Wednesday, August 11, 2010

Hukuman gantung terhadap tiga lelaki kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap tiga lelaki dalam dua kes bunuh berasingan.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan semakan dan rayuan ketiga-tiga tertuduh dalam satu keputusan sebulat suara.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff, dan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff.

Dalam kes pertama, seorang nelayan, Abdul Razak Dalek, gagal dalam usaha terakhirnya bagi mengelak ke tali gantung apabila korum berkenaan menolak permohonannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 4 Jun lalu yang mengesahkan sabitan serta hukuman mati terhadapnya kerana membunuh isterinya dengan mengelar leher mangsa selepas wanita itu menafikan haknya sebagai seorang suami.

Panel itu menerima bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud, yang berhujah Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan tersebut mengikut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan.

Abdul Razak, 58, telah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Johor Baharu pada 2006 kerana membunuh Rozita Haron, 39, di rumah abangnya di Parit Pecah, Parit Jawa, Muar pada 3 September 2001 dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tahun lalu.

Dalam kes kedua, korum yang sama turut mengesahkan sabitan dan hukuman mati terhadap penganggur Mahadzir Yusof, 27, dan Mohd Anuar Mat Ripin, 26, kerana kesalahan membunuh Azley Abu Bakar, 27, di tepi Jalan Pisang Raja Udang, Desa Harmoni, Kluang, Johor, antara 2 pagi dan 4.30 pagi, 18 Disember 2002.

Hakim Alauddin memutuskan rayuan itu tidak mempunyai merit.

Kedua-dua tertuduh disabitkan kesalahan dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Muar pada 19 Mac 2008, dan Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan mereka pada 24 Ogos tahun lalu.

Pada perbicaraan kes itu, Mohd Anuar memberi keterangan bahawa dia dan Azley pernah melakukan rompakan serta pecah rumah bersama-sama, dan mangsa juga dikatakan sering bertemu Mahadzir.

Mengikut keterangan kes, Mohd Anuar menggunakan kayu besbol untuk memukul kepala mangsa manakala Mahadzir menggunakan parang selepas berlaku pertikaian di antara mereka berhubung wang yang dituntut daripada si mati yang didakwa bahagian mereka hasil penjualan sebuah peti televisyen curi. - BERNAMA

11 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment