Wednesday, August 11, 2010

Penjenayah larikan 10 tong gas memasak

JOHOR BAHRU – Sekumpulan penjenayah pecah rumah bukan sahaja melarikan barang berharga, malah 10 tong gas memasak yang beratnya hampir 25 kilogram turut dilarikan.

Biarpun kes itu dianggap pelik namun, tong gas yang dilarikan beleh mendatangkan keuntungan lumayan.

Bagaimanapun, kumpulan penjenayah yang terdiri daripada empat lelaki, berumur 21 hingga 29 tahun, ditumpaskan setelah polis memberkas kesemua mereka di kawasan ladang di Bukit Gambir, Ledang, 31 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam serbuan jam 11 malam itu, polis menemui barangan yang dilaporkan hilang.

“Suspek dipercayai melakukan kegiatan samun berkawan tanpa senjata, samun ragut, pecah rumah malam hari dan curi di kawasan daerah Ledang.

“Kita percaya, dengan penangkapan suspek, sebanyak 52 kes yang dilaporkan, berjaya diselesaikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Johor, semalam.

Menurutnya, antara barang curi yang ditemui semula adalah 10 tong gas, mesin kaunter wang, beberapa beg pakaian, dua rantai emas dan motosikal.

Beliau berkata, turut dirampas alatan pecah rumah dan senjata samun ragut seperti parang panjang, pisau sayur, pisau lipat, pemutar skru serta playar.

“Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati kesemua mereka positif dadah,” katanya.

Suspek kini direman sehingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 454 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 akta yang sama.

Sinar Harian
11 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment