Keadaan sungai yang seolah-olah terbiar dan dipenuhi lalang serta sampah benar-benar membimbangkan penduduk kerana mengundang masalah banjir yang lebih teruk.
Penduduk mendakwa, sungai tersebut sudah tidak diselenggara kira-kira setahun lalu semenjak pertukaran pengurusan syarikat perladangan terkemuka.
Di samping itu, pembinaan jambatan oleh syarikat terbabit dikatakan tidak mengikut spesifikasi yang betul dikenal pasti sistem pengaliran sungai tersebut gagal berfungsi dengan baik.
Salah seorang penduduk, Yunos Sono, 53, berkata, keadaan sungai yang jarang dibersihkan dan tidak diselenggarakan membimbangkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai.
Menurutnya, kediaman mereka terdedah kepada kejadian banjir yang lebih teruk jika sungai itu tidak diselenggara dengan lebih cepat.
“Keadaan yang sedia ada ini kadang kala menyebabkan rumah beberapa penduduk lain turut dinaiki air.
“Dalam kejadian banjir baru-baru ini yang melanda beberapa kawasan di Pagoh dikenal pasti berpunca daripada masalah pengaliran di sungai ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Menurutnya, dua tiang jambatan itu menghalang pergerakan sampah dan menyebabkan sampah berkumpul dan tersangkut pada tiang tersebut.
“Apabila hujan lebat kadang-kala air di sungai ini akan melimpah sehingga melepasi permukaan jambatan.
“Berbanding dengan pemilik ladang terdahulu adalah lebih bertanggungjawab dan sentiasa menyelenggara sungai ini,” katanya.
Yunus berkata, masalah sampah itu berlaku sejak pembinaan dan pembukaan banyak kawasan perumahan baru di Pagoh.
“Manakala sampah-sampah ini juga dipercayai dibuang oleh penduduk yang tinggal di kawasan perumahan terbabit,
“Apabila melihat sungai ini sudah tidak diselenggara, penduduk di sini mengambil inisiatif bergotong royong membersihkan sampah dan lalang yang tersangkut pada tiang jambatan ini,” katanya.
Beliau berkata, air sungai itu juga telah bertukar warna sejak ia tidak diselenggara dan secara tidak langsung boleh memusnahkan hidupan habitat dalam sungai tersebut.
“Justeru, kami meminta dan merayu kepada pihak berkenaan supaya dapat melakukan kerja pembersihan sungai itu bagi mengelakkan masalah lebih buruk daripada berlaku. Jangan terjadi sesuatu perkara buruk baru hendak bertindak,” katanya.
Sinar Harian
2 Ogos 2010
0 comments:
Post a Comment