Saturday, August 21, 2010

Penduduk ‘lemas’

MUAR – Masalah lambakan warga asing di bandar Muar pada hujung minggu dan cuti umum boleh dianggap sebagai satu fenomena yang luar biasa sehingga meresahkan ramai masyarakat di bandar tersebut.

Kebanjiran mereka di sini dipercayai kesan daripada pertumbuhan banyak kilang di sini yang boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Kehadiran mereka yang terlalu ramai yang berkeliaran dan melepak di beberapa lokasi di bandar ini menunjukkan mereka seolah-olah menakluki bandar itu pada hujung minggu.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Muar pada hujung minggu mendapati, warga asing telah menjadikan Laman Maharani dan Menara Jam Padang Nyiru Laman Maharani sebagai lokasi tumpuan mereka melepak beramai-ramai.

Mereka juga menjadikan lokasi itu sebagai tempat berkelah dan membuang sampah. Fenomena seperti itu sangat memalukan dan boleh menjejaskan imej Muar kepada pelancong luar yang sering berkunjung ke bandar berkenaan kerana keistimewaannya yang tersendiri.

Pada masa yang sama, kebanyakan mereka bergerak secara berkumpulan dan inilah yang telah menyesakkan pengangkutan awam di bandar itu, sehingga menyebabkan rakyat tempatan terpaksa berdiri dan berhimpit serta tidak diberi tempat duduk oleh orang asing khususnya wanita hamil dan warga emas.

Pekerja swasta, Juliana Mohamad, 25, berkata, dia berasa lemas dengan lambakan warga asing di bandar ini.

Menurutnya, masalah sudah lama terjadi dan akhir-akhir ini kehadiran mereka dilihat semakin bertambah serta tidak terkawal sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.

“Saya sering ke Muar pada hujung minggu dan melihat segerombolan warga asing berkeliaran di bandar ini.

“Malahan mereka juga didapati sering berkumpul di beberapa pusat pengurusan mata wang asing. Keadaan yang sesak di sini telah menyukarkan orang ramai untuk melintasi di kawasan berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian.

Juliana berkata, kehadiran mereka yang terlalu ramai ini menakutkan orang ramai terutamanya golongan wanita ketika melintasi atau menghampiri kawasan tumpuan warga asing itu.

“Ketakutan ini menjadikan saya merasakan seperti bukan berada di negara sendiri,” katanya.

Pelajar yang dikenali sebagai Aida, 22, berkata, lambakan warga asing akan memberi impak yang besar terhadap persekitaran sosial di daerah ini.

Menurutnya, peningkatan bilangan warga asing secara tidak langsung boleh meningkatkan kadar jenayah di bandar ini.

“Saya beranggapan tidak semua warga asing di sini mempunyai visa perjalanan yang sah dan kadang kala mereka mempunyai agenda sendiri datang ke sini.

“Saya pernah menjadi mangsa seluk saku semasa menggunakan pengangkutan awam yang dipenuhi dengan warga asing,” katanya.

Aida berkata, ini jelas memberi gambaran bahawa keselamatan diri dan harta benda kita tidak selamat apabila berada di kawasan yang ramai warga asing.

“Sejak daripada kejadian itu, saya lebih berhati-hati dan akan cuba mengelak untuk berada dalam kawasan yang ramai dengan pendatang asing.

“Jelas menunjukkan bahawa lambakan warga asing ini telah mengancam keselamatan dan menggugat keamanan masyarakat di sini,” katanya.

Pesara, Raja Ramli Mustafa, 63, berkata, lambakan warga asing itu perlu perhatian segera daripada pihak berwajib.

Menurutnya, tindakan warga asing di sini melepak dan membuat kotor di beberapa lokasi di bandar ini sudah keterlaluan.

“Perbuatan mereka ini seolah-olah tidak menghormati budaya dan peraturan masyarakat di sini dan mereka jadikan negara ini seperti negara asal mereka sendiri.

“Saya juga terkejut apabila melihat Laman Maharani dan Menara Jam Padang Nyiru Laman Maharani dijadikan tempat untuk mereka melepak dan keadaan ini telah mencacatkan keindahan pemandangan sekitar bandar ini,” katanya.

Justeru itu, pihak berwajib perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan permasalahan itu terus terkawal dan dapat meminimumkan masalah sosial di sini.

Sinar Harian
21 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment