Mereka mendakwa, perniagaannya kurang mendapat sambutan disebabkan beberapa faktor iaitu kedudukan yang kurang strategik dan ketiadaan papan tanda mengenai medan selera itu.
Peniaga, Azahari Abd Manaf berkata, medan selera itu yang dibina pada 2008 lalu menyediakan enam gerai pada peringkat permulaan dan kesemua gerai mempunyai peniaga masing-masing.
Namun menurutnya, disebabkan kurang mendapat sambutan daripada pengunjung, peniaga lain terpaksa gulung tikar sehingga hanya kedai miliknya sahaja yang beroperasi sepenuhnya.
“Manakala dua pemilik gerai lain jarang berniaga dan beroperasi pada hari tertentu berikutan tertekan dengan situasi yang berlaku.
“Ramai pengunjung mengakui tidak mengetahui kewujudan gerai ini disebabkan kedudukannya kurang strategik dan terselindung di sebalik pokok besar yang banyak di hadapan medan selera ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.
Azhari berkata, apabila mengambil alih gerai itu daripada saudaranya, persekitaran di medan selera itu agak teruk dan tidak terpelihara berikutan dipenuhi dengan semak.
“Jadi, saya mengambil inisiatif sendiri membersihkan kawasan ini sehinggalah medan selera ini bersih.
“Sehingga kini, gerai saya bergantung sepenuhnya dengan 90 peratus pelanggan iaitu pekerja kilang berhampiran dan 10 peratus lagi daripada pengunjung luar,” katanya.
Selain itu katanya, ketiadaan papan tanda juga mengakibatkan medan selera itu kelihatan hambar dan sunyi tanpa kehadiran pengunjung.
“Walaupun medan ini berdekatan dengan Tol Pagoh dan Rawat dan Rehat (R&R) Pagoh, tetapi masih tidak menjadi pilihan,” katanya.
Kata Azhari, ketiadaan laluan utama ke medan selera itu yang selama ini hanya menggunakan jalan utama kilang berhampiran turut dikenal pasti antara penyebab gerai itu terus hambar.
“Pemaju perlu mengambil tindakan proaktif dengan membina laluan utama yang menghubungkan sendiri medan selera di hadapan jalan raya.
“Dengan adanya laluan utama ini, ia akan memudahkan bas dan lori untuk singgah,” katanya.
Azahari juga berharap agar pihak berkenaan dapat memandang serius permasalahan ini dan mempercepatkan pemasangan papan tanda itu kerana jika masalah itu berlarutan, ia akan menjejaskan pendapatannya.
Sinar Harian
15 Jul 2010
0 comments:
Post a Comment