Wednesday, July 14, 2010

Patah jari tangan kanan dipukul 10 pelajar senior

JOHOR BAHRU: Seorang pelajar sekolah agama swasta terpaksa meneruskan kehidupan dalam trauma apabila dihidangkan ‘sarapan luar biasa’ pada awal pagi Jumaat lalu oleh sekumpulan pelajar senior yang membelasahnya gara-gara tidak puas hati mangsa terlepas tindakan disiplin kerana merokok di kawasan sekolah.

Sekurang-kurangnya 10 pelajar senior mengerumuni dan memukul mangsa selama 15 minit di asrama sekolah agama yang terletak di Muar itu sehingga menyebabkan Muhammad Anwar Ibrahim, 14, patah jari hantu tangan kanannya.

Menurut mangsa, kejadian berlaku pada jam kira-kira 2 pagi apabila kumpulan pelajar senior berkenaan tiba-tiba mengejutnya daripada tidur dan dibawa ke sebuah bilik ahli jawatankuasa asrama.

“Saya yang masih dalam keadaan separuh sedar ketika itu bingung apabila mereka hanya memberi masa tidak lebih lima saat bagi menjawab soalan sama ada saya merokok di kawasan sekolah.

“Panik apabila dikepung, saya tergamam sebelum mereka menendang dan memukul anggota badan saya hingga mengakibatkan hidung berdarah,” katanya yang ditemani bapanya, Ibrahim Ja’afar, 38, ketika datang ke pejabat Harian Metro, semalam.

Sementara itu, Ibrahim berkata, laporan X-Ray di Hospital Sultan Ismail (HSI) menunjukkan jari hantu tangan kanan anaknya patah dan terpaksa disimen selain diberi cuti sakit hingga 15 April depan.

“Saya kesal kejadian seperti itu berlaku dan meminta pihak pentadbiran sekolah mengambil tindakan wajar supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram pada 3 April lalu.

myMetro
8 April 2010

0 comments:

Post a Comment