Wednesday, August 11, 2010

Sultan Johor murka

SULTAN IBRAHIM menandatangani plak perasmian Majlis Daerah Kota Tinggi pada majlis Penutupan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 di Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – “Jangan politikkan saya.”

Demikian titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang melahirkan rasa murka terhadap tindakan sebuah parti politik di negara ini menggunakan gambar baginda pada satu poster di sebuah majlis ceramah di Batu Pahat baru-baru ini.

Sambil menyatakan rasa kesal, baginda bertitah supaya rakyat di negeri ini tidak terpengaruh dan terpedaya dengan pihak yang boleh merosakkan kerukunan hidup bermasyarakat di negeri ini.

“Akhir-akhir ini saya mendapati ada pihak cuba memecahbelahkan perpaduan di kalangan rakyat di negeri ini dan sebagai contoh terbaru, ada pihak cuba mengheret saya ke dalam kancah politik dengan memaparkan gambar saya di sepanduk ketika kempen politik mereka.

“Perbuatan ini adalah satu tindakan yang biadap dan tidak seharusnya berlaku.

“Walaupun saya tahu pihak polis sedang menyiasat perkara ini, namun rakyat di negeri ini jangan menjadi bodoh dan terpedaya dengan hasutan manusia seperti ini,” titah baginda pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 Fasa 2 di Majlis Daerah Kota Tinggi di sini semalam.

Kosmo Online
10 Ogos 2010


Guna gambar Sultan Johor: Polis rekod keterangan 39 individu

JOHOR BAHRU: Polis sudah merekodkan keterangan daripada 39 individu termasuk ahli politik bagi membantu siasatan berhubung tindakan sebuah parti politik yang menggunakan poster gambar Sultan Johor, Sultan Ibrahim pada majlis ceramah di Batu Pahat, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata keterangan semua individu itu diambil sejurus polis menerima sembilan aduan daripada beberapa pihak mengenai perkara itu.

"Ketua Polis Daerah Batu Pahat dan pasukan Cawangan Khas kini ditugaskan untuk menyiasat aduan berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.
Mohd Mokhtar berkata siasatan mengenai perkara itu dibuat mengikut Akta Hasutan dan beliau menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu supaya tampil membantu siasatan polis.

Semalam, Sultan Ibrahim ketika bertitah pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor Bermotosikal 2010 di Kota Tinggi, melahirkan rasa murka terhadap tindakan menggunakan gambar baginda itu.

Dalam titah baginda, Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan tindakan itu yang disifatkan sebagai boleh memecah-belahkan kerukunan hidup bermasyarakat di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan dua lelaki berumur 40 dan 49 tahun berhubung kes menipu seorang lelaki dengan menawarkan sijil kurniaan Pingat Ibrahim Sultan II (PIS II) palsu berharga RM5,000, di Seri Alam, di sini.

Beliau berkata lelaki berumur 37 tahun itu membuat laporan mengenai penipuan itu pada Khamis lepas.

"Mangsa telah membayar RM3,000 kepada kedua-dua lelaki berkenaan bagi mendapatkan sijil itu. Setelah menyedari sijil berkenaan adalah palsu, mangsa kemudian membuat laporan polis mengenainya," katanya.

Mohd Mokhtar berkata beliau sudah memaklumkan kejadian penipuan itu kepada Sultan Johor dan meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan kejadian seumpama itu yang mencemar institusi diraja Johor.

Katanya orang ramai perlu mengetahui dengan jelas bahawa sebarang kurniaan pingat adalah hak mutlak Sultan Johor dan orang ramai yang mempunyai sebarang masalah atau pertanyaan boleh menghubungi Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor di talian 07-2220351. - BERNAMA

10 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment