Saturday, July 31, 2010

Rumah dipenuhi habuk

JALAN ISMAIL – Penduduk di Lorong Ja’afar Jalan Ismail, di sini naik berang apabila kehidupan mereka terganggu sejak kewujudan sebuah kilang yang dipercayai beroperasi secara haram.

Mereka mendakwa kilang tersebut menjalankan kerja-kerja membina bot fiber itu mengakibatkan gangguan bunyi, pencemaran habuk dan mengancam keselamatan penduduk.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kilang itu terletak kira-kira 20 meter dari pintu utama penduduk itu beroperasi sejak Mac lalu.

Salah seorang penduduk, Helmi Sharir Mohamad, 24, berkata, secara keseluruhannya keharmonian penduduk-penduduk di sini terjejas sejak kewujudan kilang itu.

Menurutnya, sebelum pembinaan kilang itu pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh penduduk bertujuan menghalang kewujudan kilang itu tetapi gagal.

“Kilang haram ini terus beroperasi sehingga ke hari ini dan masih tidak menunjukkan sebarang petanda kilang itu akan menghentikan operasinya.

“Namun, lebih menghairankan ia dibina atas tanah salah seorang penduduk di sini dan ia menggambarkan ada pihak yang setuju dengan operasi kilang ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia meminta supaya kilang itu ditutup atau dipindahkan ke kawasan lain kerana kedudukannya terlalu hampir dengan kediaman penduduk.

“Kilang membuat bot fiber ini sering mengeluarkan habuk dan debu yang sangat merbahaya terhadap kesihatan penduduk.

“Habuk kilang ini menyebabkan adik saya menghidapi penyakit gatal-gatal pada kulit dan kini sedang mendapatkan rawatan pakar kulit di klinik swasta berhampiran, ”katanya.

Menurutnya, lebih mendukacitakan apabila dinding rumah dan syiling rumahnya mulai retak kerana lori-lori seberat tujuh tan telah menggunakan jalan berdekatan kediaman penduduk sebagai laluan utamanya.

“Sikap tidak bertanggungjawab dan ambil mudah pemilik kilang itu benar-benar menyusahkan penduduk yang terpaksa menanggung kerugian bagi membaiki rumah yang rosak.

“Kami ada menyuruh pemilik kilang supaya membina jalan sendiri, tetapi mereka masih berdegil dengan terus menggunakan jalan yang dibina oleh penduduk, ”katanya.

Seorang lagi penduduk, Azrul Abd Hamid, 28, berkata, dia sudah tidak tahan untuk terus berhadapan dengan masalah seperti itu.

Menurutnya, kilang itu juga tidak dilengkapi dengan sistem perparitan yang sistematik menyebabkan beberapa kawasan di sini menjadi becak berpunca daripada kilang tersebut.

“Kami meminta pemilik kilang supaya membina sistem perparitan tetapi permintaan ini tidak diendahkan.

“Penduduk di sini terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan membina saliran untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.

Katanya, kilang tersebut juga tidak dilengkapi dengan sistem pengadang bunyi dan habuk.

Azrul berkata, penduduk juga merungut kerana jalan di rumahnya itu sentiasa sibuk dengan kenderaan pekerja-pekerja kilang itu sehingga lewat malam.

“Mereka berasa bimbang dengan keselamatan keluarga kerana kebanyakan pekerja ini tidak dikenali.

“Kami telah membuat aduan kepada pihak terbabit untuk meminta membantu, namun sehingga kini masih lagi tidak mendapat sebarang perkembangan yang positif, ”katanya.

Peniaga, Saadiah Salim, 57, berkata, dia yang sama sekali tidak setuju dengan kewujudan kilang itu mendakwa kilang tersebut hanya menyusahkan penduduk di sini.

“Pemilik kilang perlu mempunyai rasa prihatin dengan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawabnya,” katanya

Katanya, pelanggan yang berkunjung ke kedainya juga merungut kerana meja dan kerusi sentiasa dipenuhi dengan habuk.

“Bukan itu sahaja, rumah saya juga sentiasa berhabuk, malahan turut mengalami masalah gatal-gatal kulit yang dipercayai berpunca daripada operasi kilang ini.

Pada masa yang sama, mereka meminta jasa baik supaya pihak berkenaan supaya turun padang untuk melihat kesengsaraan yang terpaksa penduduk tanggung akibat daripada kilang tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Muhamad Fuad Radzuan berkata, siasatan lanjut akan dijalankan berhubung aduan tersebut.

“Pihaknya akan berjumpa dengan penduduk untuk melihat keadaan sebenar kilang ini demi kesejahteraan penduduk di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian semalam.

Sinar Harian
31 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment