BAKRI - Hanya tinggal dua peratus sahaja golongan fakir miskin yang dikenal pasti di negara ini dan jumlah itu dilihat semakin berkurangan setiap tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Kawasan DUN Sungai Abong, Datuk Dr Haris Salleh berkata, pengurangan ini hasil daripada tindakan yang dilakukan kerajaan dalam usaha membasmi kadar kemiskinan dalam negara.
Menurutnya, kerajaan juga menyalurkan pelbagai bantuan dan sumbangan seperti mewujudkan skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membantu rakyat yang tidak mempunyai rumah.
“Pada masa yang sama, dalam setiap mesyuarat tindakan daerah juga sentiasa mengenal pasti golongan yang kurang berkemampuan menerusi penghulu juga ketua kampung.
“Saya menyarankan supaya lebih banyak badan korporat yang sudi memberikan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Fakir Miskin di Dewan Serbaguna Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 1 (KKTDI 1), di sini.
Dalam majlis itu, seramai 361 golongan kurang berkemampuan gembira apabila diraikan dan menerima sumbangan duit raya dan barangan dapur.
Haris berkata, 361 golongan yang menerima sumbangan terdiri daripada 58 fakir miskin, 58 ibu tunggal, 58 anak yatim, 52 orang kurang upaya (OKU), 120 murid sekolah rendah dan 15 murid Tabika Kemas.
Katanya, dengan pemberian bantuan itu membuktikan JPMM DUN Sungai Abong sentiasa prihatin dan membela nasib penduduk di kawasan DUN Sungai Abong.
“Inisiatif memberi sumbangan ini sebagai bantuan kepada mereka untuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri akan datang.
“Walaupun jumlah sumbangan yang diberikan tidak begitu besar, tetapi ia dapat menunjukkan rasa simpati kepada semua penerima,” katanya yang memaklumkan majlis seperti itu akan diadakan setiap tahun supaya golongan yang kurang berupaya itu tidak merasa dipinggirkan.
Bagi penerima sumbangan, Fatimah Mohd Kemu, 57, yang berasal dari Taman Desa, di sini terharu apabila terpilih untuk menerima sumbangan pada kali ini.
Menurutnya, sejak kematian suaminya kira-kira enam tahun lalu, dia terpaksa bekerja dengan pendapatan yang tidak seberapa untuk menampung perbelanjaan empat anaknya itu.
“Sebelum ini, saya ada mencuba membuat permohonan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi tidak berjaya.
“Dengan sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban dalam membuat persiapan hari raya akan datang,” katanya yang pertama kali menerima sumbangan seperti itu.
Sinar Harian
20 Ogos 2010
0 comments:
Post a Comment