Saturday, July 24, 2010

Dijangka tarik 150,000 pengunjung

MUAR: Tapak Karnival Gegaria Harian Metro di Dataran Tanjung Emas di sini, semalam menerima kunjungan Setiausaha Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jamaluddin A Hamid sebagai tanda sokongan jitu dari pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Lawatan diadakan pada sebelah petang itu bertujuan melihat sendiri kemeriahan karnival anjuran akhbar nombor satu negara yang bakal dimulakan dengan Majlis Diskusi Addin pada sebelah malamnya.

Jamaluddin juga sempat mengingatkan peniaga di tapak gerai industri kecil sederhana (IKS) disediakan penganjur supaya mementingkan kebersihan termasuklah membuang sampah di tempat disediakan MPM.

Ketika ditanya berkaitan kemeriahan yang sudah mula dirasai, beliau berpendapat karnival yang diadakan di daerah ini mampu menarik lebih 150,000 pengunjung dalam masa dua hari dianjurkan.

“Lebih ramai pengunjung maka lebih publisiti kepada daerah ini dan ia secara tidak langsung menarik minat pelancong pada masa akan datang.

“Kami juga turut mengalu-alukan Harian Metro dalam menganjurkan acara seperti ini pada masa akan datang,” katanya, semalam.

Ketika lawatan, beliau sempat melawat lebih 40 tapak gerai IKS yang disediakan selain meninjau beberapa lokasi tapak penaja utama termasuk Celcom.

Sementara itu, pendaftaran untuk beberapa kejohanan yang bakal diadakan sepanjang dua hari karnival masih lagi dibuka kepada orang ramai.

Ini termasuklah kejohanan futsal, bola jaring, Metro Idol dan Gadis Metro yang akan tamat pendaftarannya pada hari ini jam 5.30 petang.

Orang ramai yang ingin menyerahkan borang permohonan termasuk melakukan pembayaran boleh menghubungi urusetia kejohanan di talian 017-2088964 untuk maklumat lanjut.

myMetro
24 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment