Sunday, August 15, 2010

48 rumah musnah

MUAR – Kira-kira 48 rumah di Kampung Sri Bukit Batu, Bakri dan Kampung Simpang Baba Jalan Salleh, di sini mengalami kerosakan akibat dipukul ribut pada kejadian petang kelmarin .

Kejadian berlaku pada jam 4.40 petang yang disusuli dengan angin kencang dan hujan lebat telah menyebabkan banyak pokok tumbang dan bumbung rumah penduduk tercabut akibat tiupan angin itu.

Difahamkan tiada sebarang kemalangan jiwa yang dilaporkan akibat daripada kejadian tersebut.

Dalam kejadian di Kampung Simpang Baba Jalan Salleh, mangsa Abd Rahman Hussin, 47, berkata, dia berada di rumah ketika kejadian dan sedang sibuk membuat persiapan untuk berbuka puasa.

Menurutnya, sebelum kejadian dia nampak awan gelap di hadapan rumahnya dan tidak menyangka itu adalah petanda ribut yang akan berlaku.

“Tidak lama kemudian ternampak angin berpusing-pusing dari kawasan lapang di hadapan rumahnya dan menghala ke arah rumah.

“Dengan dentuman petir yang kuat, angin kencang dan hujan lebat telah mengakibatkan bumbung di rumahnya terbang dan rosak teruk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Beliau berkata, rentetan daripada kejadian itu, keseluruhan dalam rumahnya telah basah termasuk peralatan elektrik.

“Kini saya menumpang di rumah emak sementara menunggu rumah untuk diperbaiki.

“Saya anggap kejadian ini adalah dugaan pada bulan Ramadan dan bersyukur kerana kesemua anak-anaknya terselamat,” katanya.

Katanya lagi, kejadian itu adalah kali pertama yang berlaku dan menganggapnya sebagai pengalaman yang paling teruk berlaku dalam hidupnya sepanjang tinggal di sini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr Shahruddin Salleh turut melawat tempat kejadian dan mangsa ribut, di sini.

Pada masa yang sama, kejadian ribut turut melanda di Kampung Sri Bukit Batu, Bakri dan difahamkan sebanyak 30 rumah yang rosak rentetan daripada kejadian itu.

Ketua Kampung berkenaan, Mohd Yatim Samadi, berkata, kejadian tersebut antara bencana yang paling buruk berlaku di kampung tersebut.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.40 petang sehingga 8.30 malam disertai dengan angin kencang dan hujan lebat.

“Kebanyakan rumah penduduk rosak akibat tiupan angin kencang dan dihempap pokok.

“Banyak pokok tumbang dan menutupi kebanyakan jalan di kampung ini dan terpaksa mendapat khidmat daripada enam anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Cawangan Muar untuk membersihkan pokok yang tumbang ini,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa ribut akan diberikan bantuan dengan kadar segera.

Mangsa kejadian, Jais Abas, 75, berkata, dia tidak menyedari kejadian kerana sedang tidur di rumahnya.

Menurutnya, bagaimanapun dia mula menyedari kejadian itu apabila merasakan dirinya basah terkena air hujan.

“Saya sangat terkejutnya apabila melihat bumbung rumah sudah tercabut dan terus menyelamatkan diri kerana ketika itu hujan sangat lebat berserta kilat.

“Saya sangat bersyukur kerana terselamat dan tidak menyangka bencana ini berlaku pada bulan Ramadan,” katanya.

Katanya, berharap agar bencana seperti itu tidak akan berlaku lagi dan masih trauma dengan kejadian tersebut.

Turut hadir melawat tempat kejadian Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mazlan Sabari.

Sinar Harian
15 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment