Saturday, July 24, 2010

Kisah Tanggang buka tirai

MUAR: Lontaran suara dan aura Ustaz Zawawi Yusoh yang menceritakan semula kisah Tanggang dalam konteks moden menarik orang ramai sehinggakan mereka sanggup berdiri mendengar Diskusi Addin yang membuka tirai Karnival Gegaria Harian Metro 2010 di Dataran Tanjong Emas, di sini, malam tadi.

Zawawi yang memulakan diskusi menceritakan ‘Tanggang Zaman Dulu’ disumpah menjadi batu tetapi ‘Tanggang Zaman Sekarang’ adalah mereka yang berhati batu sehingga sanggup memukul ayah dan ibu. “Apa sudah jadi dengan kita sekarang ini tuan-tuan dan puan-puan? Mangapakah perlu kita menjadi seperti Tanggang,” begitulah kupasan awal yang lebih condong kepada persoalan yang dilemparkan Zawawi kepada hadirin. Terdahulu, ustaz Zamanuddin Jusoh yang juga pengantara memberitahu perbincangan keagamaan dalam Diskusi Addin kali ini adalah berkisarkan kisah Si Tanggang Moden.

Selain itu, Zamanuddin yang juga pegawai agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) bahawa penganjur turut menjemput ustazah Asni Abu Mansor untuk mengupas tajuk berkenaan.

Sementara itu, orang ramai bertali-arus ke pentas Diskusi Addin untuk mendengar kupasan kisah Tanggang walaupun perbincangan berkenaan bermula agak lewat daripada yang dijadualkan.

Bagaimanapun, mereka tidak bosan selepas Zawawi memulakan kupasan selain ada juga yang berkesempatan singgah di beberapa gerai yang terletak dalam laluan ke pentas Diskusi Addin.

Selain perbincangan agama, majlis murni itu turut diserikan dengan persembahan menarik termasuk persembahan kebudayaan dan nasyid daripada kakitangan Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Dalam pada itu, sepanjang dua hari karnival berlangsung, orang ramai akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk konsert daripada artis terkenal tanah air seperti Kumpulan Kristal dan Kumpulan Sixth Sense.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk pelbagai peringkat usia turut boleh disertai orang ramai termasuk bola jaring, Metro Idol dan Gadis Metro.

myMetro
24 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment