Friday, August 6, 2010

Hasrat tidak kesampaian

MUAR - Hasrat penjual air kelapa untuk menjual air kelapa muda pada bulan Ramadan akan datang tidak kesampaian apabila beliau ditemui mati selepas memanjat pokok itu dalam satu kejadian di Kampung Temiang Tanjung di sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.30 petang di mana mangsa, Mohd Nazri Oyub, 38, ditemui mati bersebelahan longgokan 20 kelapa yang baru dipetiknya.

Difahamkan, mangsa yang masih bujang dan tinggal bersama ibu bapanya di Sungai Terap, di sini, dikatakan sudah lima tahun bekerja sebagai penjual air kelapa muda.

Bapa mangsa, Oyub Abdul Rahman berkata, sebelum kejadian mangsa sudah terlebih dahulu pergi Kampung Temiang Tanjung untuk memetik kelapa dan menghubungi adiknya supaya membantu memungut buah kelapa.

Menurutnya, ketika adiknya tiba di tempat kejadian, beliau mendapati mangsa sudah terbaring bersebelahan buah kelapa yang dipetiknya dan pada mulanya menyangka mangsa sedang tidur.

“Adiknya cuba mengejutkan mangsa tetapi tiada sebarang tindak balas dan segera menghubungi saya.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa sudah pun meninggal dunia,” katanya ketika di temui di tempat kejadian di sini, kelmarin.

Oyub berkata, beberapa penduduk kampung yang menyedari kejadian berkenaan telah menghubungi Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, mayat mangsa telah dihantar ke HPSF untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Tiada sebarang unsur jenayah yang ditemui pada mangsa dan mangsa dipercayai mati mengejut kerana sesak nafas selepas memanjat pokok kelapa,” katanya.

Sinar Harian
6 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment