Tuesday, August 3, 2010

Akademi Seni Khat Muar perkasa tulisan Jawi

JALAN PETRE – Seni kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama ’seni khat’ adalah khazanah tertua di dunia yang masih dimiliki umat Islam.

Menyedari kepentingan itu, Akademi Seni Khat Muar telah diwujudkan sebagai mekanisme untuk memperkasakan kesenian itu bagi memastikan ciri dan nilai keIslamannya terus terpelihara.

Pengajar akademi berkenaan, Azman Mo’min berkata, akademi itu terbuka kepada semua murid sekolah di daerah Muar.

Menurutnya, ia mula beroperasi pada April lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.

“Sehingga kini, akademi ini mempunyai 33 pelatih yang diadakan pada setiap hujung minggu bermula jam 8 pagi hingga 11 pagi.

“Akademi ini didaftarkan di bawah Yayasan Warisan Johor dan Persatuan Seni Khat Johor serta mempunyai dua tenaga pengajar lagi yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pelatih dalam akademi itu akan diberikan asas penulisan khat iaitu tiga daripada tujuh jenis seni khat yang ada.

“Antaranya ialah seni khat jenis Nasakh, Req’ah dan Thuluh. Pada peringkat permulaan pelatih didedahkan dengan latihan asas sehinggalah mereka berjaya menguasai sepenuhnya asas seni ini.

“Lebih membanggakan apabila dua pelatih di sini telah memasuki pertandingan seni khat sekolah agama peringkat daerah dan menjadi johan pertandingan,” katanya.

Azman berkata, beliau mahu melahirkan lebih ramai pelapis muda yang pakar dalam seni khat untuk memastikan kesenian itu sentiasa mempunyai kesinambungannya.

“Pendekatan seperti ini sangat penting kerana ia juga salah satu inisiatif menarik generasi muda kini untuk meminati tulisan Jawi.

“Melihat senario pada hari ini yang sangat membimbangkan di mana semakin ramai generasi muda yang ‘buta’ tulisan jawi. Jadi dengan adanya akademi ini dapat membantu mendaulatkan semula tulisan Jawi yang suatu ketika dahulu sangat hebat,” katanya.

Beliau berkata, bidang itu juga boleh menjadi peluang kerjaya berdasarkan kemahiran dan bakat yang dimiliki.

Sinar Harian
3 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment