Saturday, July 17, 2010

Kotak motosikal 1Malaysia dilancar

MUAR 16 Julai - Dalam menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan penunggang motosikal, GIVI Asia Sdn. Bhd. bakal mengeluarkan kotak motosikal yang menampilkan rekaan 1Malaysia di pasaran tempatan bulan hadapan.

Kotak yang boleh menyimpan pelbagai barang terutamanya topi keledar itu merupakan hasil rekaan Penerbit Eksekutif Exanet Productions Sdn. Bhd., Lando Zawawi dan Pengarah Urusan GIVI, On Hai Swee serta turut diilhamkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Majlis pelancaran Kotak Motosikal 1Malaysia GIVI itu telah disempurnakan oleh Razali di Dewan Jubli Intan Muar di sini, baru-baru ini.

Lando yang juga seorang pelakon berkata, kotak motosikal itu mempunyai pelbagai ciri keselamatan termasuk pemantul cahaya serta kalis air dan tahan hentakan.

"Dengan kotak motosikal 1Malaysia ini, para penunggang motosikal dapat turut sama menyerlah semangat patriotisme mereka di jalan raya.

"Usaha ini juga diharap dapat membendung penunggang-penunggang motosikal daripada terjebak dengan kegiatan tidak sihat seperti mat rempit," katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.

Katanya, rekaan kotak tersebut dihasilkan selepas pertemuan beliau dengan Razali pada sebuah majlis Kelab Belia Graduan 1Malaysia di Kuala Lumpur beberapa bulan lalu.

"Kotak ini juga merupakan sebahagian daripada kempen keselamatan dengan cara lebih kreatif untuk penunggang-penunggang muda," katanya.

Sementara itu, jelas Razali, beliau yakin kotak motosikal itu akan mendapat sambutan menggalakkan kerana reka bentuknya yang moden dan menyerlahkan semangat 1Malaysia.

"Bila ada lambang 1Malaysia ini, penunggang motosikal pun akan berfikir banyak kali sebelum melakukan perkara-perkara yang tidak baik," katanya.

Utusan
16 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment