Tuesday, August 17, 2010

Songkok dapat sambutan awal

JALAN ABDULLAH – Biarpun umat Islam baru seminggu berpuasa, namun bahang kehangatan Syawal sudah semakin terasa.

Tinjauan di beberapa lokasi di daerah Muar mendapati, masyarakat di daerah ini sudah mula membuat persiapan bagi menyambut ketibaan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.

Membeli songkok antara persediaan awal yang dilakukan masyarakat di sini kerana ia sama penting dengan keperluan yang lain untuk menjadikan hari raya tahun ini lebih bermakna.

Hal berkenaan turut diakui seorang penjual songkok, Hashim Ali, 56, yang sudah menjual songkok sejak 36 tahun lalu.

Menurutnya, trend membeli songkok tahun ini mula berbeza dengan tahun yang lalu kerana tahun ini mereka sudah mula membeli songkok sejak awal Ramadan lagi.

“Inisiatif ini juga adalah salah satu cara perbelanjaan yang bijak dan dapat mengelakkan mereka tertekan ketika menghampiri Syawal.

“Saya juga menasihati kepada masyarakat supaya membeli songkok lebih awal supaya saiz songkok yang dikehendaki dapat diperoleh dengan mudah,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pengalaman selama 36 tahun sebagai penjual songkok menjadikannya matang dan masak dengan ragam setiap pelanggan yang membeli songkok dengannya.

“Ada kalanya, permintaan pelanggan terlalu tinggi terutamanya melibatkan kualiti dan pengurangan harga.

“Walaupun songkok yang saya jual ini adalah songkok yang berkualiti tinggi dan antara yang terbaik di Muar, tetapi dengan pengalaman yang ada saya berjaya meyakinkan kesemua pelanggan dengan produk yang dijual,” katanya.

Hashim berkata, terdapat tiga jenis songkok yang dijualnya iaitu jenis rata empat inci setengah, rata empat inci dan rata tiga inci.

“Kesemua jenis songkok ini mendapat sambutan hebat daripada pelanggan terutamanya pelanggan tetapnya sejak 30 tahun lalu kerana kualiti songkoknya ini.

“Sentiasa bersikap ramah dan mesra dengan pelanggan menjadi kunci kejayaan sehingga mampu bertahan sehingga kini dan terkenal antara penjual songkok yang paling lama,” katanya.

Bagaimanapun katanya, budaya membeli saat akhir masih berlaku kerana pelanggan beranggapan membeli pada saat akhir adalah lebih seronok dan semangat hari raya lebih terasa.

Sinar Harian
17 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment