KAMPUNG BARU BEKOH – Lembaga Getah Malaysia Wilayah Selatan Segamat giat mengadakan pendaftaran kad jualan getah pekebun kecil kepada pemilik tanah dan pengusaha getah di Balai Raya Kampung Cina, di sini semalam.
Penolong Pegawai Penguatkuasa Lembaga Getah Wilayah Selatan Segamat, Mohd Saiful Mazwan Zahrin berkata, kad jualan getah dilakukan kepada pekebun kecil yang terdapat di daerah Tangkak.
“Kad jualan getah ini adalah syarat baru yang perlu ada pada individu yang ingin menjual getah seperti pemilik tanah dan penoreh getah kerana pihaknya ingin membanteras kes kecurian getah daripada berleluasa.
“Dengan adanya kad ini, proses penjualan getah dengan individu tidak berkenaan dalam pengusaha getah tidak dapat dilakukan terutama pencuri getah yang ingin menjual hasil getah curi kerana tidak mempunyai rekod pengenalan diri sebagai pemilik tanah ataupun penoreh getah,” katanya.
Beliau berkata, sistem ini akan dilaksanakan pada seluruh negara dan pada masa ini, Lembaga Getah Malaysia membuat pendaftaran kepada pekebun kecil yang ada dalam negara dan berkemungkinan sistem kad ini akan dikuatkuasakan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.
“Matlamat pelaksanaan kad ini adalah untuk mengurangkan kadar kes kecurian getah yang dialami pekebun getah yang menyebabkan kerugian dan kad ini juga bertujuan untuk mengumpulkan data pekebun kecil yang ada di Malaysia.
“Selain itu, sistem kad jualan getah ini juga dapat membantu pekebun kecil berkenaan kerana Lembaga Getah Malaysia dengan mudahnya dapat menyalurkan bantuan kerajaan kepada pengusaha getah secara terancam bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan agihan bantuan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, untuk negeri Johor hampir 5500 kad jualan getah pekebun kecil didaftarkan dan syarat untuk mendapatkan kad ini adalah pemohon perlu kemukakan salinan geran tanah dan kad pengenalan seterusnya dalam masa 10 minit kad jualan getah siap untuk dimiliki mereka.
“Kad jualan getah ini boleh dibuat salinan berwarna terutama bagi pemilik tanah yang memiliki beberapa penoreh getah dan ia boleh dipindah kuasa tetapi dihadkan hanya kepada penoreh getah di kawasan tanahnya sahaja.
“Sistem ini juga satu usaha Lembaga Getah Malaysia bagi membantu dan menjaga kebajikan pekebun kecil daripada mengalami kerugian dan penyelarasan sistem jualan getah dengan lebih sistematik dan berkesan,” katanya.
Bagi Pemaju Masyarakat Risda, Hasim Khamis berkata, peranan kad jualan getah ini dapat memudahkan urusan penjualan getah yang dilakukan pihak pekebun kecil dan kebarangkalian penurunan kes kerugian getah mungkin dapat dikurangkan.
“Pekebun kecil seperti kami kini tidak perlu lagi risau kerana pencuri getah tidak dapat menjual getah yang dicuri kepada mana-mana pihak kerana mereka tidak memiliki kad jualan getah yang dapat membenarkan urusan jual beli getah dilakukan.
“Selain itu, kami juga tidak terpinggir dalam untuk menerima bantuan daripada kerajaan seperti Risda atau Lembaga Getah Malaysia kerana penyaluran bantuan mudah disalurkan dengan adanya data pada kad jualan getah yang dimiliki mereka,” katanya.
Sinar Harian
23 Ogos 2010
0 comments:
Post a Comment