Johor, Sultan Ibrahim pada majlis ceramah di Batu Pahat, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata keterangan semua individu itu diambil sejurus polis menerima sembilan aduan daripada beberapa pihak mengenai perkara itu.

"Ketua Polis Daerah Batu Pahat dan pasukan Cawangan Khas kini ditugaskan untuk menyiasat aduan berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.
Mohd Mokhtar berkata siasatan mengenai perkara itu dibuat mengikut Akta Hasutan dan beliau menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu supaya tampil membantu siasatan polis.

Semalam, Sultan Ibrahim ketika bertitah pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor Bermotosikal 2010 di Kota Tinggi, melahirkan rasa murka terhadap tindakan menggunakan gambar baginda itu.

Dalam titah baginda, Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan tindakan itu yang disifatkan sebagai boleh memecah-belahkan kerukunan hidup bermasyarakat di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan dua lelaki berumur 40 dan 49 tahun berhubung kes menipu seorang lelaki dengan menawarkan sijil kurniaan Pingat Ibrahim Sultan II (PIS II) palsu berharga RM5,000, di Seri Alam, di sini.

Beliau berkata lelaki berumur 37 tahun itu membuat laporan mengenai penipuan itu pada Khamis lepas.

"Mangsa telah membayar RM3,000 kepada kedua-dua lelaki berkenaan bagi mendapatkan sijil itu. Setelah menyedari sijil berkenaan adalah palsu, mangsa kemudian membuat laporan polis mengenainya," katanya.

Mohd Mokhtar berkata beliau sudah memaklumkan kejadian penipuan itu kepada Sultan Johor dan meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan kejadian seumpama itu yang mencemar institusi diraja Johor.

Katanya orang ramai perlu mengetahui dengan jelas bahawa sebarang kurniaan pingat adalah hak mutlak Sultan Johor dan orang ramai yang mempunyai sebarang masalah atau pertanyaan boleh menghubungi Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor di talian 07-2220351. - BERNAMA

10 Ogos 2010

Tuesday, August 10, 2010

Polis tahan empat anggota geng samun, selesai 52 kes

JOHOR BAHRU: Polis percaya menyelesaikan 52 kes curi dan samun selepas penahanan empat lelaki di kawasan ladang kelapa sawit Parit Zink, Bukit Gambir, Ledang, Muar.

Hasil serbuan kira-kira jam 11.20 malam pada 31 Julai lalu itu, polis turut menemui semula pelbagai barang yang dilapor hilang seperti tong gas, tiga motosikal curi.

Suspek berusia 21 hingga 29 tahun dan ditahan reman hingga 14 Ogos ini.

myMetro
10 Ogos 2010

Monday, August 9, 2010

Maut ditikam tiga kali

MUAR – Tindakan seorang lelaki yang membakar mercun di hadapan pintu utama pusat hiburan di bandar ini mengundang padah apabila ditikam dalam satu pergaduhan di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Tan Meng Liong, 43, ditemui mati oleh orang awam dalam keadaan terbaring di pekarangan kawasan tempat letak kereta hadapan Hotel Pelangi, di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan membawa dua mercun, yang mana salah satu daripada mercun itu berjaya diletupkan di hadapan pusat hiburan tersebut.

Menurutnya, pada masa sama, mangsa turut membawa parang dikatakan cuba hendak memasuki pusat hiburan berkenaan.

Namun disebabkan keadaan mangsa yang mencurigakan dan bersenjata mendorong pekerja di situ menghalang mangsa daripada memasuki pusat hiburan tersebut.

“Tindakan itu menyebabkan mangsa naik berang sehingga tercetusnya pergaduhan dengan beberapa pekerja juga pengunjung di pusat hiburan di situ.

“Mangsa bertindak agresif sebelum berlaku pergelutan di antara mereka dan gagal menyelamatkan diri. Dia ditikam dengan pisau tiga kali di belakang badannya,” katanya.

Mangsa yang berlumuran darah kemudian dicampakkan ke pekarangan kawasan tempat letak kereta.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang bersenjatakan parang itu mempunyai masalah mental menyebabkan dia dihalang memasuki pusat hiburan tersebut.

“Mangsa juga mempunyai rekod jenayah lampau iaitu dadah dan pernah ditangkap.

“Parang yang dibawa mangsa dijumpai disembunyikan suspek di dalam longkang berhampiran dengan tempat kejadian,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, hasil siasatan, polis berjaya menahan enam suspek.

“Kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 24 tahun hingga 55 tahun disyaki terlibat dalam pembunuhan ini.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula dari hari tangkapan hingga 16 Ogos depan untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Sinar Harian
10 Ogos 2010


Mangsa bunuh disangka mabuk

MUAR 9 Ogos - Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila mendapati lelaki yang terbaring dan disangka mabuk di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sisi di sini, awal pagi ini, merupakan mangsa bunuh.

Mangsa, Tan Meng Leong, 40-an, yang disyaki pelanggan sebuah pusat karaoke di kawasan itu ditemui oleh orang awam pada pukul 4.30 pagi.

Menurut pengawal keselamatan sebuah hotel yang enggan dikenali, dia menyedari kehadiran mangsa apabila mendengar jeritan sekumpulan orang awam apabila menemui seorang lelaki terbaring di situ.

Katanya, dia yang menyangka mangsa mabuk kemudian meminta kakitangan hotel itu supaya memanggil ambulans ke tempat kejadian.

"Memang biasa ada pelanggan pusat karaoke yang mabuk. Itu sebabnya saya pada mulanya menyangka lelaki itu juga mabuk dan terjatuh di tepi kereta.

"Bagaimanapun, saya terkejut dimaklumkan oleh pasukan perubatan bahawa mangsa dibunuh," katanya semasa ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Hasil pemeriksaan menemui kesan darah bermula dari pintu pusat karaoke itu sehingga ke lokasi tempat mangsa ditemui iaitu sejauh kira-kira 10 meter.

Menurutnya, walaupun kawasan letak kereta itu diterangi lampu, dia tidak dapat melihat kejadian yang menimpa mangsa kerana hujan lebat.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul dan ditikam.

"Polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya lagi.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk dibedah siasat.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di talian 06-9526001 bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Utusan
10 Ogos 2010

Sunday, August 8, 2010

Sultan Johor mulakan kembara motosikal

SULTAN Johor menghantar bola kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perlawanan persahabatan pasukan pilihan Sultan Johor menentang pegawai daerah Johor sempena KMJ Bermotosikal 2010 di padang hoki Sekolah Tinggi Muar, semalam.

PONTIAN: Sultan Johor, Sultan Ibrahim memulakan Kembara Mahkota Johor (KMJ) Bermotosikal 2010 dari perkarangan bangunan Majlis Daerah Pontian (MDP) di sini, untuk melawat dan menyertai aktiviti di daerah ini serta Batu Pahat, Muar, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi, membabitkan perjalanan sejauh 777 kilometer (km).

KMJ Bermotosikal 2010 turut disertai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar serta kerabat diraja lain.

Acara pelepasan KMJ Bermotosikal 2010 itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pada kira-kira jam jam 9.15 pagi di perkarangan bangunan MDP, di sini.

Turut hadir di majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abd Latiff Yusof; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan dan Pegawai Daerah Pontian, Mohamad Karim.

Abdul Ghani berkata, KMJ yang dianjurkan sejak 2001 adalah jambatan memperkukuhkan perpaduan antara institusi diraja dengan rakyat jelata.

“Sejak KMJ dilancarkan pada 2001, ia dapat merapatkan hubungan di antara institusi raja dengan rakyat melalui aktiviti yang dijalankan. Ia juga dapat menjalin kerjasama antara pelbagai pihak sama ada kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendekatkan rakyat di setiap destinasi yang dituju.

“Program ini juga bukti kesungguhan institusi raja bagi mendekatkan lagi hubungan dengan pelbagai lapisan masyarakat serta mengenali kehidupan mereka dengan lebih dekat lagi,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran KMJ Bermotosikal 2010 di sini, semalam.

Hujan lebat tidak penghalang Sultan Ibrahim meneruskan hasrat murni mendekati rakyat di semua daerah yang disinggahi sepanjang tiga hari KMJ Bermotosikal 2010 berlangsung. Di majlis itu, baginda turut berkenan merasmikan Bangunan MDP.

Rombongan diraja membabitkan lebih 30 motosikal itu kemudian berangkat ke Kampung Permatang Sepam, Benut serta disambut kira-kira 1,000 penduduk kampung.

Sultan Ibrahim turut merasai pengalaman memetik buah nanas dan buah kopi ketika melawat Kampung Permatang Sepam serta melawat kilang memproses kordial nanas dan Rozelle yang diusahakan penduduk kampung melalui Ladang Kelompok Arep Maju.

Sultan Ibrahim juga menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim, fakir miskin dan warga emas.

Rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke Batu Pahat dan Muar termasuk meninjau Loji Rawatan Air Syarikat Air Johor Sri Gading, Batu Pahat serta melawat Pusat Pertanian Kampung Sungai Sudah, Muar.

Rombongan itu turut melawat pasar awam Muar, padang berhadapan Pejabat Daerah Muar dan bermalam di Istana Tanjung Muar. Pada sebelah malam, isteri baginda, Raja Zarith Sofiah menghadiri majlis berasingan di Sekolah Menengah Tengku Mahkota Muar.

Hari ini pula menyaksikan Sultan Johor menunggang sejauh 273km dari Istana Muar menuju Kolej Komuniti Ledang dan singgah di Kampung Sawah Sagil Ayer Hitam, Batu Pahat; pejabat Perbadanan Taman Negara, Kahang; Sekolah Kebangsaan Bandar Mersing serta bermalam di Sri Mersing.

Berita Harian
8 Ogos 2010

Friday, August 6, 2010

Hasrat tidak kesampaian

MUAR - Hasrat penjual air kelapa untuk menjual air kelapa muda pada bulan Ramadan akan datang tidak kesampaian apabila beliau ditemui mati selepas memanjat pokok itu dalam satu kejadian di Kampung Temiang Tanjung di sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.30 petang di mana mangsa, Mohd Nazri Oyub, 38, ditemui mati bersebelahan longgokan 20 kelapa yang baru dipetiknya.

Difahamkan, mangsa yang masih bujang dan tinggal bersama ibu bapanya di Sungai Terap, di sini, dikatakan sudah lima tahun bekerja sebagai penjual air kelapa muda.

Bapa mangsa, Oyub Abdul Rahman berkata, sebelum kejadian mangsa sudah terlebih dahulu pergi Kampung Temiang Tanjung untuk memetik kelapa dan menghubungi adiknya supaya membantu memungut buah kelapa.

Menurutnya, ketika adiknya tiba di tempat kejadian, beliau mendapati mangsa sudah terbaring bersebelahan buah kelapa yang dipetiknya dan pada mulanya menyangka mangsa sedang tidur.

“Adiknya cuba mengejutkan mangsa tetapi tiada sebarang tindak balas dan segera menghubungi saya.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa sudah pun meninggal dunia,” katanya ketika di temui di tempat kejadian di sini, kelmarin.

Oyub berkata, beberapa penduduk kampung yang menyedari kejadian berkenaan telah menghubungi Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, mayat mangsa telah dihantar ke HPSF untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Tiada sebarang unsur jenayah yang ditemui pada mangsa dan mangsa dipercayai mati mengejut kerana sesak nafas selepas memanjat pokok kelapa,” katanya.

Sinar Harian
6 Ogos 2010

Thursday, August 5, 2010

Ancaman babi

MUAR – Kira-kira 700 penduduk di Kampung Sungai Ranggam dan Kampung Alai, Panchor, di sini resah dengan kehadiran babi hutan yang semakin bermaharajalela di kampung itu sejak 10 tahun lalu.

Kemunculan babi hutan itu dipercayai berpunca daripada kewujudan sawah padi terbiar seluas 52.6 hektar kira-kira 15 tahun lalu dan dipercayai menjadi habitat pembiakan haiwan itu.

Seorang penduduk, Bardan Amat Kastik, 63, berkata, masalah ancaman babi hutan itu dikatakan menjadi semakin serius sejak kebelakangan ini apabila mula mengancam keselamatan penduduk.

Menurutnya, penduduk ada yang terjatuh daripada motosikal kerana terlanggar babi hutan yang sering melintas secara terburu-buru terutamanya pada waktu malam.

Bardan ber kata, suasana kampung yang gelap pada waktu malam kerana ketiadaan lampu jalan dan dikelilingi dengan kebun itu benar-benar mem bahayakan keselamatan penduduk.

“Pernah terjadi, salah seorang penduduk dipijak hampir 20 babi hutan kerana terjatuh daripada motosikal selepas terlanggar babi hutan itu.

“Penduduk itu mengalami kecederaan yang serius dan terlantar di hospital selama dua minggu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Bardan berkata, haiwan liar itu sangat aktif pada waktu pagi dan petang terutamanya selepas waktu hujan.

“Haiwan ini akan keluar daripada sarang pembiakannya iaitu di sawah terbiar itu dan berkeliaran di sekitar kawasan kampung.

“Bahkan, haiwan ini juga turut memasuki kawasan persekitaran rumah penduduk dan suka menggeledah tempat pembuangan sampah mereka,” katanya.

Katanya, petani di kampung itu juga sering me rungut kerana banyak tanaman mereka yang musnah angkara daripada haiwan itu.

“Mereka juga terpaksa menanggung banyak kerugian kerana tanaman yang masih belum mengeluarkan hasil dimusnahkan dan terpaksa menggantikan dengan tanaman yang baru.

“Walaupun ada pemburu luar yang memburu haiwan ini, namun bilangannya yang terlalu banyak tidak me nunjukkan sedikit pun pengurangannya,” katanya.

Menurutnya, masalah itu mungkin boleh dikurangkan dengan membersihkan kawasan hutan terbiar itu.

“Bagaimanapun, ada masalah lain yang timbul kerana kami perlu mencari dan mengenal pasti waris pemilik tanah terbiar ini supaya kerja pembersihan dapat dilakukan segera.

“Kami meminta kerjasama daripada mana-mana pihak yang mengenali waris pemilik tanah terbiar itu supaya memaklumkan kepada kami agar masalah ini dapat diatasi dengan cepat,” katanya.

Sinar Harian
4 Ogos 2010

Nekad jadi penyelam tiram tradisi


JALAN SALLEH – Minat yang mendalam dengan kerja yang mencabar mendorong bekas tentera, Abd Rani Bahri, 44, menceburi kerjaya sebagai penyelam tiram secara tradisional.

Menurutnya, ramai yang menentang hasratnya untuk berhenti sebagai askar setelah berkhidmat 13 tahun.

“Ada yang mengatakan saya akan menyesal dengan tindakan yang dilakukan ini.

“Tetapi, saya dapat buktikan keputusan yang diambil adalah betul dan berasa seronok dengan kerja yang dilakukan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Katanya, pendapatan penyelam tiram lumayan dan berbaloi dengan risiko sebagai seorang penyelam.

“Penyelam mampu meraih kutipan tiram sebanyak lima hingga 10 kilogram sehari dan dijual dengan harga RM25 sekilogram.

“Hasil kutipan tiram menjadi lebih banyak pada musim tertentu dan ada kalanya penyelam tiram mampu memperoleh hasil tiram sehingga 40 kilogram sehari terutamanya pada bulan Januari, Jun, November dan Disember,” katanya.

Abd Rani berkata, rutin hariannya sebagai penyelam tiram bermula seawal 7 pagi hingga 10 pagi. Bagaimanapun, waktu menyelam setiap hari adalah berbeza iaitu lewat satu jam berbanding hari selepasnya.

“Kerja sebagai penyelam tiram memerlukan keberanian serta ketahanan fizikal dan mental tinggi kerana mereka perlu menahan nafas selama dua minit ketika menyelam dengan kedalaman ada mencecah sembilan meter.

“Lazimnya, penyelam tidak menggunakan sebarang kelengkapan moden dan hanya menggunakan sebatang kayu bakau untuk dipacakkan ke dasar sungai sebagai panduan daripada arus sungai untuk mengaut tiram di dasar sungai Muar,” katanya.

Katanya, aktiviti menyelam perlu dilakukan sebelum air di sungai Muar pasang.

“Itu adalah peraturan yang perlu diikuti kerana jika menyelam ketika air pasang, boleh mengancam nyawa penyelam itu sendiri.

“Kerjaya sebagai penyelam tiram tradisional semakin berkurangan kerana golongan belia kini tidak berminat dan tidak sanggup untuk bergelumang dengan lumpur ketika mengaut tiram di dasar sungai,” katanya.

Sinar Harian
4 Ogos 2010

Tuesday, August 3, 2010

Akademi Seni Khat Muar perkasa tulisan Jawi

JALAN PETRE – Seni kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama ’seni khat’ adalah khazanah tertua di dunia yang masih dimiliki umat Islam.

Menyedari kepentingan itu, Akademi Seni Khat Muar telah diwujudkan sebagai mekanisme untuk memperkasakan kesenian itu bagi memastikan ciri dan nilai keIslamannya terus terpelihara.

Pengajar akademi berkenaan, Azman Mo’min berkata, akademi itu terbuka kepada semua murid sekolah di daerah Muar.

Menurutnya, ia mula beroperasi pada April lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.

“Sehingga kini, akademi ini mempunyai 33 pelatih yang diadakan pada setiap hujung minggu bermula jam 8 pagi hingga 11 pagi.

“Akademi ini didaftarkan di bawah Yayasan Warisan Johor dan Persatuan Seni Khat Johor serta mempunyai dua tenaga pengajar lagi yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pelatih dalam akademi itu akan diberikan asas penulisan khat iaitu tiga daripada tujuh jenis seni khat yang ada.

“Antaranya ialah seni khat jenis Nasakh, Req’ah dan Thuluh. Pada peringkat permulaan pelatih didedahkan dengan latihan asas sehinggalah mereka berjaya menguasai sepenuhnya asas seni ini.

“Lebih membanggakan apabila dua pelatih di sini telah memasuki pertandingan seni khat sekolah agama peringkat daerah dan menjadi johan pertandingan,” katanya.

Azman berkata, beliau mahu melahirkan lebih ramai pelapis muda yang pakar dalam seni khat untuk memastikan kesenian itu sentiasa mempunyai kesinambungannya.

“Pendekatan seperti ini sangat penting kerana ia juga salah satu inisiatif menarik generasi muda kini untuk meminati tulisan Jawi.

“Melihat senario pada hari ini yang sangat membimbangkan di mana semakin ramai generasi muda yang ‘buta’ tulisan jawi. Jadi dengan adanya akademi ini dapat membantu mendaulatkan semula tulisan Jawi yang suatu ketika dahulu sangat hebat,” katanya.

Beliau berkata, bidang itu juga boleh menjadi peluang kerjaya berdasarkan kemahiran dan bakat yang dimiliki.

Sinar Harian
3 Ogos 2010

Monday, August 2, 2010

Sungai tidak diselenggara

PAGOH – Penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran Sungai Pagoh meminta supaya sungai itu dapat diselenggara dengan lebih sistematik.

Keadaan sungai yang seolah-olah terbiar dan dipenuhi lalang serta sampah benar-benar membimbangkan penduduk kerana mengundang masalah banjir yang lebih teruk.

Penduduk mendakwa, sungai tersebut sudah tidak diselenggara kira-kira setahun lalu semenjak pertukaran pengurusan syarikat perladangan terkemuka.

Di samping itu, pembinaan jambatan oleh syarikat terbabit dikatakan tidak mengikut spesifikasi yang betul dikenal pasti sistem pengaliran sungai tersebut gagal berfungsi dengan baik.

Salah seorang penduduk, Yunos Sono, 53, berkata, keadaan sungai yang jarang dibersihkan dan tidak diselenggarakan membimbangkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai.

Menurutnya, kediaman mereka terdedah kepada kejadian banjir yang lebih teruk jika sungai itu tidak diselenggara dengan lebih cepat.

“Keadaan yang sedia ada ini kadang kala menyebabkan rumah beberapa penduduk lain turut dinaiki air.

“Dalam kejadian banjir baru-baru ini yang melanda beberapa kawasan di Pagoh dikenal pasti berpunca daripada masalah pengaliran di sungai ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, dua tiang jambatan itu menghalang pergerakan sampah dan menyebabkan sampah berkumpul dan tersangkut pada tiang tersebut.

“Apabila hujan lebat kadang-kala air di sungai ini akan melimpah sehingga melepasi permukaan jambatan.

“Berbanding dengan pemilik ladang terdahulu adalah lebih bertanggungjawab dan sentiasa menyelenggara sungai ini,” katanya.

Yunus berkata, masalah sampah itu berlaku sejak pembinaan dan pembukaan banyak kawasan perumahan baru di Pagoh.

“Manakala sampah-sampah ini juga dipercayai dibuang oleh penduduk yang tinggal di kawasan perumahan terbabit,

“Apabila melihat sungai ini sudah tidak diselenggara, penduduk di sini mengambil inisiatif bergotong royong membersihkan sampah dan lalang yang tersangkut pada tiang jambatan ini,” katanya.

Beliau berkata, air sungai itu juga telah bertukar warna sejak ia tidak diselenggara dan secara tidak langsung boleh memusnahkan hidupan habitat dalam sungai tersebut.

“Justeru, kami meminta dan merayu kepada pihak berkenaan supaya dapat melakukan kerja pembersihan sungai itu bagi mengelakkan masalah lebih buruk daripada berlaku. Jangan terjadi sesuatu perkara buruk baru hendak bertindak,” katanya.

Sinar Harian
2 Ogos 2010