Thursday, August 19, 2010

Pelancaran meriah

JALAN BENTAYAN – Pelancaran Program Semarak Merdeka Bulan Kemerdekaan Persatuan Tuan-tuan Punya Teksi/Kereta Sewa Muar-Pagoh telah berlangsung dengan meriah di Dataran Letak Kereta Sewa Kubu Bentayan di sini, baru-baru ini.

Majlis berkenaan telah dirasmikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mazlan Sabari.

Menurutnya, beliau menyarankan kepada semua pemandu supaya berpegang kepada etika pemandu iaitu supaya sentiasa bersopan santun dengan pelanggan kerana ia dapat meningkatkan integriti dan imej perkhidmatan teksi di daerah Muar khususnya kepada pelancong luar.

“Saya begitu optimistik dan kagum dengan semangat yang ditunjukkan persatuan ini dan mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis seperti ini.

“Ia kerana program ini dapat memperkukuhkan jati diri dan semangat patriotik dalam kalangan pemandu teksi di sini,” katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sama ia dapat menyemai lima rukun negara dan menggalakkan masyarakat di sini untuk berpegang kepada lima prinsip ini supaya kemerdekaan negara dapat dikekalkan.

“Bahkan masyarakat akan dapat hidup dalam suasana aman aman tenteram dengan pelbagai kaum yang lain.

“Menerusi prinsip lima rukun negara ini setiap masyarakat dapat menjadikan prinsip ini sebagai garis panduan dalam kehidupan bermasyarakat yang bertunjangkan kepada agama masing-masing serta wajib menghormati dan mengiktiraf agama Islam sebagai gama rasmi negara,” katanya.

Mazlan berkata, dalam pada itu beliau turut memberikan konsep ‘5P’ iaitu Permit, Perubahan, Pendidikan, Perpaduan dan Perniagaan.

“Saya menyarankan kepada semua pemandu teksi di sini supaya mengamalkan konsep ini agar lebih maju dan berdaya saing dalam menempuh sebarang perubahan yang berlaku.

“Persatuan ini juga perlu bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Trafik dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi memantau dan melaporkan mana-mana teksi yang tidak mempunyai permit yang sah kerana ia menjejaskan pendapatan pengusaha teksi sah yang lain,” katanya.

Mazlan berkata, beliau turut menyarankan semua pemandu teksi supaya mempunyai pendidikan khususnya dalam ilmu pengusaha teksi kerana ia sangat penting sebagai panduan untuk menjadi pemandu teksi yang berhemah terutamanya kepada pelancong asing.

Selain itu, beliau turut berbincang bersama wakil daripada JPJ, Saiful Hisham dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Bentayan, Chriss Ching Yong mengenai pendekatan terbaik untuk mengatasi masalah kesesakan di Dataran Letak Kereta Kubu Bentayan.

Difahamkan selepas perasmian, beliau turut melekatkan Jalur Gemilang pada setiap teksi, kereta sewa dan bas ekspres serta kenderaan yang lalu lalang di Jalan Maharani, di sini.

Sinar Harian
18 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment