Thursday, August 5, 2010

Nekad jadi penyelam tiram tradisi


JALAN SALLEH – Minat yang mendalam dengan kerja yang mencabar mendorong bekas tentera, Abd Rani Bahri, 44, menceburi kerjaya sebagai penyelam tiram secara tradisional.

Menurutnya, ramai yang menentang hasratnya untuk berhenti sebagai askar setelah berkhidmat 13 tahun.

“Ada yang mengatakan saya akan menyesal dengan tindakan yang dilakukan ini.

“Tetapi, saya dapat buktikan keputusan yang diambil adalah betul dan berasa seronok dengan kerja yang dilakukan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Katanya, pendapatan penyelam tiram lumayan dan berbaloi dengan risiko sebagai seorang penyelam.

“Penyelam mampu meraih kutipan tiram sebanyak lima hingga 10 kilogram sehari dan dijual dengan harga RM25 sekilogram.

“Hasil kutipan tiram menjadi lebih banyak pada musim tertentu dan ada kalanya penyelam tiram mampu memperoleh hasil tiram sehingga 40 kilogram sehari terutamanya pada bulan Januari, Jun, November dan Disember,” katanya.

Abd Rani berkata, rutin hariannya sebagai penyelam tiram bermula seawal 7 pagi hingga 10 pagi. Bagaimanapun, waktu menyelam setiap hari adalah berbeza iaitu lewat satu jam berbanding hari selepasnya.

“Kerja sebagai penyelam tiram memerlukan keberanian serta ketahanan fizikal dan mental tinggi kerana mereka perlu menahan nafas selama dua minit ketika menyelam dengan kedalaman ada mencecah sembilan meter.

“Lazimnya, penyelam tidak menggunakan sebarang kelengkapan moden dan hanya menggunakan sebatang kayu bakau untuk dipacakkan ke dasar sungai sebagai panduan daripada arus sungai untuk mengaut tiram di dasar sungai Muar,” katanya.

Katanya, aktiviti menyelam perlu dilakukan sebelum air di sungai Muar pasang.

“Itu adalah peraturan yang perlu diikuti kerana jika menyelam ketika air pasang, boleh mengancam nyawa penyelam itu sendiri.

“Kerjaya sebagai penyelam tiram tradisional semakin berkurangan kerana golongan belia kini tidak berminat dan tidak sanggup untuk bergelumang dengan lumpur ketika mengaut tiram di dasar sungai,” katanya.

Sinar Harian
4 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment