Tuesday, July 13, 2010

Rumah jadi markas dadah diserbu

MUAR - Sepasukan polis Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Muar menyerbu sebuah rumah di Jalan Bakariah, di sini pada 11 Julai lalu kira-kira jam 2.30 petang yang dipercayai menjadi tempat menyimpan dadah.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, ketika serbuan, terdapat tiga lelaki yang kesemuanya berusia 29 tahun bersama satu tin minuman yang mengandungi dua paket plastik lut sinar yang dipercayai dadah jenis ganja seberat 4.44 gram.

Menurutnya, polis turut menemui tiga wanita berusia 20 tahun hingga 22 tahun ketika memeriksa bilik bahagian belakang rumah terbabit.

“Hasil pemeriksaan menjumpai dua paket plastik lut sinar yang dipercayai ganja seberat 19.8 gram.

“Pada masa yang sama, polis juga menggeledah bilik di tingkat atas rumah dan menjumpai satu kotak minuman yang mengandungi dua paket plastik lut sinar yang dipercayai ganja seberat 64.29 gram,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Kesemua suspek ditahan untuk membantu siasatan lanjut dan hasil pemeriksaan polis didapati, mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes terbabit disiasat mengikut seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seksyen 39 A (2) akta yang sama.

Sinar Harian
13 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment