Sunday, August 8, 2010

Sultan Johor mulakan kembara motosikal

SULTAN Johor menghantar bola kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perlawanan persahabatan pasukan pilihan Sultan Johor menentang pegawai daerah Johor sempena KMJ Bermotosikal 2010 di padang hoki Sekolah Tinggi Muar, semalam.

PONTIAN: Sultan Johor, Sultan Ibrahim memulakan Kembara Mahkota Johor (KMJ) Bermotosikal 2010 dari perkarangan bangunan Majlis Daerah Pontian (MDP) di sini, untuk melawat dan menyertai aktiviti di daerah ini serta Batu Pahat, Muar, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi, membabitkan perjalanan sejauh 777 kilometer (km).

KMJ Bermotosikal 2010 turut disertai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar serta kerabat diraja lain.

Acara pelepasan KMJ Bermotosikal 2010 itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pada kira-kira jam jam 9.15 pagi di perkarangan bangunan MDP, di sini.

Turut hadir di majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abd Latiff Yusof; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan dan Pegawai Daerah Pontian, Mohamad Karim.

Abdul Ghani berkata, KMJ yang dianjurkan sejak 2001 adalah jambatan memperkukuhkan perpaduan antara institusi diraja dengan rakyat jelata.

“Sejak KMJ dilancarkan pada 2001, ia dapat merapatkan hubungan di antara institusi raja dengan rakyat melalui aktiviti yang dijalankan. Ia juga dapat menjalin kerjasama antara pelbagai pihak sama ada kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendekatkan rakyat di setiap destinasi yang dituju.

“Program ini juga bukti kesungguhan institusi raja bagi mendekatkan lagi hubungan dengan pelbagai lapisan masyarakat serta mengenali kehidupan mereka dengan lebih dekat lagi,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran KMJ Bermotosikal 2010 di sini, semalam.

Hujan lebat tidak penghalang Sultan Ibrahim meneruskan hasrat murni mendekati rakyat di semua daerah yang disinggahi sepanjang tiga hari KMJ Bermotosikal 2010 berlangsung. Di majlis itu, baginda turut berkenan merasmikan Bangunan MDP.

Rombongan diraja membabitkan lebih 30 motosikal itu kemudian berangkat ke Kampung Permatang Sepam, Benut serta disambut kira-kira 1,000 penduduk kampung.

Sultan Ibrahim turut merasai pengalaman memetik buah nanas dan buah kopi ketika melawat Kampung Permatang Sepam serta melawat kilang memproses kordial nanas dan Rozelle yang diusahakan penduduk kampung melalui Ladang Kelompok Arep Maju.

Sultan Ibrahim juga menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim, fakir miskin dan warga emas.

Rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke Batu Pahat dan Muar termasuk meninjau Loji Rawatan Air Syarikat Air Johor Sri Gading, Batu Pahat serta melawat Pusat Pertanian Kampung Sungai Sudah, Muar.

Rombongan itu turut melawat pasar awam Muar, padang berhadapan Pejabat Daerah Muar dan bermalam di Istana Tanjung Muar. Pada sebelah malam, isteri baginda, Raja Zarith Sofiah menghadiri majlis berasingan di Sekolah Menengah Tengku Mahkota Muar.

Hari ini pula menyaksikan Sultan Johor menunggang sejauh 273km dari Istana Muar menuju Kolej Komuniti Ledang dan singgah di Kampung Sawah Sagil Ayer Hitam, Batu Pahat; pejabat Perbadanan Taman Negara, Kahang; Sekolah Kebangsaan Bandar Mersing serta bermalam di Sri Mersing.

Berita Harian
8 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment