JALAN KHATIB – Penduduk di kawasan Jalan Khatib, di sini meminta agar longkang yang berusia 80 tahun itu diberikan perhatian yang sewajarnya kerana keadaannya semakin teruk.
Mereka mendakwa, longkang itu tidak pernah diganti, bahkan kerja penyelenggaraan juga jarang dilakukan.
Penduduk, Ahmad Sanin, 60, berkata, longkang itu perlu diganti dan dinaiktarafkan dengan segera kerana mengundang pelbagai masalah kepada penduduk yang tinggal di kawasan itu.
Menurutnya, selain saiznya yang kecil, terowong longkang yang berada di bawah jalan itu menjadikan laluan air tersumbat sekali gus menyebabkan sistem perparitan itu gagal berfungsi.
“Ini menyebabkan air di longkang ini sentiasa bertakung dan akan melimpah ke atas jalan pada waktu hujan.
“Masalah ini menjadi lebih buruk apabila waktu hujan lebat kerana air longkang ini akan memasuki rumah penduduk berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, malah ada antara penduduk di sini yang berpindah ke tempat lain disebabkan tidak tahan dengan situasi sedemikian.
“Walaupun hujan lebat selama dua jam, pasti rumah mereka akan dinaiki air longkang ini.
“Masalah seperti ini sangat menyusahkan kerana terpaksa membersihkan rumah setiap kali selepas hujan lebat,” katanya.
Ahmad berkata, pelbagai usaha dilakukan termasuk membuat aduan kepada pihak berkenaan tetapi sehingga kini masih belum mendapat sebarang perkembangan yang positif.
Seorang lagi penduduk, Abu Bakar Abdullah, 70, berkata, masalah seperti itu sangat menyusahkan lagi memalukan terutamanya kawasan itu berada di tengah bandar Muar.
Menurutnya, semenjaknya kecil dan sehingga ke kini, longkang itu tidak pernah diganti serta mengecewakan penduduk di sini.
“Keadaan air longkang yang sentiasa bertakung pastinya boleh mengundang masalah lain kepada penduduk di sini.
“Saya bimbang, longkang ini akan menjadi salah satu sarang pembiakan nyamuk Aedes dan secara tidak langsung, meningkatkan risiko demam denggi di sini,” katanya.
Katanya, penduduk memohon jasa baik daripada pihak berkenaan supaya mengambil berat dengan permasalahan itu demi kesejahteraan penduduk di sini.
Sinar Harian
16 Ogos 2010
0 comments:
Post a Comment