Monday, July 19, 2010

Penambahbaikan bangunan MCA beri manfaat

PARIT YUSOF – Berikutan daripada penambahbaikan yang telah dilakukan pada bangunan MCA cawangan Parit Yusof, Muar, diharapkan ia semakin aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada belia di sini.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, beliau tidak mahu bangunan itu terbiar tanpa sebarang penganjuran aktiviti yang berfaedah selepas dibaiki.

Menurutnya, aktiviti yang sedia ada perlu dipelbagaikan terutama untuk aktiviti sukan dan beliau melihat bangunan itu sesuai untuk sukan ping pong.

“Peruntukan lalu sebanyak RM 10,000 dilihat masih belum mencukupi kerana masih banyak keperluan yang perlu dibaiki dan diganti baru.

“Keuzuran pada bangunan ini sangat teruk dan wajar diberikan perhatian segera bagi menjamin keselamatan pengguna,” katanya ketika mengadakan lawatan di bangunan tersebut, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk menambah peruntukan sebanyak RM 10,000 untuk melengkapkan kekurangan pada bangunan tersebut.

“Diharapkan dengan pertambahan peruntukan ini dapat memberi keselesaan kepada masyarakat sekitar untuk berkumpul mengadakan pelbagai aktiviti,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MCA Parit Yusof, Boo Swee Kee berkata, beliau sangat gembira melihat perubahan yang berlaku pada bangunan itu.

Menurutnya, bangunan yang berusia lebih 40 tahun itu telah mengalami banyak kerosakan terutama pada bahagian bumbung yang bocor ketika hujan.

“Keadaan ini sangat menyusahkan kerana bangunan ini merupakan satu-satunya tempat masyarakat di sini mengadakan pelbagai aktiviti terutama melibatkan mesyuarat MCA.

“Kami juga berharap supaya lebih banyak kemudahan disediakan dan gelanggang futsal juga dapat dinaik taraf dengan sebaiknya,” katanya.

Sinar Harian
19 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment