Monday, August 9, 2010

Maut ditikam tiga kali

MUAR – Tindakan seorang lelaki yang membakar mercun di hadapan pintu utama pusat hiburan di bandar ini mengundang padah apabila ditikam dalam satu pergaduhan di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Tan Meng Liong, 43, ditemui mati oleh orang awam dalam keadaan terbaring di pekarangan kawasan tempat letak kereta hadapan Hotel Pelangi, di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan membawa dua mercun, yang mana salah satu daripada mercun itu berjaya diletupkan di hadapan pusat hiburan tersebut.

Menurutnya, pada masa sama, mangsa turut membawa parang dikatakan cuba hendak memasuki pusat hiburan berkenaan.

Namun disebabkan keadaan mangsa yang mencurigakan dan bersenjata mendorong pekerja di situ menghalang mangsa daripada memasuki pusat hiburan tersebut.

“Tindakan itu menyebabkan mangsa naik berang sehingga tercetusnya pergaduhan dengan beberapa pekerja juga pengunjung di pusat hiburan di situ.

“Mangsa bertindak agresif sebelum berlaku pergelutan di antara mereka dan gagal menyelamatkan diri. Dia ditikam dengan pisau tiga kali di belakang badannya,” katanya.

Mangsa yang berlumuran darah kemudian dicampakkan ke pekarangan kawasan tempat letak kereta.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang bersenjatakan parang itu mempunyai masalah mental menyebabkan dia dihalang memasuki pusat hiburan tersebut.

“Mangsa juga mempunyai rekod jenayah lampau iaitu dadah dan pernah ditangkap.

“Parang yang dibawa mangsa dijumpai disembunyikan suspek di dalam longkang berhampiran dengan tempat kejadian,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, hasil siasatan, polis berjaya menahan enam suspek.

“Kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 24 tahun hingga 55 tahun disyaki terlibat dalam pembunuhan ini.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula dari hari tangkapan hingga 16 Ogos depan untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Sinar Harian
10 Ogos 2010


Mangsa bunuh disangka mabuk

MUAR 9 Ogos - Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila mendapati lelaki yang terbaring dan disangka mabuk di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sisi di sini, awal pagi ini, merupakan mangsa bunuh.

Mangsa, Tan Meng Leong, 40-an, yang disyaki pelanggan sebuah pusat karaoke di kawasan itu ditemui oleh orang awam pada pukul 4.30 pagi.

Menurut pengawal keselamatan sebuah hotel yang enggan dikenali, dia menyedari kehadiran mangsa apabila mendengar jeritan sekumpulan orang awam apabila menemui seorang lelaki terbaring di situ.

Katanya, dia yang menyangka mangsa mabuk kemudian meminta kakitangan hotel itu supaya memanggil ambulans ke tempat kejadian.

"Memang biasa ada pelanggan pusat karaoke yang mabuk. Itu sebabnya saya pada mulanya menyangka lelaki itu juga mabuk dan terjatuh di tepi kereta.

"Bagaimanapun, saya terkejut dimaklumkan oleh pasukan perubatan bahawa mangsa dibunuh," katanya semasa ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Hasil pemeriksaan menemui kesan darah bermula dari pintu pusat karaoke itu sehingga ke lokasi tempat mangsa ditemui iaitu sejauh kira-kira 10 meter.

Menurutnya, walaupun kawasan letak kereta itu diterangi lampu, dia tidak dapat melihat kejadian yang menimpa mangsa kerana hujan lebat.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul dan ditikam.

"Polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya lagi.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk dibedah siasat.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di talian 06-9526001 bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Utusan
10 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment